Westlife Tampil Memukau Dalam Gaya Tersendiri

Ogos 13, 2019
By Rahayu Mat Nah

Truly amazing, itu kata-kata yang mungkin paling ideal untuk menggambarkan kehebatan konsert Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ in Kuala Lumpur.

Bukan biased, tetapi Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily sememangnya tampil dengan persembahan bertenaga. Ternyata usia bukan penghalang untuk mereka ligat di atas pentas.

Bahkan vokal mereka langsung tidak berubah. 22 tahun berada dalam industri, ternyata Westlife masih menyengat dan berbisa.

Pujian juga layak diberikan kepada semua krew produksi kerana konsert ini terhasil sempurna. Jika artis-artis antarabangsa lain memilih untuk mengundang penyanyi lain untuk mengadakan persembahan pembukaan, tidak untuk Westlife.

Paparan visual Westlife sudah memadai kerana ia lebih istimewa untuk tatapan 14,000 orang peminat yang sudah lama menantikan kehadiran mereka di sini.

“Terima kasih kepada anda semua kerana kerana andalah impian akan dapat direalisasikan.  Disebabkan anda jugalah kami dapat menjelajah dunia. Malam ini kami mahu meninggalkan kenangan terindah untuk anda semua,” ujar Kian.

“Tanpa anda semua, kami bukan siapa-siapa. Semoga malam ini menjadi memori terindah buat anda dan pastinya kami juga. Terima kasih atas sokongan anda setiap kali kami berkunjung ke sini,” tambah Shane yang masih kelihatan tampan seperti dahulu.

Persembahan Westlife pada Khamis lalu dimulakan kira-kira jam 9.30 malam apabila Westlife muncul dipentas dengan menyampaikan lagu Hello My Love.

Pekikan dan sorakan peminat memenuhi segenap ruang Stadium Malawati, tanda meraikan kumpulan yang tersemat di dalam ceritera ‘childhood memories’.

Persembahan diteruskan dengan 16 buah lagu-lagu yang menjadi siulan ramai seperti Swear It Again, What About You, Uptown Girl, Unbreakable, Fool Again, I Have A Dream, If Let You Go dan tidak ketinggalan single terbaru mereka Better Man.

Sebagai bonus, terdapat juga segmen khas yang menyaksikan kumpulan dari Ireland ini menyanyikan medley lagu-lagu daripada Queen, seperti We will Rock You, We Are The Champions dan Radio Ga Ga.

Kumpulan bertaraf lagenda ini cukup popular pada tahun 90-an dan awal 2000. Namun, pada 2012 kumpulan ini dibubarkan selepas seorang anggotanya,Brian McFadden meninggalkan kumpulan itu pada 2004.

Pada tahun 2018, Westlife mengumumkan penyatuan semula tanpa kehadiran Brian. Ketika itu, selain menjanjikan single dan album terbaru, Westlife juga memberitahu tentang siri jelajah dan Westlife The Twenty Tour 2019 ‘LIVE’ in Kuala Lumpur ini salah satu daripadanya.

Semoga Westlife terus mengukir kejayaan membanggakan dalam industri muzik antarabangsa. Nantikan album terbaharu mereka, Spectrum yang bakal dilancarkan pada November hadapan.

Kredit foto : MacpiePro