Tip Bercuti di Bulan Ramadan

Mei 6, 2019
By Rahayu Mat Nah

Mungkin tidak ramai yang sanggup bercuti ketika bulan Ramadan. Selain bimbang keletihan, ramai juga yang merasakan bercuti di bulan puasa tidak berbaloi kerana aktiviti akan terbatas. Maklumlah tidak boleh makan dan minum seperti biasa.

Namun, percutian di bulan Ramadan juga ada keistimewaannya. Terdapat hotel yang menawarkan potongan harga bilik sehingga 50 peratus, begitu juga dengan tiket pesawat. Tapi anda harus lakukan sedikit homework di dalam talian. Satu lagi yang menarik tentang percutian di bulan puasa ini, kita boleh lihat dan menikmati suasana berpuasa di tempat atau negara lain.

Percutian ke Jakarta contohnya memang menyeronokkan. Banyak juadah istimewa dijual ketika itu. Bila masuk ke pusat membeli-belah, cukup meriah dengan lagu-lagu perayaan yang semestinya berbeza daripada lagu-lagu di sini. Moreh di Jakarta juga cukup mewah. Kami dimaklumkan ketika itulah orang kaya-kaya  di sana bersedekah juadah. Suasananya memang menyeronokkan.

Jadi, jika anda memang bercadang atau sudah pun punya tiket penerbangan untuk percutian di bulan puasa, cuba semak tip di bawah untuk memastikan percutian anda nanti tidak menjadi sesuatu yang disesalkan!

 

1) Jangan tertinggal waktu sahur

Bersahur sangat penting untuk memastikan tubuh badan kekal bertenaga sepanjang hari. Kalau sudah namanya bercuti, tidak mungkin anda mahu melepak sahaja di bilik menunggu waktu berbuka.

Jadi, untuk mengelakkan tubuh badan kepenatan, jangan tinggalkan sahur. Pilih makanan yang mampu memberi tenaga berpanjangan seperti kurma, roti serat tinggi, oat, pisang dan madu. Jangan lupa minum air secukupnya.

2) Jangan lupa periksa waktu imsak dan berbuka

Kalau bercuti ke luar negara, haruslah mengambil tahu tentang jadual berpuasa di sana. Mana mungkin sama dengan Malaysia. Jika ke negara jiran mungkin tempoh berpuasa tidak banyak beza, tetapi jika ke negara-negara musim sejuk, memang sangat berbeza. Jadi, buatlah persediaan yang sepatutnya.

3) Bawa bekalan air dan kurma

Kalau sudah terlalu asyik berjalan, tidak mustahil anda terleka sehingga menghampiri waktu berbuka. Bukan semua tempat mudah mencari restoran atau tempat makan. Cara terbaik, bawa bekalan air mineral dan kurma untuk mengalas perut sebelum menikmati hidangan lengkap.

4) Stok makanan halal

Jika lokasi percutian yang dipilih itu sukar untuk mencari makanan halal, sebaiknya bawa stok makanan halal siap-siap. Antara menu yang boleh dibawa adalah serunding, sambal ikan bilis, mi segera, biskut dan makanan dalam tin yang sesuai. Kalau tidak dimakan ketika berbuka, mungkin ia diperlukan ketika mahu bersahur.

5) Pilih aktiviti yang bersesuaian

Kalau sudah berpuasa, janganlah pilih aktiviti yang memerlukan ketahanan fizikal seperti hiking, water rafting atau meneroka gua. Bimbang nanti anda terpaksa berbuka puasa sebelum waktunya. Setakat aktiviti sight-seeing, pasti tidak menjadi masalah.

6) Nikmati percutian!

Walaupun sedang berpuasa, cuba nikmati percutian anda sepuas-puasnya. Jangan fokus sangat pada makanan atau minuman. Kalau perut berbunyi kerana lapar, cuba alihkan perhatian kepada perkara yang mampu buat anda leka.

Contohnya membeli-belah, merakam foto kenangan atau ikuti aktiviti belajar memakai pakaian tradisional seperti kimono atau hanbok.

Selamat merancang percutian dan selamat berpuasa.

Kredit foto : JESHOOTS.COM, Paweł Czerwiński, Mona Mok, Unsplash

Similar Articles

‘Food For Iman’ Teroka Tempat Makan Halal Di Kuala Lumpur

By Nor Syariza Tahir
April 25, 2019

Glow Ao Nang Sesuai Bajet, Makanan Halal Pun Senang

By Rahayu Mat Nah
April 24, 2019

Apa Istimewanya Mimaru Tokyo Ueno East?

By Rahayu Mat Nah
April 16, 2019

Keunikan Kota Algiers

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

Kenangan Manis di Tunis

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

Percutian Hebat di Amari Hua Hin

By Rahayu Mat Nah
April 10, 2019