Zul Ariffin, ‘From Extra To Extraordinary’

September 10, 2019
By Helmi Anuar

Siapa sangka di sebalik raut wajah yang tampan dan tubuh yang sasa, tersimpan seribu satu kisah disebalik perjalanan karier seni seorang aktor yang bernama Zul Ariffin. Ya, Zul Ariffin yang sekarang bukanlah Zul Ariffin seperti 10 tahun yang lalu!

Laluannya dalam bidang seni tidak semudah yang disangka. Punya pakej lengkap sebagai seorang aktor belum tentu akan memberikan anda gemerlapan populariti dalam sekelip mata. Dan Zul Ariffin adalah buktinya.

Hanya selepas hampir lima tahun berada di dalam industri, barulah nama Zul Ariffin meledak di bibir peminat seni tempatan. Terima kasih kepada drama popular yang menjadi fenomena pada tahun 2014 iaitu ‘Rindu Awak 200%’ yang menggandingkan Zul Ariffin bersama Ayda Jebat.

Sejak dari itu, nama Zul Ariffin terus menerus menjadi kegilaan peminat. Malah namanya tidak pernah tercicir dari kalangan Top 5 setiap acara anugerah yang ada di Malaysia.

Pelbagai anugerah sudah berada di dalam genggamannya baik dari segi populariti mahupun kualiti.

Tidak hanya cemerlang di kaca televisyen, malah nama Zul Ariffin turut gemilang di layar lebar sebagai pemeran filem. Filem-filem lakonannya mengutip puluhan juta Ringgit. Dan Zul Ariffin berjaya mengimbangi antara lakonan TV dan filem dengan baik.

Tidak berlebihan jika kami katakan Zul Ariffin adalah ‘Hero Malaya Alaf Baru.’

 

Fenomena Rindu Awak 200 %

Hampir lima tahun memperjuangkan nasib dalam bidang lakonan, terdetik di hati jejaka ini mahukan watak utama yang akan membawa namanya ke peringkat yang lebih tinggi. Dan akhirnya detik itu tiba apabila Zul ditawarkan watak hero untuk slot drama paling popular di Malaysia iaitu Akasia.

Memegang watak sebagai seorang juruterbang yang begitu menyayangi isterinya iaitu Ayda Jebat, watak Zul Ariffin lantas menjadi kegilaan peminat drama di Malaysia. Nama Zul Ariffin dan Ayda Jebat tiba-tiba melonjak naik dan menjadi fenomena pada tahun itu.

“Sewaktu menerima tawaran untuk membintangi ‘Rindu Awak 200%’, saya sudah bersedia untuk jadikan drama itu meletup. Ia pasti popular! Saya tahu ia akan menjadi hit apabila kita dapat lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai lagu tema. Dan juga watak juruterbang. Sebab sebelum ini watak Aaron Aziz sebagai juruterbang dalam drama ‘Adam & Hawa’ begitu cemerlang. Dan sudah dua tahun tidak ada watak juruterbang dalam drama selepas ‘Adam & Hawa.’ Bila saya dapat watak itu saya lakukan sehabis baik.”

 

 

Pernah Dibayar RM40

Wajah tampan aktor ini tidak terus muncul di kaca televisyen sebagai pelakon utama. Malah langkah pertamanya sebagai pelakon bermula sebagai ‘extra’ yang hanya di bayar “RM40.

“Watak saya dulu lalu-lalang saja. Minum kopi. Kamera pun jauh dari saya. Tapi saya feelinglah berlakon waktu tu biarpun jauh dari kamera, ceritanya sambil ketawa. Waktu itu saya masih menuntut di UiTM Melaka. Saya masih ingat mantan saya tanya, you nak jadi pelakon tak? Saya temankan dia kerana dia juga salah seorang ‘extra’. Tapi dia dapat bayaran lebih sebab dia ada dialog. But I had fun because from there, saya banyak belajar. Pengalaman itu pada saya sangat memorable dan priceless! Pengalaman itulah yang membentuk saya sekarang.

“Jika nak bercakap tentang struggle, saya pernah melaluinya. Sewaktu mula-mula berlakon saya tiada wang malah saya juga tiada kenderaan untuk pergi ke lokasi penggambaran. Bermula sebagai ‘extra’ dan kemudian pembantu, berapa sangat bayaran yang saya terima pada waktu itu.

I used to be the guy yang bawa baju bersama ‘hanger’ dan pergi tahan teksi. Bila saya nak naik teksi saya terpaksa pinjam duit dengan kakak saya. I have no income, I have to go out for that. Sekarang ini sangat mudah dengan adanya perkhidmatan Grab dan yang setara dengannya yang terus datang ambil di depan rumah. Dulu tak ada semua itu. Saya kumpul duit sikit-sikit sama dengan perjalanan karier saya.

“Tetapi kalau nak cakap pernahkah saya berputus asa, jawapannya tidak. I had fun. Saya terlampau suka dengan kerja saya. Dulu saya terima sahaja apa-apa watak yang diberikan kepada saya asalkan saya dapat bekerja.”

 

Raja Box Office

Percaturan Zul Ariffin untuk bergelar seorang hero filem akhirnya membuahkan hasil. Rata-rata filem lakonannya mendapat kutipan pecah panggung seperti Hantu Kak Limah, J Revolusi, Tombiruo, Misteri Delaila dan yang terbaru Sangkar yang masih hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara.

Apabila filem yang dibintanginya sering mencatat kutipan yang tinggi, ia memberikan tekanan kepada Zul untuk mengekalkan momentum yang sama untuk filem-filem seterusnya.

“Saya rasa tekanan itu bukan berlaku kepada saya sahaja, malah setiap orang yang bekerja dengan saya dalam projek itu. Namun sebagai pelakon yang menggalas tanggungjawab sebagai watak utama, sudah tentu tekanan itu lebih berat ke arah saya. Daripada hari pertama melangkah ke set sehingga tamat penggambaran, nak jaga momentum itu, I think that one is hard! Tekanan dari orang luar hanya datang selepas produk itu siap dan sedia untuk ditayangkan.

 

 

 Bijak Merancang Kerjaya

Mungkin ini sesuatu yang anda tidak tahu mengenai Zul Ariffin. Dia seorang yang bijak merancang perjalanan seninya sejak namanya semakin disebut-sebut sebagai antara aktor yang paling diingini di Malaysia.

Malah strategi inilah yang terus menerus memperkukuhkan lagi nama Zul Ariffin dalam arena seni tempatan.

“Saya teliti dan rancang tentang perjalanan karier lakonan saya. Bila saya perlu berlakon drama, bila saya perlu berlakon filem dan waktu bila drama saya sepatutnya ditayangkan. Sebagai contoh saya perlu peka tentang musim anugerah. Saya akan pastikan drama lakonan saya ditayangkan sebelum musim anugerah. Dan saya akan pastikan saya punya karya baru setiap tahun supaya orang nampak bahawa saya masih aktif dalam dunia lakonan. Namun saya tidak boleh meminta peminat untuk mengundi saya setiap kali menjelang musim anugerah. Apa yang saya boleh lakukan adalah keluar dengan drama baru.

“Sewaktu nama saya sudah naik dengan drama ‘Rindu Awak 200%,’ tawaran untuk menjadi pelakon utama untuk filem masih belum ada. Waktu itulah saya sedar bahawa tidak semestinya jika kita meletup dengan drama, penggiat industri akan tawarkan watak untuk anda.  Sehinggalah saya ditawarkan oleh Gayatri untuk membintangi filem J Revolusi sebagai debut untuk watak hero filem. Saya gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk buktikan kemampuan saya sebagai pelakon filem. Saya tidak mahu hanya muncul dengan satu filem kemudian hilang.

 

Tidak Kisah Promosi Karya Lakonan Sendiri

Baru-baru ini timbul isu tentang pelakon tidak mahu mempromosikan drama lakonan mereka yang ditayangkan di televisyen di akaun media sosial. Sesetengah pelakon ini berpendapat bukan tugas mereka untuk mempromosikan drama lakonan mereka yang ditayangkan di stesen televisyen kerana tidak tertulis di dalam kontrak.

Namun berbeza pula dengan Zul Ariffin. Dia langsung tidak berkira dalam bab promosi atau memberi publisiti kepada karya hasil lakonannya sendiri.

