Tawakal Dan Berserah Kepada Allah

Mei 1, 2019
By Nor Syariza Tahir

Tawakal berasal daripada perkataan Arab ‘wakalah’ yang bererti memilih wakil, mewakilkan atau menyerahkan urusan kepada pihak yang lain.

Dalam Islam, pengertian tawakal secara istilah adalah berserah diri kepada Allah S.W.T. setelah berusaha bersungguh-sungguh melakukan sesuatu pekerjaan dan meyakini bahawa hanya Dia yang menentukan semuanya.

Setiap daripada kita pasti mempunyai seseorang di dunia ini yang seringkali kita meletakkan kepercayaan dan berserah serta berharap kepadanya dalam pelbagai perkara.

Namun, pernahkah kita terfikir, jika sesuatu berlaku kepada orang tersebut, misalnya dia ditimpa kemalangan atau pergi mengadap Illahi, apa akan terjadi kepada semua harapan yang kita sandarkan kepadanya?

Kepada siapa kita harus bergantung harap selepas itu?

Disebabkan itulah, kita tidak seharusnya meletakkan sepenuh kepercayaan, berserah dan berharap kepada manusia, kerana manusia adalah makhluk Allah yang pasti akan mati.

Atas sebab itulah, Allah S.W.T. menyuruh hamba-hamba-Nya untuk bertawakal dan berserah hanya kepada-Nya kerana Dia Maha Menentukan, Maha Mengetahui dan Dia tidak akan mati.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri (bertawakal) sepenuhnya kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melaksanakan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Thalaq 65; Ayat 3).

 

Konsep Tawakal Dalam Kehidupan Seharian

Sering kita mendengar keluhan daripada pasangan suami isteri yang risau kerana telah lama berkahwin dan masih belum dikurniakan anak.

Ada juga yang sudah beranak-pinak, namun tetap risau mengenai hal-hal lain seperti cukupkah keperluan belanja anak-anak serta gaji bulanan yang dirasakan tidak mampu untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Jika kita memegang konsep tawakal dan berserah kepada Allah S.W.T., pasti segala kerisauan itu tidak akan timbul kerana kita yakin bahawa hanya Allah S.W.T. yang akan mengurniakan kita zuriat serta memberikan rezeki yang cukup untuk setiap anak-anak kita.

Selepas banyak berikhtiar untuk mendapatkan zuriat, kita seharusnya berserah kepada Allah S.W.T. dan yakin bahawa Dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

Contoh yang seterusnya dapat dilihat apabila kita berusaha untuk mengubati penyakit yang dihidapi.

Usaha yang boleh kita lakukan adalah apabila kita pergi membuat pemeriksaan dengan doktor,  mendapatkan khidmat rundingan mengenai penyakit tersebut dan mengambil ubat-ubatan yang mungkin dapat menyembuhkan penyakit kita.

Namun, kita hanya bertawakal kepada Allah S.W.T. jika kita berserah kepada Dia dan meyakini bahawa hanya dengan kekuasannya-Nya, penyakit kita itu akan sembuh dan ubat-ubatan itu akan mujarab.

Tawakal adalah apabila kita berserah bahawa hanya Allah SW.T. yang berkuasa untuk membuatkan seseorang doktor pakar bedah itu mampu melaksanakan pembedahan dengan berjaya.

Selain itu, perkara yang sama perlu dilakukan jika kita sedang berusaha untuk mencari pekerjaan.

Kebiasaan yang sering kita lakukan adalah menghantar resume kepada beberapa organisasi, mengunjungi pameran-pameran kerjaya atau bertanyakan kepada rakan-rakan jika mereka ada mengetahui mengenai mana-mana kekosongan jawatan.

Setelah kita melakukan usaha-usaha tersebut, kita perlu bertawakal iaitu berserah kepada Allah S.W.T. dan yakin hanya Dia yang akan mengurniakan rezeki dalam mana-mana kekosongan jawatan yang kita mohon, dan bukannya berharap kepada sekeping resume yang kita berikan itu.

Justeru itu, tawakal adalah apabila kita berserah dan berdoa kepada-Nya, namun kita tetap pergi bekerja dan berusaha ke arah sesuatu.

Tawakal adalah apabila tangan kita sibuk bekerja, namun hati kita tetap berserah kepada-Nya.

Dan tawakal bukanlah kita hanya duduk sahaja tanpa berbuat apa-apa, dan berharap serta menanti Allah S.W.T. mengurniakan rezeki kepada kita.

Foto: Joshua Earle, Wes Hicks & Matin Firouzabadi di Unsplash.

 

Artikel mengenai tawakal ini adalah hasil kupasan daripada sesi ceramah umum oleh penceramah terkenal dari AlMaghrib Institute, Shaykh Ammar AlShukry yang bertajuk ‘Godfidence: Tawakkul & Relying on God’.

Justeru itu, tawakal adalah apabila kita berserah dan berdoa kepada-Nya, namun kita tetap pergi bekerja dan berusaha ke arah sesuatu. Tawakal adalah apabila tangan kita sibuk bekerja, namun hati kita tetap berserah kepada-Nya.

Similar Articles

6 Cara Hadapi Perceraian Dengan Positif

By Rahayu Mat Nah
April 29, 2019

Doa Untuk Hindari Perasaan Cemburu

By Helmi Anuar
April 23, 2019

Erti Syukur Yang Sebenar

By Helmi Anuar
April 19, 2019