‘The New’ Sarah Hildebrand

Ogos 5, 2019
By Helmi Anuar

Nama Sarah Hildebrand tiba-tiba menjadi bualan ramai bermula awal tahun ini apabila drama yang dibintanginya iaitu ‘Pujaan Hati Kanda’ yang disiarkan di slot Akasia TV3 menjadi fenomena. Watak Nadine yang digalasnya telah membuka mata ramai pihak akan bakat lakonan yang ada pada wanita berusia 29 tahun ini.

Beliau mula melangkah ke dalam industri dengan pertandingan realiti ‘Gadis M2’ beberapa tahun lalu, namun bakat lakonannya belum benar-benar menyerlah sehingga awal tahun ini. Tamat sahaja drama ‘Pujaan Hati Kanda,’ Sarah terus disambar membintangi drama bersiri ‘Hero’ di mana dia diberi peluang melakonkan watak sebagai seorang anggota bomba.

Alhamdulillah saya telah pun habis menjalani penggambaran drama. Sekarang ini saya tunggu masa saja untuk drama-drama saya ditayangkan di TV. Saya bersyukur dengan penerimaan ramai dengan watak Nadine. Bila saya keluar, ramai yang akan tegur dan senyum kepada saya malah mereka memanggil saya dengan nama Nadine.

“Sewaktu menerima untuk melakonkan watak Nadine, saya tidak menjangkakan sambutannya akan menjadi hebat sebegini. Tetapi selepas melihat penerimaan yang sangat baik dari penonton, saya rasa sangat berbaloi melakonkan watak antagonis ini”.

Biarpun dikurniakan dengan wajah yang jelita, namun Sarah juga bergelut untuk meyakinkan pengarah dan penerbit untuk menawarkannya sebarang watak dek wajahnya yang dikatakan terlalu kebaratan.

Saya pernah lalui situasi seperti itu. Ada orang beranggapan wajah saya terlalu ‘mat salleh’ tidak cukup Melayu. Saya terpaksa ubah sedikit diri saya supaya kelihatan lebih kemelayuan agar diterima oleh masyarakat Melayu. Tetapi saya sedikit kecewa kerana saya tidak boleh menjadi diri sendiri semata-mata untuk puaskan hati orang lain. Tetapi kini Alhamdulillah sedikit sebanyak orang sudah mula menerima siapa diri saya yang sebenarnya.”

Berjaya menggalas watak antagonis dengan baik, Sarah tidak kisah andai ditawarkan lagi watak sebegitu tetapi dia tidak mahu dirinya hanya dikenali dengan watak antagonis. Sebaliknya Sarah turut mengidamkan watak komedi dan gila. Tambah Sarah lagi, dia berharap agak lebih banyak watak yang mencabar diberikan kepada aktres yang berhijab kerana hijab tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk menonjolkan sisi lakonan yang berbeza.

 

Putus Cinta

Kisah percintaan Sarah dan bekas kekasihnya iaitu pengacara Nabil Mahir benar-benar mengejutkan ramai pihak. Hubungan yang terjalin selama lima tahun ini akhirnya terlerai tanpa sebarang ikatan. Setelah lama berdiam diri, baru-baru ini Sarah ada membuat pendedahan yang kontroversi di Instagram miliknya menjelaskan apa yang sebenarnya sudah berlaku dalam hubungan mereka.

“Hubungan ini sepatutnya sudah lama terputus. Tetapi saya masih bertahan selama lima tahun kerana saya rasa mungkin saya perlu pelajari sesuatu daripada hubungan ini. Ada hikmah dalam semua yang terjadi. Dalam tempoh hubungan itu kadangkala saya rasa macam menyesal dan membuang masa. Tetapi bila difikirkan kembali, sekarang saya punya perspektif yang berbeza tentang cinta. Ianya bukan tentang keseronokan semata-mata tetapi bagaimana anda berhadapan dengan situasi seperti pertengkaran dan penyelesaian yang saya rasa  lebih penting dalam sesebuah perhubungan.

