‘Survival’ Seni Amira Othman

Julai 22, 2019
By Helmi Anuar
Amira Othman SalamToday

Hari ini penyanyi di Malaysia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Dengan kepantasan aliran teknologi dunia yang semakin canggih, kini sesiapa sahaja boleh menjadi penyanyi. Muatnaik sahaja video anda menyanyikan lagu-lagu popular di media sosial. Nah! Ribuan atau jutaan jumlah tontonan yang mampu diraih sekaligus mengatasi reputasi barisan penyanyi profesional yang sedia ada.

Masih saya ingat kata-kata maestro muzik terkenal Dato’ Ramli MS sewaktu sesi temuramah kami beberapa tahun lalu. Kata beliau, untuk seseorang penyanyi bertahan lama di dalam industri, penyanyi itu perlu ada lagu baru setiap tahun. Namun untuk membikin lagu yang enak di halwa telinga serta diterima ramai bukannya sesuatu yang mudah.

Inilah yang sedang dirasai oleh penyanyi dan pelakon yang dipilih menjadi Wajah Salam minggu ini. Amira Othman, 26, lahir dari program realiti TV popular Akademi Fantasia 2013 (AF2013). Beliau pernah meledak popular dengan lagu ‘Jaga-jaga’ dan ‘Hati-Hati’. Populariti Amira tidak terhenti di situ, drama lakonannya ‘Abang Bomba I Love You’ bergandingan dengan aktor Hisyam Hamid turut mendapat sambutan ramai.

 

 

Sebenarnya sekarang saya  sedikit ‘stress’ untuk cari lagu baru. Saya ‘stress’ juga kalau terlalu lama saya tidak keluarkan lagu baru, takut nanti orang ingat saya sudah tak menyanyi pula. Saya akan cuba juga untuk keluarkan lagu baru pada tahun ini dan sekarang masih dalam proses mencari lagu yang sesuai.

Sejujurnya saya pun tak tahu nak keluarkan lagu ‘slow’ atau lagu rancak. Kalau saya keluarkan lagu ‘slow’ ramai orang pertikai, mereka cakap kenapa saya tidak teruskan dengan lagu rancak. Tetapi bila saya teruskan dengan lagu rancak, mereka kata saya tidak ada kelainan pula.

Saya kena lari dari konsep lagu ‘Hati-hati’ dan ‘Jaga-jaga kerana saya rasa ketiga-tiga lagu saya sebelum ini lebih kurang sahaja bunyinya. Bunyi itu orang dah ‘familiar’ jadi orang dah tak ‘excited’ nak dengar lagu begitu. Sewaktu saya keluar dengan lagu ‘Hati-hati,’ saya mendapat ‘feedback’ yang sangat baik. Lepas tu saya keluarkan ‘Jaga-jaga’ penerimaannya masih baik. Tetapi bila saya keluarkan lagu ‘Mimpi Indah’ orang sudah mula marah. Mereka sudah mula rasa lagu-lagu saya semua sama sahaja. Hael juga kata kepada saya selepas ini jika dia mahu mencipta lagu untuk saya, dia akan lari dari apa yang saya selalu nyanyikan sebelum ini.”

Amira juga tidak gentar untuk mencuba sesuatu yang baru di dalam muziknya. Katanya apa yang digemarinya belum tentu disukai oleh peminat.

Kita perlu juga menerima pandangan peminat dengan hati yang terbuka. Tetapi dalam masa yang sama, saya juga perlu suka dengan lagu yang dinyanyikan. Kalau saya tidak suka sesuatu lagu itu, mungkin susah untuk saya menyanyikannya dengan sepenuh hati.”

 

 

Lambat Panas

Tahun ini Amira ada muncul dengan single duet bersama adiknya iaitu Irfan Harris yang berjudul ‘Sambil’. Namun lagu ini masih belum mendapat sambutan yang diharapkan biarpun menjadi lagu tema drama ‘Jodoh-jodoh Anisa.’ Namun Amira tidak cepat melatah kerana sudah lali dengan keadaan ini di mana lagunya yang terdahulu juga mengambil masa berbulan untuk menjadi hit.

Lagu ‘Hati-hati’ dulu saya mengambil masa selama 8 bulan untuk betul-betul menjadi. Untuk putus asa dengan lagu ‘Sambil’ ini saya rasa masih terlalu awal untuk saya berperasaan seperti itu. Saya sudah ada pengalaman lagu-lagu saya sebelum ini mengambil masa yang lama untuk dimainkan di radio. Saya masih mengharapkan keajaiban untuk lagu ‘Sambil’ ini dengan harapan ia akan menjadi hit.”

Biarpun telah mengecapi populariti, tetapi tidak mudah bagi Amira untuk menggapai apa yang dihajati. Dia mengambil masa yang lama selepas tamat program AF2013 untuk betul-betul dikenali dan diterima ramai. Amira juga perlu menghabiskan baki pengajiannya selepas tamat AF2013. Malah Amira juga pernah hampir berputus asa dengan bidang nyanyian.

Saya pernah rasa hampir berputus asa. Saya sangat suka dengan lagu pertama saya sewaktu di AF2013. Memang itu adalah jiwa saya. Saya baca komen-komen di Youtube ramai yang sukakan lagu itu. Tetapi ramai orang yang tidak tahu tentang lagu itu. Bila saya menyanyikan lagu itu di konsert pun orang tidak menyanyi bersama-sama saya. Sewaktu itu saya sedikit tertekan kerana saya lihat lagu rakan-rakan saya yang lain semuanya menjadi. Tetapi saya terfikir kalau saya mahu terus ‘give up’ ketika itu saya masih belum setahun pun berada di dalam industri.

Akhirnya saya berjumpa dengan Hael dan Faizul. Saya masih ingat ketika itu kami lepak di kedai mamak. Tiba-tiba mereka cakap nak bagi satu lagu untuk saya. Saya tidak pernah terfikir ‘berjodoh’ dengan lagu dan genre seperti itu. Tetapi melodinya sangat sedap. Jadi saya pun keluarkan single itu dengan bantuan ayah saya. Namun lagu itu tidak mendapat sambutan pada awalnya. Masuk bulan kelapan baru lagu itu mendapat sambutan. Jadi dari situ saya belajar, mungkin kita tidak akan dapat apa yang kita mahukan pada waktu itu, tetapi Allah akan berikan pada waktu yang tepat.”

 

 

Lumrah menjadi artis yang lahir dari program realiti TV, Amira juga tidak dapat lari apabila sering dibandingkan dengan rakan-rakan seangkatannya. Namun kata Amira, perkara itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielaknya.

Perbandingan ini memang orang akan selalu buat. Takkan saya nak marah? Tetapi pada saya, masing-masing ada ‘struggle’ masing-masing. Kalau nak bercerita tentang ‘batch’ saya dulu termasuklah Hael, Indah, Nabila Razali, Faizul dan Azhar, kami masing-masing punya ‘struggle’ kami sendiri. Dulu nak makan pun ada yang duit tak cukup. Tetapi apa yang menaikkan seorang penyanyi adalah lagu. Sebab itulah saya sedikit cerewet dan lambat untuk keluarkan lagu baru. Tetapi kalau terlalu lama pun takut momentum itu dah lari. Mungkin silap saya dulu saya tidak mencari lagu siap-siap”.

Amira juga tidak kisah andai dirinya dilabel sebagai artis yang lambat panas kerana sedar akan dirinya yang tiada gosip.

Saya tiada gosip dan tidak bercinta dengan artis. Ada orang pernah beritahu saya, buatlah gosip. Waktu awal-awal dulu adalah gosip cinta. Tetapi saya okay sahaja. Tidaklah sampai tertekan.”

 

 

Mahu Kembali Fokus Menyanyi

Memiliki rupa paras yang cantik, serta bertubuh tinggi lampai, tidak hairanlah kenapa Amira dipilih untuk menjadi heroin drama ‘Abang Bomba I Love You’. Kata Amira dek asyik seronok berlakon, sehingga dia tiada masa untuk mencari material baru untuk lagunya.

“My priority is singing. Bila saya kerap berlakon dan lama-lama saya jadi seronok berlakon saya akan tangguh untuk cari lagu. Jadi sekarang ini saya berehat seketika dari dunia lakonan sebab saya dah lama sangat tak ada lagu yang hit.

Tahun ini memang saya tidak ambil sebarang tawaran berlakon kerana saya mahu keluarkan lagu yang kalau boleh akan jadi lebih besar daripada lagu-lagu yang sebelumnya. Tetapi ini tidak bermakna saya akan tinggalkan terus bidang lakonan. Seronok juga masuk set cuma untuk berlakon komitmennya saya besar.

Saya juga mahu menceburi bidang perniagaan. Sebenarnya segalanya masih dalam perancangan. Saya akan berkolaborasi menghasilkan rekaan tudung dengan Starvilion, dan satu lagi saya mungkin akan hasilkan barangan kosmetik jenama saya sendiri.”

Amira turut menyimpan hasrat untuk melangkah ke pentas nyanyian yang lebih berprestij seperti Anugerah Juara Lagu selepas kecewa apabila lagu ‘Hati-Hati’ gagal ke peringkat seterusnya beberapa tahun lalu.

 

 

Kuat Cemburu

Pernah dikaitkan bercinta dengan rakan seperjuangannya di dalam AF2013 iaitu Azhar, namun hubungan itu terlerai di tengah jalan. Kata Amira dia mengharapkan andai dirinya kembali menjalin hubungan cinta, biarlah pasangannya itu nanti bukan dari kalangan selebriti.

“Nak kata serik bercinta dengan selebriti itu tidaklah. Tetapi saya ini sebenarnya kuat cemburu. Saya boleh jadi tak keruan kalau cemburu, ujarnya sambil ketawa. Tahu sajalah artis, mereka selalu jumpa ramai orang. Jadi saya nak cari lelaki yang sabar dan saya harap bukan artis. Tetapi saya tak boleh nak cakap lebih-lebih takut nanti itu yang saya dapat.

Dulu saya pernah fikir mungkin senang kalau bercinta dengan lelaki yang sama-sama di dalam industri. Masalahnya orang lelaki ni kalau dia buat boleh, kita buat tak boleh. Kalau ada lelaki yang sabar mungkin boleh terima. Tetapi melihat kepada perangai saya ni mungkin susah lelaki nak sabar,”  katanya sambil ketawa.

 

Berenang Di Waktu Lapang

Siapa sangka anak jati Johor ini gemar berenang di masa lapang jika tidak terlibat dengan sebarang aktiviti seni.

“Kalau saya tak ada buat apa-apa saya akan pergi berenang. Macam semalam saya berenang 20 pusingan. Kalau jogging saya mudah pancit. Tetapi kalau berenang 40 pusingan pun saya tak rasa penat.

Saya rasa seronok sangat apabila berenang. Lagipun dulu selepas tamat AF, saya ada pergi kelas berenang tetapi tak dapat habiskan. Sebenarnya saya berenang untuk stamina dalam nyanyian juga. Kalau berenang tanpa henti, dalam air pun kita boleh berpeluh.

Kalau dulu saya takut untuk ke bahagian yang dalam, tetapi kini tidak lagi. Saya akan berenang di pusat akuatik yang mempunyai kolam renang yang bersaiz olimpik.”

 

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Amira Othman
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Farah Dinana
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Saidatulnisa Aminuddin
  • Busana : Mimpikita
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam