Tanda-Tanda Taubat Diterima Allah

September 5, 2019
By Nor Syariza Tahir

Sebagai manusia biasa, kita sememangnya tidak dapat lari daripada melakukan dosa, tidak kiralah sama ada dosa kecil mahupun dosa besar.

Namun, apa yang membezakan seorang mukmim dengan orang lain adalah apabila dia menyesali setiap kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan dan memohon ampun serta bertaubat kepada Allah S.W.T.

Firman Allah dalam surah Al-Nur, ayat 31 yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

 

Syarat-syarat taubat nasuha

Disebabkan itu, kita diseru untuk melakukan taubat dengan selengkapnya, iaitu taubat nasuha.

Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. Jika maksiat (dosa) itu antara hamba dengan Allah SWT, iaitu yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia, maka syaratnya ada tiga iaitu:

  1. Menjauhi dan meninggalkan maksiat.
  2. Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  3. Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Adakah taubat kita diterima Allah?

Seperkara lagi yang sering menjadi persoalan kepada kita adalah; adakah taubat yang kita lakukan itu diterima oleh Allah?

Selain itu, adakah mungkin adanya tanda-tanda yang dapat dilihat, yang memberi kepastian kepada kita bahawa taubat kita diterima olehNya?

Pendapat majoriti ulama menyebut bahawa orang yang benar-benar bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat taubat pasti diterima taubatnya di sisi Allah SWT.

Antara dalil mereka adalah firman Allah S.W.T dalam surah Al-Nisa ayat 48 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan syariatNya).”

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah S.W.T. menerima taubatnya.” – HR al-Bukhari (2661)

Tanda-Tanda Taubat Diterima Allah

Selain itu, terdapat juga beberapa tanda yang boleh dilihat jika Allah S.W.T menerima taubat seseorang.

Antaranya adalah sikap dan akhlaknya berubah, jiwanya menjadi dekat dan kasih dengan masjid, akhlak dan bahasanya baik, dia merasa seronok untuk melakukan ibadat serta dia tetap berterusan memohon keampunan kepada Allah S.W.T.

Maka, itu adalah merupakan antara tanda Allah S.W.T. menerima ibadatnya.

Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama’ menyebut bahawa taubat seseorang dapat diketahui pada empat perkara:

  1. Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
  2. Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
  3. Jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
  4. Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada Tuhannya. (Lihat Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya’ wa al-Mursalin, halaman 109)

Sebahagian ahli hikmah telah ditanya: “Adakah ada tanda bahawa taubat seseorang itu telah diterima?” Mereka menjawab: “Ya, empat tanda taubatnya diterima, iaitu:

 

  1. Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
  2. Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
  3. Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia daripada hatinya, dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
  4. Percaya dan yakin dengan jaminan Allah S.W.T dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, 110)

Kesimpulannya, jika kita berasakan bahawa kita mempunyai tanda-tanda tersebut, janganlah sesekali berhenti bertaubat dan menganggap kita telah terlepas daripada melakukan dosa.

Sebagai hambaNya, kita hendaklah sentiasa istiqamah untuk bertaubat tanpa henti, terus-menerus memohon keampunan daripadaNya dan sentiasa beristighfar setiap hari pada sepanjang hidup kita.

Jadilah kita manusia seperti yang disebut oleh Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud: “SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa bertaubat dan diterima taubatnya di sisi Allah S.W.T.

Justeru, sama-samalah kita mengamalkan doa ini agar kita sentiasa mendapat keampunan daripadaNya:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi”.

– Surah al-A’raf (23)

 

Sumber: Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi artikel bertajuk Tanda Allah SWT Menerima Taubat Seseorang dan Taubat Berulang-Ulang Kali.

Foto: Eyüp Belen, Janko Ferlic, Lukas Rychvalsky, Tayeb Mezahdia, Rawpixel (Pexels)

Firman Allah dalam surah Al-Nur, ayat 31 yang bermaksud: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Similar Articles

Andai Ini Tahun Hijrah Terakhir Buatku

By Nor Syariza Tahir
September 3, 2019

Mahu Hati Tenang? Sentiasalah Ingat Allah

By Nor Syariza Tahir
Ogos 13, 2019