Tak Perlu Bawa Wang Untuk Membeli KFC

Mei 16, 2019
By Nor Syariza Tahir

Pada zaman trend pembayaran tanpa tunai kini, ramai pembeli memilih untuk tidak membawa wang tunai yang banyak dalam dompet masing-masing.

Ini kerana pembayaran di kedai-kedai adalah lebih mudah jika menggunakan kaedah tanpa tunai. Ia termasuk pembayaran menggunakan kad debit, kad kredit, mata ganjaran mahupun yang sedang berkembang kini, e-Dompet.

Dengan kewujudan lebih banyak syarikat penyedia perkhidmatan e-Dompet di negara ini, trend ini semakin mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan pembeli, malahan jenama-jenama runcit terkenal yang turut mengambil bahagian.

Terbaharu, perkhidmatan e-Dompet tempatan, Boost, baru-baru ini mengumumkan kerjasama dengan KFC Malaysia bagi menyediakan kaedah pembayaran tanpa tunai di restoran-restoran KFC seluruh negara.

“Kami sentiasa mencari cara untuk mempertingkatkan pengalaman pelanggan secara digital dan melengkapi gaya hidup mereka.

“Kerjasama dengan KFC ini membolehkan kami menyediakan lebih akses, ketersediaan dan kemudahan tambahan kepada rakyat Malaysia untuk melakukan transaksi tanpa tunai dengan Boost serta menikmati ganjaran pulangan tunai pada masa yang sama.

“Peluang berkolaborasi dengan rakan kerjasama seperti KFC adalah satu kelebihan buat kami untuk bekerja secara rapat dan mencipta sinergi bagi melancarkan perubahan ke arah masyarakat tanpa tunai di negara ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital Sevices, yang merupakan syarikat induk Boost, Mohd. Khairil Abdullah.

Sementara itu, bagi KFC, langkah tersebut adalah seiring dengan perubahan semasa dan pilihan pengguna, serta untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin berkembang.

“Penggunaan dompet digital semakin diterima pengguna kerana ia menawarkan kelebihan dan ganjaran menarik, selari dengan misi kami untuk memberi perkhidmatan dengan nilai tambahan kepada para pelanggan.

“Bagi menuju matlamat ke arah perkhidmatan yang bersepadu dan lancar di masa hadapan, kami telah mengaplikasikan beberapa saluran dan keupayaan pembayaran digital di restoran kami, untuk kemudahan pelanggan.

“Kami berharap, para pelanggan akan dapat merasai pengalaman yang terbaik bersama KFC dengan pilihan pembayaran Boost,” jelas Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd., Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil.

Bagi meraikan kerjasama tersebut, Boost dan KFC menawarkan ganjaran RM5 pulangan tunai daripada pembelian minima berjumlah RM20 dengan Boost di restoran KFC sehingga 31 Mei 2019.

Boost merupakan e-Dompet terbesar di Malaysia ketika ini dengan 4 juta pengguna dan lebih 80,000 titik sentuhan pedagang atas talian dan luar talian di seluruh negara.

Selain ‘Imbas & Bayar’ di kedai dan cawangan restoran, peniaga pasar malam dan trak makanan, pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan tambahan yang disediakan.

Ini termasuk membayar parkir dan bil utiliti, membeli tiket bas dan kereta api, tiket wayang serta menderma kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) tanpa tunai.

Foto: QSR Brands & Boost

Bagi meraikan kerjasama tersebut, Boost dan KFC menawarkan ganjaran RM5 pulangan tunai daripada pembelian minima berjumlah RM20 dengan Boost di restoran KFC sehingga 31 Mei 2019.

Similar Articles

Celcom Pamer Teknologi 5G

By Nor Syariza Tahir
Mei 10, 2019

Jual Kenderaan Terpakai Secara Online

By Nor Syariza Tahir
Mei 14, 2019

Layari Internet Sambil Bersedekah Dengan SalamSadaqah

By Nor Syariza Tahir
April 30, 2019

Miliki Telefon Pintar Oppo Edisi Khas Avengers: Endgame

By Nor Syariza Tahir
April 16, 2019