Tenangnya Adelaide, Mendamaikan Hati dan Minda, bhg. 2

Ogos 16, 2019
By Ili Farhana

Dalam bahagian pertama, kami sudah ceritakan sedikit sebanyak latar belakang Adelaide, Australia dan bila waktu yang terbaik untuk ke sana.  Kini kami ingin berkongsi beberapa tempat dan aktiviti yang wajib anda lakukan jika anda ke Adelaide. Silakan klik pada setiap gambar untuk melihat setiap gambar dengan lebih baik. 

 

Adelaide Central Market

Adelaide Central Market menjadi aktiviti pertama kami di Adelaide. Kami sarankan anda melakukan yang sama juga. Jamu mata dan perut di pagi hari dengan hasil tanaman dan makanan tempatan di hari pertama, sambil berkira-kira apa yang boleh dibawa pulang sebagai ole-ole, dan datang sekali lagi pada hari terakhir.

Adelaide Central Market berusia lebih kurang 150 tahun. Ia menjual segala jenis sayur-sayuran dan buah-buahan nan segar, manisan, bunga-bungaan dan banyak lagi. Makanan halal juga terdapat di pasar ini. Walaupun ia pasar utama di Adelaide, Adelaide Central Market tidak dibuka setiap hari. Jadi jangan lupa periksa waktu dan hari sebelum merancang ke sana.

Kami juga sarankan anda mengikuti market tour yang disediakan oleh Food Tours Australia. Bolehlah mendapat sedikit diskaun di sesetengah gerai, sambil mempelajari sedikit sebanyak tentang pasar unik ini serta para peniaga dan hasil dagangannya.  Jika anda seperti kami yang suka melawat pasar tempatan setiap kali merantau, anda juga boleh cuba melawat pasar-pasar petani yang kecil di sekeliling Adelaide, seperti pasar pagi Willunga Farmers Market yang sangat menarik.

EcoCaddy

Selain daripada ke Adelaide Central Market, EcoCaddy juga boleh menjadi aktiviti pertama anda sebaik sahaja selepas mendarat di Adelaide. Anda akan dibawa mengelilingi kota dengan ‘beca’ moden (ia dibuat daripada kayu dan menggunakan sistem kayuhan elektrik!) yang dikayuh oleh guide yang akan memperkenalkan pusat bandar Adelaide kepada anda. Oleh kerana saiz EcoCaddy yang kecil, anda akan dibawa melalui bukan sahaja jalan-jalan utama tetapi juga melalui lorong-lorong kecil yang dihiasi kedai-kedai kopi, mural-mural kreatif, dan taman-taman. Sesuai sebagai acara ‘orientasi’ anda kepada Adelaide.

Hahndorf

Rasai  pengalaman menelurusi jalan pekan kecil Eropah di Hahndorf. Hahndorf terletak sekitar 30 minit sahaja daripada Adelaide. Ia merupakan penempatan masyarakat Jerman tertua di Australia dan diwujudkan pada tahun 1839. Jalan utama di Hahndorf dihiasi kedai-kedai kecil menjual produk buatan tempatan serta produk-produk dengan sentuhan Jerman. Anda boleh mencuba madu segar di Buzz Honey atau duduk minum secangkir kopi atau teh di kafe-kafe kecil, dan untuk anak-anak kecil, mungkin boleh melawat haiwan-haiwan jinak di Hahndorf Farm Barn. Jangan lupa juga singgah ke Beerenberg Farm untuk memetik buah strawberry pada bulan November-April, atau sekadar membeli jem botol kecilnya yang terkenal. 

Softfoot Alpaca Farm

Siapa tidak geram dengan kecomelan alpaka? Di Softfoot, anda dapat mendekati binatang berbulu lembut  ini. Walaupun tidak semuanya jinak dan boleh dibelai-belai, tapi anda dapat merasai pengalaman memberi mereka makan dan bergambar bersama. Bukan itu sahaja, anda juga akan berpeluang menaiki ATV buggy dan dibawa keliling ladang seluar 600 ekar ini. Persis filem Jurassic Parklah!

