Teka-Teki Hebat Filem ‘Knives Out’

November 28, 2019
By Shah Shamshiri

Barangkali ramai juga yang suka membaca buku atau menonton filem bercorak misteri di mana sepanjang jalan cerita, pembaca atau penonton perlu meneka siapakah dalang di sebalik jenayah yang menjadi tulang belakang cerita.

Minggu ini Hollywood menyajikan sebuah filem hebat yang benar-benar mampu menguji kebijaksanaan penonton dalam merungkai identiti sebenar penjenayah yang bertanggungjawab. Filemnya berjudul ‘Knives Out’ dan ia menampilkan nama-nama hebat sebagai peneraju utama.

Seperti kebanyakan filem-filem bercorak ‘whodunit’ (atau ‘siapa yang melakukannya’ di dalam Bahasa Inggeris), filem ini lengkap dengan ramuan yang biasa dimasukkan dalam kisah sedemikian rupa.

Filem yang ditulis dengan begitu bijak dan diterbitkan serta diarah oleh Rian Johnson menceritakan bagaimana sebuah keluarga menjadi porak-peranda selepas tunjang utama keluarga yang merupakan seorang penulis dan penerbit buku bertaraf jutawan tiba-tiba ditemui mati membunuh diri di dalam rumahnya.

Ini diikuti dengan kehadiran polis dan seorang penyiasat persendirian yang cuba menyelesaikan misteri tersebut. Walau bagaimanapun, penyiasat persendirian itu sendiri (lakonan Daniel Craig) tidak tahu siapa sebenarnya yang mengupahnya dan hanya menemui sebungkus wang yang banyak dan nota yang memintanya untuk merungkai kes tersebut.

Sekali imbas melihat iklan promosi atau treler filem ini, mungkin ramai beranggapan ia hanyalah filem misteri biasa seperti kebayakan filem dengan genre yang sama. Namun buat yang sudah menonton, jangkaan pasti meleset sama sekali kerana cara penceritaannya boleh dikatakan lain daripada yang lain.

Ini membuatkan ramai gagal untuk meneka punca dan siapa dalang di sebalik kes tersebut. Pada awal cerita, misterinya kelihatan agak biasa dan akan mendedahkan penjenayah utama namun semakin alur cerita bergerak semakin banyak tanda soal yang timbul dan mengelirukan penonton.

Selain unsur misteri yang dimasukkan dalam filem ini, terdapat juga pesanan tersirat bernuansa politik Amerika yang sejak kebelakangan ini menentang kehadiran pendatang asing ke negara mereka.

Kesemua unsur ini dimasukkan dengan begitu bijak sekali oleh penulis layarnya dan menjadikan filemnya lebih menarik!

Diperkuatkan dengan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Daniel Craig, Chris Evans, Jamie Lee Curtis, Toni Collette, Christopher Plummer dan ramai lagi, filem ini memang wajar untuk ditonton.

Jadi jika anda rasa anda mampu meneka dalang utama dalam setiap filem bercorak misteri, uji kehebatan anda dengan menonton filem ‘Knives Out.’ Ia benar-benar berbeza dari apa yang sudah sering ditayangkan dan membuat anda berfikir sepanjang perjalanan filem.

‘Knives Out’ mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 28 November 2019.

 

Similar Articles

‘The Art of Racing In The Rain’ : Filem di Luar Jangkaan!

By Shah Shamshiri
Ogos 26, 2019

Kepulangan Patung Berpuaka Dalam Annabelle Comes Home

By Nor Syariza Tahir
Jun 28, 2019

X-Men Dark Phoenix Penuh Aksi Hebat

By Shah Shamshiri
Jun 7, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: