‘Terang’ Menerangi Sinar Harapan Simplysiti Di Hati 2019

November 1, 2019
By Shah Shamshiri

Dato Sri Siti Nurhaliza dan SIMPLYSITI kembali dengan kempen Tanggungjawab Sosial Korporatnya iaitu SIMPLYSITI Di Hati.

Sebuah majlis pelancaran dan sidang media kempen SIMPLYSITI DI HATI 2019 telah diadakan di New World Hotel, Petaling Jaya. Presiden SIMPLYSITI, Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut hadir meraikan para tetamu yang terdiri daripada para penerima dana, rakan niaga, penaja dan juga rakan-rakan media.

Beliau menyatakan bahawa kempen SIMPLYSITI DI HATI 2019 yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Institut Jantung Negara adalah sejajar dengan hasrat syarikat yang turut prihatin dengan golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan dana kesihatan. Apatah lagi kini sebagai seorang ibu, rasa keprihatinan bagi membantu kanak-kanak yang sakit ini, semakin mendalam.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2011, kempen tersebut telah berjaya mengumpul dana melebihi RM200,000 yang telah disalurkan ke dalam tabung Yayasan IJN untuk membiayai kos pembedahan 17 orang kanak- kanak pesakit jantung kurang berkemampuan.

Bagi kempen yang berlangsung selama dua bulan sepanjang bulan November dan Disember 2019 ini, SIMPLYSITI Di Hati kembali untuk membantu lima orang lagi kanak-kanak pesakit jantung iaitu yang Adik Mugilan A/L Ramesh Rao berusia dua tahun, Adik Siah Wan Ying, Adik Nurul Syamimi Binti Ahmad Paridon, Adik Auni Insyirah Binti Muhammad Firdaus Hilmi, Adik Nur Auni Mardhiyah Binti Ahmad Hanafi masing-masing berusia empat tahun. Kesemua kanak-kanak ini dijadualkan untuk menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara dengan kos keseluruhan dianggarkan berjumlah sekurang-kurangnya RM70,000.

Istimewa tahun ini, single terbaharu Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang berjudul ‘Terang’ telah dipilih menjadi lagu tema kempen SIMPLYSITI Di Hati. SIMPLYSITI telah menaja pembikinan muzik video lagu ini dan ditayangkan secara eksklusif pada majlis sidang akhbar kempen tersebut. Lagu ‘Terang’ dihasilkan oleh komposer dan pengarah muzik terkenal, Aubrey Suwito dan penulis lirik, Shah Shamshiri.

Menurut Dato’ Sri Siti Nurhaliza, lagu “Terang” merupakan sebuah hadiah dari beliau untuk membakar lagi semangat kanak-kanak pesakit jantung untuk mereka sembuh semula dan seterusnya membantu mereka untuk meneruskan kehidupan yang ceria seperti kanak-kanak yang lain. Video muzik tersebut akan dimuat naik di saluran YouTube pada bulan November ini.

SIMPLYSITI Di Hati 2019 akan mengumpul dana melalui konsep ‘membeli sambil menderma’. Dengan setiap pembelian RM120 ke atas produk SIMPLYSITI termasuk BeauSiti, sebanyak RM5 akan disalurkan ke Yayasan Institut Jantung Negara dan pembeli akan turut menerima Di Hati 2019 Gift Box Eksklusif bernilai RM100 yang mengandungi sebatang lipstik dan beberapa baucar istimewa secara percuma. Pada masa yang sama, mereka berpeluang memenangi dua jemputan eksklusif ke Fun Day Out Bersama Dato’ Sri Siti Nurhaliza melalui peraduan “DERMA DAN MENANG’. Cara penyertaannya adalah mudah di mana pembeli hanya perlu berkongsi gambar swafoto bersama SIMPLYSITI Di Hati 2019 Gift Box Eksklusif dengan hashtag #simplysitidihati2019 di Facebook atau Instagram. Seramai lima belas pemenang bertuah bakal dipilih untuk memenangi “Fun Day Out” tersebut. Peraduan yang berlangsung dari 1 November 2019 sehingga hujung bulan Disember 2019 dijangka bakal mendapat sambutan yang hebat daripada para pengguna SIMPLYSITI dan peminat penyanyi no.1 negara itu.

Bukan itu sahaja, SIMPLYSITI juga ingin menggalakkan dan membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada kempen tersebut. Sejumlah RM10,000 lagi akan disumbangkan ke tabung Yayasan IJN sekiranya video rasmi SIMPLYSITI Di hati 2019 mendapat tatapan sehingga satu juta penonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza Official. Video tersebut akan dimuat naik bermula 1 November 2019.

Demi merealisasikan dan menjayakan misi Kempen SIMPLYSITI Di Hati 2019 ini, Dato’ Sri Siti Nurhaliza sendiri juga bakal turun padang ke cawangan Butik Creacion & SIMPLYSITI terpilih.

Pada hari Sabtu, 2 November 2019, beliau akan berada di Creacion Bangi pada jam 1 tengahari dan Creacion Melawati Mall pada jam 4.00 petang. Pada minggu seterusnya, beliau akan berada di Creacion Johor Bharu pada jam 12.00 tengah hari. Akhir sekali, pada 8 Disember 2019 pada jam 1 tengahari beliau akan berada di Creacion Kuala Lumpur dan seterusnya di Creacion Shah Alam pada jam 4 petang.

Para pelanggan berpeluang membeli barangan SIMPLYSITI dan beramah mesra dengan Dato’ Sri Siti Nurhaliza di lokasi-lokasi tersebut. Pihak Creacion & SIMPLYSITI juga memberi sokongan penuh terhadap kempen tersebut dengan komitmen sumbangan sebanyak RM5 lagi untuk setiap pembelian RM200 di butik-butik mereka.

Untuk menjayakan kempen ini, SIMPLYSITI bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk Watsons Malaysia selaku rakan niaga rasmi, Butik Creacion & SIMPLYSITI selaku rakan butik rasmi, Astro GoShop dan CJ Wow Shop selaku rakan niaga TV rasmi,  Shopee selaku rakan niaga online rasmi dan Chatime selaku penaja bersama serta New World Hotel Petaling Jaya sebagai penaja hotel. Kempen ini juga disokong oleh CIMB Islamic.

Sehubungan dengan itu, Dato’ Sri Siti Nurhaliza mengajak orang ramai untuk bersama-sama menyertai Kempen SIMPLYSITI DI HATI 2019 dengan membeli sambil menderma dan kongsikan video rasmi SIMPLYSITI Di Hati 2019 di saluran YouTube Siti Nurhaliza Official bagi mengumpul dana tambahan sebanyak RM10,000 selain berjumpa dengan beliau di lokasi-lokasi terpilih dalam menjayakan misinya mengumpul dana bagi pembedahan jantung untuk lima orang kanak-kanak tersebut. SIMPLYSITI Di Hati, Permata Hati Buat Si Kecil.

Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: