Sunway Putra Hotel Janji Keselesaan dan Akses Beli-belah

Mei 24, 2019
By Rahayu Mat Nah

Cuti sekolah kini bermula. Bagi anda yang merancang untuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri pada minggu terakhir puasa ini, mungkin anda perlu curi masa sehari-dua untuk membawa anak-anak ke lokasi beli-belah yang diidamkan.

Jika bercadang ke Kuala Lumpur untuk membeli-belah, apa kata anda bermalam di Sunway Putra Hotel yang terletak di Jalan Putra, Kuala Lumpur, berhampiran KLCC.

Hotel bertaraf lima bintang ini mempunyai lokasi strategik yang boleh menghubungkan anda ke mana-mana destinasi beli-belah tumpuan ramai.

Sama ada mahu memandu sendiri atau menggunakan pengangkutan awam, Sunway Putra Hotel menjanjikan kelapangan fikiran dan keselesaan penginapan. Jika tidak mahu pergi jauh, turun sahaja ke tingkat bawah yang menempatkan pusat beli-belah Sunway Putra Mall.

Selain menempatkan pelbagai butik jenama fesyen kegemaran ramai, terdapat juga Bazar Aidilfitri yang menyediakan pelbagai kelengkapan Hari Raya seperti koleksi Baju Raya, aneka biskut Raya serta dekorasi Raya.

Bilik luas dan selesa

Menawarkan 9 jenis bilik  termasuk suite, Sunway Putra Hotel cukup ideal untuk tetamu berkeluarga. Antara bilik-bilik atau suite yang boleh dijadikan pilihan ialah Family Room, Family Studio, 2 Bedroom Suite, dan Premier Suite.

Jika anda hanya berdua, bolehlah mendaftar masuk di Superior Room atau Deluxe Room. Jika ingin menikmati suasana mewah, tiada salahnya memilih Club Room, Junior Suite, atau Club Suite yang membolehkan anda mengakses Club Lounge di tingkat 34 hotel ini.

Tambah menarik, sepanjang Ramadan Sunway Putra Hotel menawarkan dua pakej penginapan hebat iaitu Stay, Shop & Save dan Fascinating Deals.

Stay, Shop & Save yang berharga di antara RM198++ ke RM275++ membolehkan anda menginap di bilik Superior atau Deluxe untuk 2 hari 1 malam, bersama Wifi percuma dan juga dapat menggunakan kemudahan shuttle ke beberapa lokasi tarikan menarik sekitar Kuala Lumpur. Jika memilih pakej yang menyediakan sarapan pagi, anda boleh turun bersahur pada jam 4.30 pagi sehingga waktu Imsak.

Pakej Fascinating Deals pula bermula dari RM210++ (Superior Room) untuk penginapan semalam, Wifi percuma, parkir kereta percuma dan juga kemudahan shuttle ke pusat bandar Kuala Lumpur.

Satu lagi pakej yang mungkin menarik perhatian adalah Crazy Suite Deal yang ditawarkan sehingga hujung tahun ini.  Dengan harga RM388 bersih semalam, anda layak menginap di Club Suite dan mendapat layanan VIP.

Antara keistimewaan yang boleh anda nikmati dengan pakej ini ialah, anda boleh mengakses Club Lounge yang menyediakan snek dan minuman dari jam 7.00 pagi sehingga jam 11:00 malam setiap hari, daftar keluar lewat sehingga jam 4 petang dan laundry percuma untuk tiga helai pakaian setiap hari.

Buka puasa di Cofee House Hotel

Setelah seharian membeli-belah mungkin anda sekeluarga hanya mahu berbuka puasa di hotel. Untuk Ramadan kali ini Coffee House, Sunway Putra Hotel menyediakan buffet buka puasa bertemakan ‘Dari Dapur Ummi’.

Bufet Ramadan ini berharga RM 138 bersih untuk dewasa dan RM69 bersih untuk kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun. Jika dihitung terdapat lebih daripada 150 jenis hidangan yang disediakan.

Antara menu yang sukar dilepaskan ialah Sup Gear Box, Ayam Percik Seri Menanti, Daging Dendeng Cili Api, Kambing Golek, Udang Masak Lemak dengan Belimbing Buluh dan Bunga Kantan, Ikan Tenggiri Acar Campur Berempah dan Ikan Patin Masak Tempoyak.

Untuk tempahan dan maklumat lanjut tentang pakej-pakej yang ditawarkan, anda boleh menghubungi talian 03 – 4040 9888 atau layari https://putra.sunwayhotels.com

Kredit foto : Sunway Putra Hotel

Similar Articles

Sudah Beli Tiket Pulang Beraya?

By Nor Syariza Tahir
Mei 10, 2019

Taman Tasik Botanik Bagai Dunia Terasing Dalam Hutan

By Nor Syariza Tahir
Mei 10, 2019

Tip Bercuti di Bulan Ramadan

By Rahayu Mat Nah
Mei 6, 2019

4 Destinasi Menarik Untuk Dikunjungi Ketika Ramadan

By Rahayu Mat Nah
Mei 15, 2019