Uyaina Arshad Terbang Tinggi

September 17, 2019
By Nor Syariza Tahir

Wajah manisnya pernah menghiasi kaca televisyen anda pada setiap hari Ahad, jam 2 petang di TV3.

Dengan lantunan suara yang tegas namun penuh dengan kesantunan dan keayuan seorang wanita Melayu, figura ini menggalas tanggungjawab sebagai pengacara ‘Nona’ setelah dinobatkan sebagai juara bagi pencarian Nona Manis 2015.

Namun, jodohnya dengan rancangan majalah berkisarkan dunia wanita yang telah lama bersiaran itu tidak panjang kerana dia hanya berkhidmat selama dua tahun sebelum digantikan dengan Mira Filzah.

Meskipun pelbagai kata nista dan sindiran dilemparkan kepadanya pada ketika itu, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat pemilik nama Uyaina Arshad ini untuk terus berkecimpung dalam dunia penyiaran.

“Bagi saya, sebagai seorang budak hingusan yang menggalas tanggungjawab untuk mengacara ‘Nona’ yang kebiasannya dilakukan oleh mereka yang lebih hebat dan mempunyai nama yang besar merupakan sesuatu yang membanggakan.

“Ia permulaan yang baik buat saya untuk mula bertapak dalam industri ini meskipun dalam tempoh dua tahun, serta ada cakap-cakap yang memperlekehkan kredibiliti saya pada ketika itu,” ujar graduan Undang-Undang Universiti Malaya itu.

Selepas ‘jodohnya’ berakhir dengan ‘Nona,’ Uyaina terlibat dengan sebuah lagi rancangan bual bicara popular di TV3 iaitu ‘Wanita Hari Ini’ yang dilihatnya telah berjaya menerapkan keyakinan yang tingginya dalam dirinya.

“Berbeza dengan format Nona yang dirakam terlebih dahulu, ‘Wanita Hari Ini’ merupakan sebuah rancangan bual bicara secara live yang amat menguji kebijaksanaan saya untuk mengupas sesuatu isu dan berfikir secara pantas dan kritikal.

“Saya tidak boleh berbuat silap dan perlu menjaga sensitiviti terhadap banyak perkara selain perlu sentiasa kelihatan yakin di hadapan televisyen.

“Digabungkan pula dengan pengacara-pengacara senior yang hebat seperti Fiza Sabjahan yang banyak membantu, ia dapat menguatkan skil pengacaraan saya,” tambah Uyaina.

 

Karier Yang Mekar Di Indonesia

Cerita gadis yang berasal dari Perak ini, perjalanan kariernya semuanya berubah dan semakin cerah selepas dia menjuarai pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 yang julung kali dianjurkan oleh stesen televisyen dari Indonesia, Indosiar.

Bermula dari saat itu, satu demi satu tawaran yang diterima oleh Uyaina, dengan kebanyakannya adalah dari Indonesia termasuk tawaran berlakon dalam sinetron.

“Ketika mula ditawarkan untuk mengacara sebuah program televisyen di Indonesia, saya pada asalnya agak ragu-ragu dengan kebolehan diri sendiri.

“Ini kerana saya sedar bahawa trend industri penyiaran di Indonesia yang akan terus menghentikan khidmat seseorang pengacara itu jika dia tidak perform.

“Namun, saya yakinkan diri dan berkata kepada diri sendiri; Apa salahnya saya mencuba?” tuturnya.

Ternyata, percaturan Uyaina untuk mengacara salah satu rancangan realiti paling popular di Indonesia iaitu ‘Dangdut Acedemy Asia’ membawakan tuah kepadanya kerana namanya semakin digilai peminat di sana serta tawaran yang diterimanya mencurah-curah.

“’Dangdut Academy’ merupakan sebuah rancangan yang besar di Indonesia serta mempunyai pengikut yang amat ramai.

“Berbeza dengan rancangan hiburan di Malaysia yang kebiasaanya bersiaran secara mingguan, di Indonesia ia ditayangkan setiap hari secara live, selama lima jam tanpa henti!

“Bayangkan bagaimana saya, seorang pengacara junior yang berasal dari Malaysia ini perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan bahasa Indonesia selain perlu bijak untuk blend in bersama hos-hos senior yang lain,” ceritanya.

Mengagumi hos-hos bersama yang lain dalam rancangan itu seperti Irfan Hakim yang telah berada dalam industri penyiaran selama kira-kira 20 tahun, Uyaina mengakui dia pada asalnya sedikit kekok dan ‘slow’ untuk memahami gurauan dan jenaka yang diutarakan mereka.

“Meskipun pihak produksi memberi kebebasan kepada saya untuk bertutur dalam bahasa Malaysia, namun, saya akui agak sukar untuk saya memahami bahasa Indonesia pada awalnya, apatah lagi untuk ‘menangkap’ maksud gurauan-gurauan hos-hos lain.

“Disebabkan itulah, mereka sering mengusik saya kerana saya sering menjadi gadis ‘blur’ yang tidak faham bahawa mereka sedang mentertawakan saya,” ceritanya sambil ketawa.

Namun bagi Uyaina, dia sedikit pun tidak mengambil hati kerana semakin lama, dia semakin fasih dan memahami bahasa Indonesia sehingga diakui oleh hos-hos lain bahawa dia telah berjaya ‘mencair’ (blend in) dengan mereka.

Diperlakukan bagaikan seorang adik oleh hos-hos lain, ia menjadikan gadis berusia 27 tahun ini menjadi semakin selesa untuk terus mengemudi ‘Dangdut Academy Asia’ bagi musim akan datang selain ‘Golden Memories Indonesia.’

 

 Didiagnos Dengan Penyakit Jantung

Namun, benarlah kata pepatah. Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.

Ketika kerjayanya sedang memuncak naik, kekuatan hati Uyaina tiba-tiba diuji apabila dia disahkan menghidap penyakit jantung pada bulan Mac lepas.

“Ketika kejadian itu berlaku, saya sememangnya pada asalnya buat tak endah kerana menyangkakan ia hanya keletihan biasa akibat tidak cukup rehat.

“Apa yang boleh saya katakan adalah memang pada malam itu saya berasa lesu yang teruk dan keletihan melampau seperti baru sahaja membuat larian keliling padang sebanyak 20 kali.

“Namun, apabila saya tiba-tiba pengsan, abang saya terus membawa saya ke hospital,” katanya yang mengakui jadual kerjanya amat padat dan dia tidak cukup rehat bagi sepanjang bulan Februari hingga April.

Cerita Uyaina, dia masih ingat bagaimana reaksi pertamanya ketika doktor memberitahu bahawa dia menghidap dua jenis komplikasi jantung.

“Doktor datang kepada saya di katil dan mula melukis gambar jantung berserta penjelasan mengenai komplikasi jantung, sedangkan dalam fikiran saya pada ketika itu ligat berfikir; beliau bercakap tentang siapa?

“Namun, saya bagaikan tersentak apabila doktor bertanyakan adakah saya okay?

“Setelah memahami yang sebenarnya beliau bercakap mengenai jantung saya, saya mula menangis tanpa henti.

“Dalam fikiran pada ketika itu ligat berfikir bahawa masih banyak yang belum saya kecapi, kerjaya saya baru mula berputik, bagaimana saya harus meneruskan kehidupan dan saya tidak lagi dapat membuat aktiviti-aktiviti lasak yang saya gemari.

“Melihatkan ibu yang turut menangis di sebelah katil, membuatkan hati saya sayu dan menangis semalaman hingga basah bantal,” ceritanya yang didiagnos dengan takikardia supraventrikel (SVT) dan injap jantung.

Uyaina mengakui, meskipun peristiwa itu diibaratkan sebagai ‘life changing moment’, namun, dia bersyukur kerana dia tidak jatuh terduduk dan meratapi dalam tempoh masa yang lama.

“Alhamdulillah, saya bangkit kembali untuk berusaha pulih dari komplikasi tersebut apabila melihatkan ibu yang menjadi motivasi terbesar saya,” katanya yang mempunyai kadar degupan jantung yang melebihi paras normal pada ketika itu.

Ditanya mengenai rawatan yang perlu dijalani pada masa ini, Uyaina yang kematian bapanya ketika dia berusia lima tahun berkata, dia perlu mengamalkan diet yang betul, makan ubat-ubatan dan menjaga kesihatan agar tidak terlalu letih.

“Selagi saya menjaga kesemua perkara ini, degupan jantung saya akan normal,” ujarnya.

 

Percaya Kepada Rezeki Allah

Menutup bicara pada sesi temuramah petang itu, Uyaina berkata, walaupun bukanlah satu tempoh yang lama untuk dia berkecimpung dalam bidang ini, namun jatuh bangunnya cukup membuatkan dirinya lebih matang dan berani dalam menempuh apa jua dugaan.

Meskipun dia pernah berasa risau dan langsung tidak mempunyai apa-apa perancangan selepas kontrak mengacara Nona tamat, dia tidak cepat melatah, malahan tidak kisah untuk menyertai uji bakat rancangan lain walau pernah dilabel sebagai ‘downgrade’.

“Jangan sesekali takut untuk mencuba perkara baharu atau takut kalau-kalau rezeki kita terputus.

“Rezeki bukan terletak di tangan seseorang atau sesuatu, sebaliknya berada di tangan Allah. Jadi, kita perlu yakin dengan rezeki yang telah ditetapkan olehNya walau apa juga yang berlaku.

“Seperti mana saya percaya kepada rezeki yang telah Allah tetapkan, saya berjaya menerima banyak tawaran mengacara di Indonesia selepas muncul sebagai juara Puteri Muslimah Asia, selain turut menerima tawaran berlakon seperti dalam drama ‘Curi-Curi Cinta,’” ujarnya menutup bicara.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Uyaina Arshad
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
    Penyelaras dan Pengurus Projek : Shah Shamshiri
    Teks (Bahasa Melayu) : Nor Syariza Tahir
    Suntingan : Ili Farhana
    Pereka grafik: Asyraf Tamam
  • Arahan Seni: Helmi Anuar & Zura Ahmad
    Penata gaya : Zura Ahmad
    Penata gaya hijab : Zura Ahmad
    Jurusolek : Jib Salim
  • Busana:

Gaya Pertama:

  • Skaf platinum: Ameerazaini
  • Dress & celana: Blancheur
  • Tutu abaya: THREAD

Gaya Kedua:

  • Skaf biru kobalt: Ameerazaini
  • Blaus, celana, jaket:  Zalora
  • Cekak rambut: Milik penata gaya
  • Kasut platform putih: Milik Uyaina
Cerita gadis yang berasal dari Perak ini, perjalanan kariernya semuanya berubah dan semakin cerah selepas dia menjuarai pertandingan Puteri Muslimah Asia 2018 yang julung kali dianjurkan oleh stesen televisyen dari Indonesia, Indosiar.

Similar Articles

Hijrah Jiwa Mizz Nina

By Ili Farhana
September 3, 2019

Iktikad Hati Lisa Surihani

By Nor Syariza Tahir
Julai 29, 2019

Zul Ariffin, ‘From Extra To Extraordinary’

By Helmi Anuar
September 10, 2019