Di sini, keluarga Gary dan Sandy Retallick bukan sahaja menternak alpaka berkualiti tinggi tetapi ladang mereka turut menjadi tempat merawat koala dan menjadi ‘genetik ark’ untuk haiwan marsupial yang terancam dan jarang ditemui. Softfoot Alpaca Farm terletak di Hindmarsh, kira-kira satu jam perjalanan dari kota Adelaide. Mereka mempunyai pelbagai jenis tour harian untuk para pengunjung tetapi jangan lupa untuk membuat tempahan awal kerana ada had jumlah pengunjung setiap hari.

Ini pengalaman terbaik kami sepanjang 3 hari di Adelaide. Bukan sahaja alpaka, tetapi merasai pengalaman merentas keluasan ladang sambil mendengar cerita-cerita daripada Gary Retallick sendiri, luar biasa rasanya.

Morialta Conservation Park

Taman ini terletak cuma 10KM dari Adelaide, menyediakan kemudahan tempat meletak kereta yang bagus serta kemudahan berkelah dan masuk tanpa bayaran. Tetapi ia bukan taman konservasi yang biasa-biasa. Sewaktu kami mengunjungi taman ini di musim sejuk, air terjun Morialta Falls mengalir deras. Kata guide kami, air terjun ini hanya akan ada sewaktu musim sejuk atau musim bunga. Kalau panas, semuanya kering.

Di taman ini, anda boleh melakukan aktiviti bushwalk, atau hiking. Ada beberapa laluan yang disediakan dengan pelbagai tahap kesusahan yang berbeza. Kami sarankan anda mengikuti kumpulan hiking atau tour berasaskan alam semula jadi, seperti yang kami lakukan bersama syarikat pureSA.

Kami sempat menjelajah taman ini sebentar, sambil diberi penerangan tentang flora dan fauna tempatan, dan sempat juga melihat beberapa ekor koala liar. Di hujung acara kami, kami sempat berkelah di tepi kali. Sungguh menenangkan!

Cadangan Perjalanan

Kami menghabiskan masa cuma 4 hari 4 malam (termasuk waktu perjalanan) di Adelaide. Tak puas rasanya, tapi cukup bagus untuk kami meneroka sedikit sebanyak pusat bandar Adelaide serta kawasan sekitarnya sambil merehatkan minda. Seperti yang ditulis di bahagian pertama, kami ke Adelaide sewaktu musim sejuk. Dinginnya tidak keterlaluan. Selesalah untuk bersiar-siar di luar.

Pada hari pertama, sebaik sahaja kami mendarat, kami ke Adelaide Central Market dan diikuti dengan ‘penjelajahan’ mini pusat bandar Adelaide bersama EcoCaddy. Selepas itu kami makan tengahari dan menghabiskan petang kami di sekitar kawasan Hahndorf dan Adelaide Hills.

Pada keesokan harinya, kami memulakan hari di Willunga Farmers Market (hanya dibuka pada hari Sabtu), dan diikuti ke lawatan singkat ke ladang d’Arenberg untuk ke The Cube. Kami mengisi tengahari dan petang kami di Softfoot Alpaca Farm, dan singgah sebentar di Granite Island dan sebelum pulang ke hotel berehat.

Pada hari terakhir, kami melakukan aktiviti bushwalk di Morialta Conservation Park, dan meneroka kawasan pusat bandar Adelaide.

Ini baru sedikit yang dapat kami terokai. Bayangkan kalau kami mempunyai masa yang lebih lama, pasti lebih banyak aktiviti yang kami boleh cuba. Tak sabar rasanya hendak berkunjung lagi ke Adelaide. Apakah mungkin nanti di bulan Oktober untuk menyaksikan Dato’s Siti Nurhaliza membuat persembahan di OzAsia Festival

 

Perjalanan SalamToday ini ditaja oleh Malindo Air dan South Australian Tourism Commission. Semua gambar diambil menggunakan telefon pintar OPPO RENO 10X Zoom ihsan OPPO Malaysia. Sambungan internet ditaja oleh Travel Recommends. Terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak terlibat.

Gambar: Ili Farhana

Similar Articles