Taman Tasik Botanik Bagai Dunia Terasing Dalam Hutan

Mei 10, 2019
By Nor Syariza Tahir

Bagaikan memasuki satu dunia terasing.

Begitulah perasaan penulis tatkala melihat pemandangan tasik yang indah bagaikan lukisan, dengan air biru kehijau-hijauan, luas terbentang di depan mata di ceruk hutan Rimba Komuniti Shah Alam itu.

Segala rasa letih mendaki bukit dan lenguh-lenguh kaki hilang sekelip mata sejurus tiba di lokasi tersembunyi itu.

Pendakian bukit Rimba Komuniti Shah Alam yang mengambil masa kira-kira 1 jam 25 minit itu ternyata berbaloi apabila disajikan dengan lukisan alam yang indah itu.

Diberi nama Taman Tasik Botanik, tasik semula jadi yang terletak dalam hutan berkeluasan 430 ekar itu bagaikan sebuah cermin yang memantulkan lukisan langit membiru dan awan memutih.

Bukan itu sahaja, hembusan angin yang sekali-sekala menderu laju boleh membuat fikiran terbuai, lantas terlena didodoi lembutnya sang bayu.

Tidak hairanlah terdapat pengunjung yang memasang hammock di pokok-pokok dan terlena dibuai mimpi indah mungkin.

Sekalung penghargaan kepada pengunjung atau pendaki yang pernah datang ke situ yang bersusah payah membina beberapa tempat duduk dan meja daripada kayu untuk keselesaan pengunjung yang lain.

Menjengah ke gigi air, penulis dapat melihat kelibat ikan-ikan kecil yang berenang bebas di dalam tasik.

Apabila penulis menabur roti ke dalam air, terlihat pula ikan yang lebih besar muncul di permukaan. Tetapi, awas ya, dilarang memancing ya kaki-kaki pancing di luar sana!

Penulis melemparkan lagi pandangan ke sekitar tasik. Kelihatan pokok-pokok kelapa di bahagian pinggir seberang tasik, pokok-pokok hutan dan dahan-dahan pokok yang tidak berdaun di tengah-tengah tasik, menjadikan pemandangan semula jadi itu sungguh cantik.

Nun jauh kira-kira 4 kilometer di pemandangan hadapan, dapat dilihat rumah-rumah kediaman yang telah siap dibina, yang menunjukkan hutan itu telah pun diteroka untuk projek-projek perumahan.

Terdetik di hati, sampai bilakah tasik semula jadi dalam hutan itu akan kekal begitu dan tidak diusik? Sampai bilakah kejernihan airnya akan terpelihara? Persoalan yang tidak ada jawapannya dalam diri penulis.

Bagaimana untuk sampai ke Taman Tasik Botanik?

Penulis berpendapat, masih ramai yang tidak tahu akan kewujudan tasik di tengah-tengah hutan ini meskipun laluan yang sama digunakan oleh para pendaki yang mendaki bukit Rimba Komuniti Shah Alam.

Mungkin ia disebabkan tiada papan tanda di sepanjang trek untuk ke tasik ini.

Namun, bagi penulis, ia satu perkara yang baik kerana dengan itu, keadaan asal dan semula jadinya dapat dipelihara daripada dirosakkan oleh pengunjung yang terlalu ramai.

Namun, bagi yang ingin terus menuju ke tasik, anda boleh menggunakan trek laluan A (terdapat beberapa laluan) seperti penulis memandangkan penulis tidak menuju ke puncak bukit Peak Garden.

Kira-kira 25 minit mendaki, penulis tiba di check point pertama iaitu sebuah kawasan lapang, di mana penulis dapat melihat kerja-kerja pembangunan projek perumahan sedang dijalankan.

Selepas berehat kira-kira 10 minit, penulis meneruskan perjalanan ke trek di bahagian kanan kawasan lapang tersebut. Di sinilah penulis berpendapat bahawa perlunya ada papan tanda petunjuk arah untuk ke kawasan tasik tersebut kerana majoriti pendaki menggunakan trek di sebelah kiri iaitu laluan terus ke puncak.

Pendakian bahagian seterusnya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk tiba di check point seterusnya, di mana anda akan sampai ke kawasan simpang tiga yang membolehkan anda terus ke laluan B di sebelah kiri.

Di sini, anda perlu mengambil arah terus dan mendaki bukit yang sederhana curam, namun agak melelahkan. Jangan khuatir kerana petunjuk arah laluan trek yang betul ada disediakan di sepanjang trek.

Selepas kira-kira 20 minit, anda akan tiba di check point terakhir sebelum mula membuat pendakian menurun untuk sampai ke kawasan tasik.

Di sinilah trek menjadi sedikit mencabar dengan tahap kecuraman yang agak tinggi, namun dalam keadaan pendakian menurun. Tetapi, jangan terlalu gembira, kerana apabila ingin pulang nanti, di sinilah yang akan menjadi kawasan paling sukar untuk didaki.

Setelah mendaki menurun kira-kira dalam 25 minit, akhirnya anda akan tiba di sebuah dunia terasing yang terpencil di dalam hutan, iaitu Taman Tasik Botanik.

Segala penat lelah mendaki pasti akan hilang sekelip mata sebaik sahaja melihat pemandangan indah ciptaan Illahi yang terbentang di depan mata.

Berehatlah sepuas-puasnya di situ, kerana keasyikannya pasti akan membuat anda berasa seperti enggan pulang.

Kredit foto: Syariza Tahir

Bukan itu sahaja, hembusan angin yang sekali-sekala menderu laju boleh membuat fikiran terbuai, lantas terlena didodoi lembutnya sang bayu.

Similar Articles

Kenangan Manis di Tunis

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

Keunikan Kota Algiers

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

Larian Untuk Bekalan Air Bersih

By Nor Syariza Tahir
April 25, 2019