Tubuhkan Pro-tem Untuk Kaji Isu Berkaitan Penggiat Muzik

Jun 25, 2019
By Nor Syariza Tahir

Pada zaman yang serba canggih dan pantas kini, setiap industri berdepan dengan pelbagai cabaran dan perkembangan pesat yang seiring dengan arus pemodenan.

Tidak terkecuali adalah industri muzik tanah air yang turut sama berdepan dengan cabaran-cabaran serta masalah yang perlu diselesaikan segera bagi menjamin pembangunan industri yang sihat.

Justeru, mengambil kira kehendak penggiat industri muzik serta keperluan untuk mengawal selia pembangunan industri tersebut, Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Awal (Pro-tem) Muzik untuk mengkaji isu-isu berkenaan penggiat seni muzik dalam masa sebulan dari sekarang.

Menterinya, Gobind Singh Deo dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa itu akan terdiri daripada wakil-wakil industri muzik bagi tujuan membincangkan dan merangka strategi ke arah pembangunan industri muzik negara.

“Ia juga adalah untuk mengemukakan cadangan-cadangan bagi penubuhan satu badan khusus bagi menerajui industri muzik dan bagi penyediaan Dasar Industri Muzik Negara,” ujarnya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebelum itu telah mengadakan sesi perjumpaan bersama para penggiat industri muzik untuk mendengar pandangan dan cadangan mereka berkenaan masalah pembangunan industri muzik.

Perjumpaan yang bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri, Eddin Syazlee Shith dan Timbalan Ketua Setiausaha, Shakib Ahmad Shakir.

Lebih daripada 80 orang penggiat industri muzik yang terdiri daripada penyanyi, komposer, syarikat rakaman, label dan pengurusan, artis indie dan karyawan telah hadir ke sesi perjumpaan tersebut.

Menerusinya, pelbagai perkara telah dibangkitkan termasuk isu siaran kandungan muzik antarabangsa yang diberikan keutamaan berbanding dengan kandungan atau penerbitan tempatan, isu kewangan dan dana, kebajikan penggiat seni serta pembayaran royalti, yang mana kesemuanya memerlukan perhatian segera.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kementerian amat prihatin dengan perlunya tindakan segera diambil untuk memperkukuhkan industri muzik tanah air.

“Saya juga mengambil maklum dengan semua perkara yang dibangkitkan termasuk cabaran-cabaran yang dihadapi selaras dengan perubahan masa.

“Selain itu, saya juga bersetuju bahawa dana yang berasingan perlu dipertimbangkan untuk industri muzik demi pembangunan industri ini, dan saya akan membincangkan perkara ini dengan Menteri Kewangan dengan kadar segera,” tambah Gobind.

Sesi perjumpaan tersebut merupakan permulaan kepada usaha-usaha kementerian untuk memperkasa industri muzik Malaysia dengan kerjasama penggiat-penggiat muzik di negara ini.

Pada masa akan datang, banyak lagi pertemuan seumpama itu akan diadakan untuk memastikan semua pandangan dan cadangan daripada industri diambil kira dalam perkara pembentukan perbadanan yang akan menerajui industri muzik serta membentuk Dasar Industri Muzik Negara.

“Adalah menjadi harapan saya bahawa semua yang terlibat dalam industri ini akan membantu dan memberi kerjasama sepenuhnya untuk kita bersama-sama menjayakan industri muzik kita,” kata Gobind.

Foto: Kementerian Komunikasi dan Multimedia & YouTube

 

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa kementerian saya amat prihatin dengan perlunya tindakan segera diambil untuk memperkukuhkan industri muzik tanah air. - Gobind Singh Deo.

Similar Articles

Aizat Amdan Pembuka Tirai Konsert Jason Mraz

By Helmi Anuar
Mei 6, 2019

Alunan Qasidah dan Nasyid di Satu Pentas

By Nor Syariza Tahir
April 10, 2019

Magis Shila Amzah dan Hael Husaini Hidupkan Irama Aladdin

By Nor Syariza Tahir
Mei 15, 2019

Misha Omar Beraksi di Dewan Filharmonik Petronas

By Rahayu Mat Nah
Mei 9, 2019