Tenangnya Adelaide, Mendamaikan Hati dan Minda, bhg. 1

Ogos 16, 2019
By Ili Farhana

Bayangkan anda pergi bercuti, dan selepas pulang daripada percutian itu, anda rasa seperti perlu satu lagi percutian untuk berehat daripada percutian yang awal tadi. Kadangkala kita berasa seperti itu kerana cuba ‘menyumbat’ terlalu banyak aktiviti dalam waktu yang singkat, atau terpaksa lalui banyak pengalaman yang kurang enak sewaktu bercuti. 

Bagaimana kalau kami cadangkan anda bercuti di Adelaide pula? Pasti tenang, dan mampu melepaskan semua tekanan dan bebanan kerja. Tapi, apa pula yang ada di Adelaide? Apa kata pengikut media sosial anda nanti? Adelaide tidak se’hip’ destinasi percutian lain di Australia? Tak kenal maka tak cinta, bukan? Mari, kami kenalkan anda dengan Adelaide. 

Di Manakah Adelaide?

Adelaide terletak di Selatan Australia. Ia mengambil masa kira-kira sembilan jam perjalanan dari Kuala Lumpur bersama Malindo Air (dengan satu transit singkat di Lapangan Terbang Ngurah Rai, Bali). Sejak April lalu, Malindo Air menawarkan penerbangan ke Adelaide sebanyak empat kali seminggu. 

Adelaide dikenali sebagai syurga makanan dek hasil tanaman segar daripada ladang-ladangnya. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai tarikan alam semula jadi yang indah seperti Kangaroo Island, Flinders Range, dan paling penting, ia merupakan pintu masuk yang baik untuk mereka yang mahu meneroka kawasan Outback Australia yang terkenal. 

Ada Apa Dengan Adelaide?

Secara ringkasnya, semuanya ada di Adelaide. Kaki Instagram takkan kehabisan lokasi berfoto di sekitar kota, yang sukakan alam semula jadi atau aktiviti lasak, sangat banyak aktiviti yang boleh dilakukan, daripada berenang bersama ikan lumba-lumba liar di Glenelg, sehinggalah bushwalk atau hiking di Morialta Conservation Park. Untuk ibu bapa bersama anak kecil, bolehlah ke Cleland Wildlife Park atau ke Hahndorf Farm Barn. Untuk para pembaca ‘foodie’ atau kaki makan, pilihan makanan yang segar dari ladang atau laut, mudah didapati. Kalau mahu santai, minum kopi di kafe sambil meneroka muzium dan taman-taman di dalam bandar, boleh juga di sini. 

Pusat bandar Adelaide hanyalah sebesar 10KM persegi. Ya, memang kecil tapi padat dengan pelbagai aktiviti menarik. Rundle Street adalah jalan utama untuk membeli-belah di sini. Terdapat perkhidmatan tram percuma untuk laluan South Terrace, City ke Entertainment Centre, Botanic Garden dan Festival Plaza, dan juga antara hentian tram Brighton Road dan Moseley Square di Glenelg. Memang mudah untuk anda bersiar-siar. Jika mahu ke luar kota, anda boleh menaiki kenderaan awam seperti bas atau keretapi, serta menyewa kereta dengan mudah ataupun mengikut kumpulan-kumpulan tour tempatan yang disediakan oleh tour operators swasta. Perkhidmatan Uber juga ada di sini. 

Adelaide Central Mosque dan Makanan Halal

Islam mula bertapak di Selatan Australia bersama kedatangan penjaga unta dari Afghanistan dan India Utara sejak sekitar 1860. Unta dibawa masuk ke negara ini untuk membantu kerja-kerja mengangkut barangan ke lombong-lombong di kawasan padang pasir Australia. Masjid Adelaide adalah masjid tertua yang masih wujud di Australia. Struktur asalnya dibina sekitar tahun 1888 dan empat menaranya ditambah pada tahun 1903. Reka bentuknya tidaklah gah seperti masjid-masjid di tempat lain tetapi masjid ini menjadi simbol penting imigrasi masyarakat Afghanistan dan budaya Islam ke Australia barat. Ia mengambil masa sekitar 10 minit ke sini dari pusat bandar Adelaide menggunakan kereta. 

Makanan halal mudah didapati di sekitar pusat bandar Adelaide. Pilihan untuk mereka yang vegan atau vegetarian juga banyak. Kami sempat mencuba hidangan di Parwana Afghan Restaurant di Henley Beach Road. Enak-enak belaka, dan oleh kerana restorannya kecil dan dimiliki oleh keluarga Afghanistan, memang rasa seperti hidangan yang dimasak oleh ibu-ibu di rumah. Porsi berbaloi harga. 

Ada Cadangan Tempat Tinggal?

Kami cadangkan anda tinggal di Hotel Majestic Garden di Frome Street. Lokasinya sangat dekat dengan semua tarikan pelancong di kota dan tempat membeli-belah Rundle Mall. Oleh kerana belum banyak musolah atau surau di kawasan tengah bandar, eloklah cari tempat tinggal yang mudah untuk berulang-alik untuk mengerjakan solat. Kawasan biliknya juga sangatlah luas dan selesa. 

Apakah musim terbaik untuk melawat Adelaide?

Semua musim! Tetapi jangan lupa, Australia terletak di Hemisfera Selatan, jadi musim-musimnya terbalik daripada Hemisfera Utara. Di sini kami senaraikan musim, bulan dan antara aktiviti yang boleh dilakukan di Adelaide dan kawasan persekitarannya. 

Musim Panas (Disember-Februari)– Ini adalah musim paling sesuai untuk aktiviti-aktiviti di pantai, sama ada meluncur air (surfing), berenang, dan berkayak. Anda boleh berkunjung ke Fleurieu Peninsula, Yorke Peninsula untuk aktiviti-aktiviti ini atau ke Kangaroo Island untuk melihat singa laut, koala dan kangaroo. Anda juga boleh mencuba berkayak dari Port Adelaide, atau berenang bersama ikan tuna di Victor Harbour. Ada juga yang suka berbasikal pada musim panas, tapi kami sarankan ia lebih baik dilakukan sewaktu musim luruh atau musim bunga. 

Musim Luruh (Mac-Mei) dan Musim Bunga (September-November)– Sesuai untuk apa sahaja. Berbasikal keliling kota, atau meneroka kawasan Mount Lofty, Adelaide Hills. Pekan Kecil Hahndorf terutamanya kelihatan sangat cantik sewaktu musim luruh. Boleh juga cuba hiking di Flinders Range atau mencuba aktiviti-aktiviti di sekitar kawasan Sungai Murray . 

Musim Sejuk (Jun-Ogos)Whale watching! Ini adalah masa terbaik untuk melihat mamalia gergasi ini di lautan berdekatan Adelaide. Untuk pembaca bukan Islam, musim sejuk adalah waktu yang baik untuk mencuba wain di pelbagai ladang anggur di sekitar McLaren Vale atau Barossa Valley. Jangan lupa untuk berkunjung ke d’Arenberg Cube, bangunan unik di tengah-tengah ladang anggur yang menempatkan sebuah muzium seni esentrik, dan restoran. Kami melawat Adelaide sewaktu musim sejuk dan masih boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik kerana dinginnya tidak terlalu ‘mengigit.’ 

Mahu tahu dengan lebih tepat apakah tempat-tempat yang wajib dikunjungi di Adelaide? Jangan lupa untuk baca bahagian kedua penulisan ini. Kami akan kongsikan beberapa aktiviti unik yang boleh dilakukan serta aturcara cadangan untuk perjalanan anda. 

 

Perjalanan SalamToday ini ditaja oleh Malindo Air dan  South Australian Tourism Commission. Semua gambar diambil menggunakan telefon pintar OPPO RENO 10X Zoom ihsan OPPO Malaysia. Sambungan internet ditaja oleh Travel Recommends. Terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak terlibat. 

Gambar: Ili Farhana

Adelaide dikenali sebagai syurga makanan dek hasil tanaman segar daripada ladang-ladangnya. Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai tarikan alam semula jadi yang indah.

Similar Articles

Tenangnya Adelaide, Mendamaikan Hati dan Minda, bhg. 2

By Ili Farhana
Ogos 16, 2019

Kembara Ekopelancongan Di Suncheon, Korea Selatan

By Nor Syariza Tahir
Julai 16, 2019

5 Persinggahan Dengan Trip ke Margaret River, Perth

By Rahayu Mat Nah
April 16, 2019

8 Lokasi Game Of Thrones Untuk Dilawati

By Nor Syariza Tahir
April 29, 2019

Keunikan Kota Algiers

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

Menjejak Kegemilangan Tamadun Yunani Di Athens, Greece

By Shah Shamshiri
Mei 19, 2019

Rottnest Island Tarikan Mesti Pergi Jika ke Perth

By Rahayu Mat Nah
Jun 9, 2019