Transendensi Butterfingers

November 6, 2019
By Contributor

Terus terang, meskipun teruja bakal menonton Konsert Transcendence 20th Anniversary, penulis tidak menduga Stadium Malawati Shah Alam bakal digegar lebih 8,500 peminat tegar Butterfingers daripada pelbagai lapisan umur dan zaman.

Bukan calang-calang kerana hatta band mainstream terkenal pun sukar menghampiri jumlah tersebut. Malah konsert ini berlangsung di waktu yang sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia antara pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah di stadium Bukit Jalil.

Ini membuktikan dengan artis yang betul dan harga tiket yang tepat, masih ramai peminat muzik yang sanggup berbelanja menonton konsert artis kegemaran mereka.

Tidak ada ruang kosong di kawasan moshpit depan pentas malam itu. Dan tidak ada lagu yang disambut dengan suasana sepi atau jeda kerana setiap satu benar-benar dinikmati dan mendapat respons penonton.

That’s how strong their fanbase is. Butterfingers yang dianggotai Emmet (vokalis), Loque (pemain gitar), Loko (pemain dram) dan Kadak (pemain bass) adalah antara band yang berjaya menempati “sweet spot” sebagai band yang cukup dihormati pemuzik, memiliki ramai pengikut setia dan diperakui pengkritik.

Bagi mereka yang sering menghadiri gig mereka akan cukup maklum, fans adalah ciri khas Butterfingers dan konsert malam Sabtu itu jelas sebuah treat buat peminat mereka – yang menggelar diri “Royal Butters – sehingga sanggup turun dari sepelusuk negara.

Butterfingers membuka persembahan dengan lagu epik ‘The Chemistry (Between Us)’ yang penulis berani jamin adalah lagu anthem coming of age lebih separuh peminat yang datang malam itu. Sejurus lampu pentas dimalapkan, diiringi petikan gitar Loque dan gesekan biola Emmet, penonton mula menggila.

Meremang melihat ribuan penonton yang ikut bernyanyi sehingga menggema seisi Stadium Malawati. Pemilihan lagu yang sangat tepat kerana energi langsung mencanak naik.

Segmen mereka dibahagikan mengikut album dimulai dengan sewajarnya dengan semua lagu dari album Transcendence. Album yang dirilis tahun 1999 ini adalah pemangkin yang membuatkan Butterfingers kembali bersatu untuk satu malam setelah membawa haluan masing-masing selepas album Kembali yang dirilis tahun 2008.

Berani penulis katakan Transcendence bukan sahaja milestone penting Butterfingers, malah ia mendahului zamannya. Maka bila ramai mengusulkan ini adalah konsert nostalgia kerana Butterfingers hanya akan memainkan lagu dari awal kemunculan mereka di era 90-an sehingga album Transcendence, penulis tidak merasakan begitu sehinggalah segmen album Butterworth Pushful, apatah lagi dengan lagu ikonik ‘Vio-pipe,’ ‘Stolen’ dan ‘Girl Friday.’

Benar seperti kata Abang Rom, pengasas majalah ROTTW, Butterfingers is one of the best things that happened in the country.

 

Selama tiga jam beraksi, Emmet selaku front man tidak banyak bicara, mungkin mengejar waktu atau skil komunikasi yang canggung, namun suaranya cukup menghantui. Dinamik stage presence beliau kena dengan Loque yang tampil tangkas sebagai daya kreatif (creative force) dengan lick guitar artistik dan raw  khas Butterfingers. Gebukan dram Loko juga tidak mengecewakan.

Adakalanya mereka kelihatan kurang latihan, tercari-cari chemistry antara pemain dan gangguan sistem bunyi kadangkala menjengkelkan, tapi ramai mengerti ini konsert rock. Bukan kesempurnaan yang dicari tetapi energi dan ekspresi.

Di sebalik ketidaksempurnaan, Butterfingers memberikan apa yang didamba fans mereka dengan pemilihan lagu “fan’s favourite” serta menebus kekecewaan peminat ketika konsert Rockaway di Bukit Jalil tahun 2016 yang mana ‘The Chemistry’ tidak dimainkan.

Namun insiden Kadak mengalami sakit dada di saat setlist semakin menampilkan sisi kental grunge Butterfingers melalui album 1.2 Miligrams dan akhirnya mereka akur memendekkan set serta tanpa encore, jujur membuatkan penulis merasakan sedikit terkapai dan anti klimaks. Kata orang seperti bersin yang tak lepas, sekalipun perasaan itu sedikit diimbangi dengan pilihan lagu menggegar tanpa ampun dari lagu pertama. Begitulah, kita hanya mampu merancang. Semoga tiada yang serius dan Kadak cepat sembuh untuk kembali beraksi.

Yang pasti malam itu berjalan persis seperti bait lirik lagu Butterfingers “Fire is A Curse” – time stop ticking but everything is faster.

Mungkinkah Butterfingers akan kembali membuat perhitungan dengan ulangtahun ke-20 album Malayneum pula? Siapa tahu. Yang pasti penulis yakin 8,500 fans yang hadir malam itu tak ada masalah untuk kembali.

 

Tulisan: Soraya J.

Gambar: Shafiq Shahar

Berani penulis katakan 'Transcendence' bukan sahaja 'milestone' penting Butterfingers, malah ia mendahului zamannya.
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: