Syurga di Hati Ziana

April 24, 2019
By Helmi Anuar

Bukan saya sahaja, namun rasanya ramai yang terkejut apabila tiba-tiba membaca berita tentang laporan polis yang dibuat oleh Ziana terhadap bekas suaminya pada tahun lalu. Namun hati seorang ibu tidak lagi mampu menahan perasaan apabila melihat anak yang dikandung selama 9 bulan disakiti sedemikian rupa. Selepas kes itu juga, ikatan perkahwinan mereka menemui titik noktah.

Sebelum segalanya terbongkar pada tahun lalu, Ziana sering dijadikan contoh sebagai selebriti yang masih teguh melayari bahtera rumah tangga selama 20 tahun lamanya. Jadi tiada siapa yang menduga rupanya ada badai yang sedang melanda di dalam bahtera rumah tangga bintang kesayangan ramai ini.

Apa sahaja keputusan yang telah dilakukan oleh Ziana, semuanya demi anak-anak tersayang kerana mereka inilah syurga di hati Ziana. Sekarang ini juga Ziana sibuk menguruskan anak-anak kerana ada yang baru bertukar sekolah.

“Disebabkan anak baru tukar sekolah jadi sedikit sibuk menguruskan mereka. Banyak benda yang saya perlu uruskan. Tetapi saya masih meneruskan kerjaya saya seperti biasa jika ada undangan nyanyian mahupun program televisyen.”

Bercerai di usia yang sudah separuh abad, tidak mudah untuk  mana-mana wanita untuk mengharunginya. Tambahan pula ada empat orang cahaya mata yang harus ditanggung dan diberi perhatian. Soal saya pada Ziana, bagaimana beliau melaluinya? Kata Ziana ia tidak mudah.

It’s hard actually. You can always say yes, I have moved forward, but you moved forward in what stage and phase? Sudah tentu dalam hidup ada ups and downs. Kadang-kadang kita rasa macam kita terlampau kuat tetapi kadang-kadang kita rasa macam terlampau lemah. Ini adalah proses yang kita perlu adjust to dan kita perlu dikelilingi oleh orang yang positif. Yang paling penting sekali kena redha dengan apa yang berlaku dalam hidup kita.”

Soal saya lagi, adakah sukar untuk beliau harus kembali bekerja keras demi anak-anak, namun jawapan Ziana sebaliknya.

Actually, I’ve been working since my day one! Since my first born until my fourth. Tiada perubahan dari segi itu. Saya berkerja seperti biasa malah ketika saya masih menjadi seorang isteri. Tiada perubahan langsung sebenarnya. Yang berubah hanyalah status saya.”

Selepas menempuhi detik-detik sukar dalam hidup pada tahun lalu, Ziana akui kehidupannya kini lebih tenang di samping anak-anak dan keluarga tersayang. Tiada apa yang lebih mustahak untuknya melainkan kebahagiaan anak-anak yang dikasihinya.

“Saya rasa sangat-sangat tenang dan lega. Tiada apa yang yang berat di dalam dada. Saya sangat bertuah kerana saya dikelilingi oleh ahli keluarga yang penuh dengan kasih sayang. Saya sangat bersyukur kerana mereka sangat-sangat memahami. Tidak dilupakan peminat-peminat saya. Mereka bersungguh-sungguh mendoakan kebahagiaan saya siang dan malam.”

Ziana turut meluahkan rasa syukur apabila dikurniakan cahaya mata yang sungguh mengambil berat tentangnya dan sentiasa mengingatkannya tentang agama.

“Bila kita ada anak-anak yang pergi sekolah agama, kita nampak anak-anak kita yang bersolat, kita rasa ya Allah ya Tuhanku, ada juga anak yang mengingatkan kita supaya tidak lalai dan sentiasa ingatkan kita tentang solat. Walaupun berada di kompleks beli-belah, anak saya yang sulung akan kata, Ma, you see the time now? I need to pray you know. Waktu tu saya rasa Alhamdulillah ada anak yang ingatkan kita”.

Ziana juga memiliki seorang cahaya mata istimewa iaitu Ariel yang menghidap disleksia. Sewaktu bercerita mengenai anak kesayangannya itu, air mata Ziana jatuh bercucuran.

“Satu hari saya pergi ke sekolah Ariel dan cikgu memberitahu saya tadi Ariel jadi imam. Apa yang membuatkan saya tersentuh adalah apabila cikgunya memberitahu saya apa yang diminta Ariel dalam doanya. Such a small person can pray for huge things. Doa Ariel, Ya Allah ya Tuhanku, kasihanilah ibuku, berilah banyak duit kepada ibuku ,Ya Allah. Jangan matikan ibuku, Ya Allah, ampunkan dosa ibuku.”

“Dia juga akan doakan atuk dan nenek, ibu dan bapa suadara serta sepupu sepapat semua disebutnya. Doa yang dia tak pernah tinggal adalah, “Ya Allah ya Tuhanku, jangan matikan ibu dan atukku.”

“Banyak cabaran untuk menjaga anak disleksia kerana mereka sangat hiper. That’s the biggest challenge in life. Perlukan kesabaran yang tinggi untuk menjaga mereka. Ariel anak yang hatinya baik sangat. Anak-anak adalah kekuatan saya. Yang sulung selalu berpesan Ma, move forward ma. We are here for you. Don’t think about the past“.

Bercerita mengenai anak sulungnya Aiman yang kini berusia 19 tahun, Ziana sangat bersyukur kerana Aiman tidak seperti remaja lain yang suka melepak di kompleks.

“Kadang-kadang saya cakap, Aiman pergilah keluar dengan kawan-kawan, go somewhere, dia cakap Ma, it’s not that I don’t want to go, you go there for two three hours, you duduk kat shopping complex, you tengok perempuan jalan, what do you get? Kalau keluar nak kena keluar duit at least RM200 nak buat belanja. Lebih baik saya duduk rumah dan main game”, cerita Ziana mengenai perihal anak sulungnya.

Dalam keempat-empat anak Ziana, seorang daripada mereka dilihat berpotensi untuk mengikut jejak langkah ibu mereka dan dia tak lain tak bukan satu-satunya anak perempuan Ziana iaitu Siti Nur Kaseh.

“Si Kaseh dia suka berangan. Dia dengan sepupu dia, anak Alin, akan berangan depan cermin sambil berjoget. Baru-baru ini dia ada minta kepada saya untuk masuk kelas muzik dan tarian di sekolahnya. Tapi dia kekwat! Dia hanya menyanyi lagu Inggeris saja. Lagu saya yang dia tahu ‘Anggapanmu’ saja”, cerita Ziana sambil ketawa.

Tambah Ziana lagi, kalau diikutkan beliau tidak gemar anaknya terjun ke bidang seni, tetapi memikirkan dirinya sewaktu dulu juga seperti Kaseh, jadi Ziana tidak menghalang minat anaknya.

“Kalau dia nak terjun ke bidang seni boleh, tetapi pendidikan harus diutamakan dulu. Saya akan cakap dengan dia, untuk berada di dalam industri, cabarannya sangat besar, jadi you have to be very careful, especially maruah you kena jaga. Once calar orang akan burukkan you forever. Walaupun you tak buat orang akan fitnah you sampai mati orang bercerita. Dan saya akan pastikan ada orang yang jaga dia dan orang itu haruslah seorang yang bertanggungjawab dan boleh bimbing dia”.

Surah Yassin Beri Ziana Semangat

Ziana juga beruntung kerana tinggal bersama ibu dan bapanya yang sentiasa mengingatkannya tentang segala aspek termasuklah agama. Kata Ziana ibunya selalu berpesan supaya membaca surah Yassin pada waktu subuh.

“Saya tinggal bersama bapa dan ibu saya. Mereka sangat rajin beribadat. Mereka tidak pernah tinggal solat Duha dan baca Yassin setiap kali selepas subuh. Saya tahu hikmah membaca surah Yassin sebab saya pernah buat satu ketika dahulu dan ianya menjadi apa yang saya minta pada waktu itu. Sekarang saya memberitahu diri saya at least sekali sehari untuk membaca Yassin. Tetapi waktu terbaik untuk membaca Yassin adalah di awal pagi. Sebab Yassin memberi satu semangat dan energi yang saya sendiri tak dapat nak gambarkan. Saya rasa sangat seronok setiap kali selepas membaca Yassin. Sekarang baru saya faham nikmat itu apabila ibu saya berkata nak kalau boleh Yassin tu baca pagi-pagi kerana ia adalah pembuka kehidupan kita. Jikalau terlampau sibuk sekali pun, at least berzikir 33 kali dan selawat supaya Allah memudahkan urusan kita”.

Kata Ziana lagi, di kehidupannya sekarang tiada apa yang dipohonnya kepada Allah SWT melainkan diberikan kebahagiaan yang hakiki kepada dirinya dan anak-anak. Ziana juga tidak putus-putus berdoa kepada yang maha Esa supaya dipulihkan kembali semangatnya dan anak-anak supaya mereka sekeluarga dapat meneruskan kehidupan dan lupakan tentang kisah lalu.

Di sebalik kisah lara serta onak duri yang berlaku dalam hidupnya, Ziana tidak pernah sesekali menyesali apa yang telah ditakdirkan terjadi kepadanya. Ziana juga tidak pernah berdendam malah sudah memaafkan, namun untuk melupakan apa yang telah terjadi tidak sama sekali.

Semoga insan yang bernama Ziana Zain terus kekal kuat, tabah dan penuh dengan rasa cinta untuk kekal hidup bahagia bersama anak-anak tersayang.

(Ini merupakan bahagian kedua daripada wawancara bersama Ziana Zain. Untuk bahagian pertama klik di sini)

 

Di sebalik Wajah Salam:

Wajah Salam : Ziana Zain
Gambar : Whitenery
Penyelaras dan Pengurus Projek : Shah Shamshiri
Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
Teks (Bahasa Inggeris ) : Syahirah Mokhtazar
Pereka grafik: Asyraf Tamam
Penata gaya : Vee Mukhtaram
Jurusolek : Bobo Cinta
Penata Gaya Hijab : The Latifi
Busana : Amaze Atelier

It's hard actually. You can always say yes, I have moved forward, but you moved forward in what stage and phase? Sudah tentu dalam hidup ada ups and downs. Kadang-kadang kita rasa macam kita terlampau kuat tetapi kadang-kadang kita rasa macam terlampau lemah. Ini adalah proses yang kita perlu adjust to dan kita perlu dikelilingi oleh orang yang positif. Yang paling penting sekali kena redha dengan apa yang berlaku dalam hidup kita.

Similar Articles