Stick Dram Promark Pilih Ujang Exist

Jun 24, 2019
By Nor Syariza Tahir

Sebuah sejarah terlakar dalam industri muzik tempatan apabila salah seorang pemain dram terbaik Malaysia, Ujang Exist, kini mempunyai signature stick dram sendiri, iaitu stick dram Promark, yang merupakan jenama terkenal di dunia.

Ujang merupakan satu-satunya pemain dram dari Malaysia yang mempunyai signature stick Promark, dan ia merupakan sesuatu yang harus dibanggakan oleh pemuzik tempatan.

Menurut Pengurus Besar JS Music Distribution, Tung Kean Jin, proses komunikasi dan pengurusan telah dilakukan selama setahun sehinggalah stick itu siap sepenuhnya dan bersedia diedarkan di Malaysia.

“Tempoh masa itu diambil setelah mengambil kira pencarian reka bentuk, model, saiz serta pengesahan.

Stick dram ini dibuat di kilang di Houston, Amerika Syarikat, dan merupakan jenis 5A. Pada masa hadapan, kami merancang untuk mengedarkan pula jenis 7A,” ujar Kean Jin.

Sementara itu, Ujang turut melahirkan rasa terharunya kerana akhirnya mempunyai siri signature sendiri.

“Ini merupakan satu pengiktirafan daripada Promark untuk pemuzik tempatan.

“Saya berharap selepas ini, ramai lagi pemuzik tempatan kita yang mendapat perhatian dan pengiktirafan daripada jenama-jenama yang dipercayai, baik di Malaysia mahupun di luar negara,” ujar Ujang yang merupakan pemain dram kumpulan Exist.

Pemain dram profesional yang sudah 28 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air ini turut merakamkan jutaan terima kasih kepada pihak JS Music yang bertungkus lumus melancarkan perjalanan stick dram tersebut hingga sampai ke tangannya.

Buat para peminat Ujang Exist dan instrumen dram, stick dram yang mempunyai ciri khas daripada jenis hickory ini dijual dengan harga RM79.

Kayu stick yang dipanggang untuk mendapatkan ketumpatan yang padat itu dijual dalam volum 144 pasang sahaja untuk fasa pertama.

Untuk makluman, stick jenama Promark turut dipakai oleh pemain dram terkenal seperti Mike Portnoy (Dream Theatre), Simon Philips (Toto)  dan Ian Paice (Deep Purple).

Stick tersebut sudah boleh mula didapati di JS Music, 133, Jalan Imbi, Imbi Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-2144 4555 serta lawati Facebook dan Instagram JS Music untuk sebarang maklumat.

 

Foto: Cipot (Selebriti Online)

Ujang merupakan satu-satunya pemain dram dari Malaysia yang mempunyai signature stick Promark, dan ia merupakan sesuatu yang harus dibanggakan oleh pemuzik tempatan.

Similar Articles

‘Eudaimonia’ Refleksi Peribadi Bono Stellar

By Nor Syariza Tahir
April 26, 2019

Aizat Amdan Pembuka Tirai Konsert Jason Mraz

By Helmi Anuar
Mei 6, 2019

Anzalna Nasir Dipilih Sebagai Duta OMMEY

By Shah Shamshiri
Mei 15, 2019