99 peratus pelakon yang mempunyai pendirian seperti itu, they are not lead actors! They are just supporting casts. Yang lead lebih ‘senyap.’ Anda tak akan dengar Datuk Rosyam Nor berkata sesuatu seperti itu. When they don’t know what to promote, mereka mulalah kata macam-macam. Daripada saya buat benda mengarut lebih baik saya promosi produk lakonan saya. There is nothing wrong with it. Lebih daripada 50 orang terlibat dalam pembikinan sesebuah karya, bukan anda seorang. Bila kita promo, kita cuma mahu pastikan kita dapat keputusan yang baik. Do as much and as hard as we can. At the end of the day, good result akan bagi kita rasa hilang penat.

Pada saya tidak adil kalau pelakon tidak mahu mempromosikan karya lakonan mereka sendiri dan meminta bayaran untuk melakukan itu. This is a show business, why do you want to make it your own business? Kalau memiliki stesen TV sendiri tak apalah. This is more than a win-win situation. You win a lot! It’s your face on TV. Mereka yang berpendapat sebegini jangan meroyan kalau stesen TV sudah tidak mahu mengambil mereka lagi. Pada saya mereka ini masih berada di awang-awangan. Biarkan mereka.”

 

 

 Tidak Memilih Heroin

Biarpun namanya kini sudah berada sebaris dengan hero-hero handalan yang lain, namun Zul tidak pernah meletakkan syarat atau memilih siapa gandingan heroinnya di dalam drama mahupun filem. Malah Zul sering kali digandingkan dengan heroin baru seperti Ayda Jebat, Farah Nabila dan Faye Kusyairi.

“Heroin yang sudah ada nama tidak menjamin rating serta kutipan yang tinggi. Kalau dalam filem mungkin ada pihak yang akan bantu dari segi promosi tetapi drama tidak semua. Dalam drama kita perlukan seseorang yang boleh beri komitmen.

Sekarang saya suka bergandingan dengan heroin baru. Kerana mereka ini lebih relaxed. Kebanyakan drama saya yang mendapat rating tinggi semuanya adalah gandingan bersama heroin baru.

Kalau sebelum ini mungkin saya lebih memilih, tetapi sekarang nak memilih pun no point. It’s not up to me. Stesen TV yang memilih siapa pelakon yang mereka inginkan.

 

Tidak Kejar Hollywood

Melihatkan pakej serta resume yang kuat, Zul Ariffin sudah layak jika mahu mencuba nasib untuk melebarkan sayapnya di peringkat antarabangsa seperti Hollywood. Namun kata Zul dia tidak pernah impikan untuk berada di arena antarabangsa itu.

“Saya tidak rasa untuk ke Hollywood aksesnya bermula dari Malaysia. I strongly believe that. It’s not about my movies, but who is the referer? Pelakon Crazy Rich Asian aksesnya bermula dari Singapura. Dato’ Michelle Yeoh bermula dari Hong Kong kemudian baru ke Hollywood. Tiada yang dapat ke Hollywood terus dari Malaysia. But maybe it will happen one day kerana sekarang ini mereka sudah mula memandang ke arah Asia.

Saya tidak pernah terkejar untuk ke Hollywood. I have done my study. Anda perlu ke Amerika, anda perlu memiliki lesen dari ‘Screen Acting Guild’, anda perlukan ejen yang bagus untuk uruskan segalanya. It takes a lot of effort! You can’t just pack your bags, go there, and hope someone will spot you and hire you for a movie. No! That’s not going to happen.

Tetapi apa yang kita boleh lakukan adalah kita hasilkan produk yang bagus sehingga diterima oleh orang disana. Secara realistik agak sukar untuk tembus ke sana secara individu. Hoping is good but you kena ada calculation.”

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Zul Ariffin
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Helmi Anuar
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Jib Salim
  • Busana : Milik Penata Gaya
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam

 

Similar Articles

Alif Satar – Lelaki Idaman Malaya

By Helmi Anuar
Jun 16, 2019

Transisi Mark Adam

By Rahayu Mat Nah
Ogos 26, 2019

Hijrah Jiwa Mizz Nina

By Ili Farhana
September 3, 2019

Iktikad Hati Lisa Surihani

By Nor Syariza Tahir
Julai 29, 2019

Dunia Digital Fara Fauzana

By Helmi Anuar
Julai 8, 2019

‘The New’ Sarah Hildebrand

By Helmi Anuar
Ogos 5, 2019