Kadang-kadang orang luar tidak tahu situasi sebenar apa yang berlaku. Apa yang saya belajar daripada hubungan yang lepas adalah tidak kisah sama ada anda single atau sedang bercinta, you have to put you, yourself first. You have to love yourself first before you give love to other people. Sebagai contoh jika anda seorang yang ‘insecure’, hubungan anda tidak akan menjadi. Anda perlu yakin dengan diri anda dulu baru anda akan dapat harungi sesebuah perhubungan.”

Desas-desus yang bertiup kencang sebaik sahaja hubungan mereka terputus adalah, Sarah memilih untuk tinggalkan Nabil kerana sedang mengecapi populariti sebagai pelakon. Namun kata Sarah, bukan dia yang meninggalkan sebaliknya dia yang ditinggalkan sang bekas kekasih.

Dia sudah banyak kali minta kami putuskan hubungan ini. Tetapi waktu itu saya masih lagi cuba bertahan. Tetapi kali ini saya terus bersetuju. Mungkin dia fikir kali ini saya akan datang balik kepadanya kerana selalunya saya akan cuba perbaiki hubungan kami”.

Ditanya bagaimana dia cuba mengatasi segala permasalahan yang melanda dirinya, kata Sarah dia sering kali menangis sendirian di dalam kamar.

I cried a lot. Saya akan duduk dalam bilik dan menangis sampailah saya sudah tidak boleh menangis. Lepas itu saya akan berkomunikasi bersama rakan terdekat untuk luahkan segalanya. Saya juga akan dekatkan diri dengan Tuhan dan cuba untuk sibukkan diri. Saya bersyukur kerana selepas saya putus cinta, saya terus mulakan penggambaran drama bersiri ‘Hero.’ Bangun pagi terus pergi kerja sampai malam tak ada masa nak fikir tentang hubungan lalu”.

Ujar Sarah lagi, selepas dari terputusnya hubungannya dengan Nabil, bekas kekasihnya itu ada cuba  menghubunginya untuk berbincang. Namun hatinya sudah tertutup kerana berasa sudah penat selama lima tahun menghadapi situasi yang sama.

 

Tak Sangka Berhijab  Awal

Sarah mengambil keputusan untuk berhijab pada tahun 2015 iaitu setahun selepas dia memenangi pertandingan realiti ‘Gadis M2.’ Ramai yang terpesona dengan kejelitaan wajahnya selepas tampil dengan imej berhijab. Ramai juga yang tidak menjangkakan gadis urban berdarah campuran Amerika sepertinya akan membuat keputusan untuk tampil dengan imej berhijab di usia yang muda.

“Sewaktu memenangi pertandingan ‘Gadis M2,’ saya rasa ia rahmat buat saya. Tetapi waktu itu saya tidak solat. Tidak solat langsung. Tetapi dalam hati saya waktu itu saya berdoa Ya Allah tolonglah bagi aku menang dan Allah kabulkan doa saya dan saya menang. Sewaktu itu saya mula terdetik bahawa mungkin saya patut lebih bersyukur kerana macam-macam yang Allah bagi pada saya walaupun tanpa saya minta.

“Saya pun tidak menjangkakan saya akan berhijab seawal ini. Kawan-kawan saya semuanya terkejut. Mereka ingat saya tidak akan pakai tudung langsung. Saya juga perlu ingatkan diri saya daripada mana saya datang. Bahawa saya ini sebenarnya orang Islam. Disebabkan saya kacukan Melayu dan Amerika, I already have my American lifestyle.

“Saya rasa lebih selesa selepas berhijab. Pada mulanya saya rasa sedikit pelik, sebab jejaka di luar sana langsung tidak memandang ke arah saya. Sewaktu saya belum berhijab mereka akan pandang atas bawah depan belakang. Selepas berhijab, mereka tidak memandang langsung ke arah saya. Pada mulanya saya sedikit terasa hati. Tetapi mereka sebenarnya mula menghormati saya. Perkara terbaik yang saya rasa selepas pakai hijab adalah saya mahu tahu lebih lagi tentang Islam”.

Sebagai manusia biasa, Sarah juga tidak terlepas dari berperasaan bergelut dengan diri sendiri dan teringin untuk bergaya seperti dahulu. Namun dia sentiasa ingatkan dirinya supaya tidak kembali menjadi seperti dulu.

Melihatkan situasi sekarang di mana ramai selebriti yang dahulunya berhijab tetapi kini tidak lagi, Sarah turut gusar dengan perkara seperti itu dan cuba sedaya upaya untuk hindari daripada menjadi seperti itu.

“Saya rasa setiap wanita yang berhijab mesti pernah berperasaan seperti bestnya kalau dapat buka hijab atau bergaya seperti dulu.  But for me I cannot imagine myself tidak berhijab after this. Mungkin saya sudah puas dengan zaman tidak berhijab”.

 

Kontroversi Pegang Anjing

Beberapa bulan yang lalu juga Sarah terpalit dengan kontroversi apabila memuatnaik gambarnya memegang seekor anjing sewaktu menjalani penggambaran drama bersiri ‘Hero.’ Gara-gara gambar itu, Sarah telah dikecam hebat oleh netizen yang skeptikal tentang hukum-hakam.

Kita sering dimomokkan kalau benda tu haram, maknanya haramlah segalanya. Kita belajar di sekolah dulu boleh pegang anjing tetapi dalam keadaan kering dengan kering. Kalau terpegang pun ada cara samak yang telah diajar. Saya mahu orang untuk berfikir, tetapi kadang-kadang netizen terlampau berfikiran negatif. Tetapi ramai juga yang menyokong saya tidak semuanya mencemuh. Anda juga yang baru belajar tentang hukum memegang anjing selepas saya muat naik foto itu dan mahu membuat kajian. Saya rasa itu lebih baik daripada muatnaik perkara-perkara yang tidak membantu perkembangan otak.

Menarik sebenarnya bila baca komen-komen netizen. Kadang-kadang kita dapat info yang baru daripada komen-komen mereka. Saya juga ada bertanya dengan beberapa orang ustaz tentang perkara ini  dan minta pendapat mereka. Perkara-perkara ini telah membuka mata dan minda kita. Saya harap selepas ini masyarakat kita lebih terbuka untuk berbincang tentang perkara sebegini bukan hanya sekadar mengecam orang tanpa berfikir panjang dan usul periksa.

Tahun ini adalah tahun yang benar-benar menjadi buat Sarah Hildebrand. Kerjayanya berjalan dengan baik, malah drama-drama lakonannya juga dalam senarai tayangan untuk disiarkan. Biarpun kisah cinta sering diberi tumpuan utama, namun itu bermakna dirinya relevan berada di dalam industri hiburan Malaysia. Semoga kerjaya Sarah Hildebrand terus berkembang mekar dan berjaya menjadi contoh dan teladan buat masyarakat di luar sana.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Sarah Hildebrand
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Helmi Anuar
  • Penata Gaya Hijab : Helmi Anuar
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Saidatulnisa Aminuddin
  • Busana : Milik Penata Gaya & Ezzati Amira
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam

 

 

 

Similar Articles

Iktikad Hati Lisa Surihani

By Nor Syariza Tahir
Julai 29, 2019

Metamorfosis Liyana Jasmay

By Ili Farhana
Mei 12, 2019

Kemilau Bintang Ummi Nazeera

By Ili Farhana
Mei 19, 2019

‘Survival’ Seni Amira Othman

By Helmi Anuar
Julai 22, 2019

“Saya Hampir Berhenti” – Sarah Raissuddin

By Helmi Anuar
Jun 23, 2019

Dunia Baru Shila Amzah

By Nor Syariza Tahir
Jun 3, 2019

Dunia Digital Fara Fauzana

By Helmi Anuar
Julai 8, 2019

Kisah Hati Alyah

By Helmi Anuar
Mei 26, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: