Sinar Baru Natasha Hudson

Disember 2, 2019
By Shah Shamshiri

Suatu ketika dahulu, namanya pernah dijulang dalam industri hiburan tempatan. Bermula sebagai seorang model iklan di televisyen dan media cetak Natasha Hudson sering mencuri perhatian setiap yang sempat melihat kelibatnya. Dia kemudian meneruskan kerjaya sebagai seorang pengacara dan pelakon.

Mana tidaknya, Natasha memiliki paras rupa yang sangat jelita berkat darah kacukan Melayu-Australia. Selain raut wajah yang cantik Natasha juga seorang yang berbakat besar. Beliau pernah menulis sebuah buku, menyanyi dan juga memenangi Anugerah Pelakon Harapan di Festival Filem Malaysia lewat lakonannya yang hebat dalam filem Chermin bersama bintang tersohor Deanna Yusof.

Namun itu semua kisah lama, selepas mencipta nama dalam industri hiburan, di tahap yang agak membanggakan, Natasha seperti tiba-tiba senyap, seolah-olah mendiamkan diri dan menjauhi kemilau bintang dunia seni. Ini semakin ketara, lebih-lebih lagi selepas beliau mendirikan rumah tangga.

Ini ditambah pula dengan perubahan penampilannya yang pernah dianggap sedikit keterlaluan oleh sesetengah pihak kala dirinya memilih untuk berniqab atau berpurdah. Pelbagai spekulasi timbul gara-gara kehidupannya yang agak warna-warni dan kini beberapa tahun kemudian beliau kelihatan berbeza. Jika para pengikutnya menelusuri akaun media sosialnya. Dia tidak lagi berpurdah, malah kelihatan lebih selesa. Dan ini semuanya selepas penceraian terbarunya untuk kali keempat!

Walau bagaimanapun, kami yakin setiap orang ada kisahnya dan kami cuba mendapatkan ceritera sebenar di sebalik wanita bernama Natasha Hudson.

 

Ke mana menghilang

“Saya tahu ramai yang akan bercakap tentang saya dan ramai yang akan bertanya. Tapi saya tidak kisah. Saya tahu itu pasti akan berlaku setelah banyak perkara yang sudah saya lalui sebelum ini,” jawabnya dengan tenang.

Kami bertanya ke mana dia menghilang dan jawabnya dia bukan menyepi cuma ingin fokus kepada keluarga.

“Ada orang yang idamkan perkahwinan kerana inginkan kesenangan material dan ada juga yang hanya inginkan pasangan. Saya berkahwin kerana mengimpikan sebuah keluarga bahagia, tidak lebih dari itu,” tambahnya lagi.

Alhamdulillah berkat perkahwinan pertamanya dia dikurniakan seorang anak dan berkat perkahwinan ketiganya dia dikurniakan dua orang lagi cahaya mata. Kesemuanya perempuan dan kini Tasha seorang ibu kepada tiga orang anak gadis berumur 11, enam dan empat tahun.

Namun, siapa menyangka? Panas tidak sering sampai ke petang dan hujan tiba di tengah hari.

“Ramai orang sebelum berkahwin keluar dengan ramai orang atau ber’dating’. Tapi saya tidak percaya pada semua itu. Buat saya kalau kami dah sama-sama suka dan serius, lebih baik kita halalkan sahaja ikatan tersebut dan berkahwin. Oleh sebab itu saya mengikuti prinsip tersebut. Tapi Allah lebih tahu, jodoh saya tidak panjang dan akhirnya saya kini bergelar seorang wanita yang sudah empat kali berkahwin dan cerai.

Biarlah apa yang orang ingin katakan, mereka tidak tahu apa yang saya sudah lalui dan mungkin saya tidak bernasib baik seperti sesetengah orang di luar sana,” jelasnya tentang isu perkahwinannya.

 

Imej berpurdah

“Selepas berkahwin, saya mula mendalami ilmu agama. Saya mengikuti pengajian tinggi di bidang agama Islam dan belajar sampai mendapat ijazah di sebuah institusi swasta tempatan. Saya tidak nafikan semasa saya mendalami ilmu agama, saya bergerak agak pantas dan perubahan yang berlaku juga agak cepat.

Semasa saya belajar ilmu agama, saya memahami lebih banyak tentang konsep berniqab atau berpurdah dan oleh kerana suami saya ketika itu sering berjauhan untuk kerja, saya berfikir, memakai niqab atau berpurdah adalah sesuatu yang positif dan dapat melindungi saya sebagai seorang wanita. Jadi saya teruskan keputusan saya itu untuk berniqab sepenuhnya, “ jelas Tasha tentang imejnya dahulu.

Tasha juga memberitahu bahawa pada mulanya dia berpurdah kerana tidak mahu dikenali.

“Semasa mengikuti kelas-kelas agama, saya pernah sampai di satu tahap di mana saya mula muak dengan permintaan orang untuk mengambil gambar bersama. Malah, saya lebih memilih untuk bercakap dengan mereka selama lima minit dan mengenali mereka daripada mengambil gambar. Namun lama-lama saya mula selesa berpurdah kerana tiada yang mengenali saya dan lebih mudah bergerak ke mana sahaja,” ujar Tasha panjang lebar.

Walau bagaimanapun semuanya berubah buatnya selepas berkahwin untuk kali keempat.

“Suami saya ketika itu lebih suka jika dia dapat meilhat wajah saya. Jadi saya turuti permintaan suami. Sebab itu saya buka,” sambungnya lagi.

Kini Tasha kelihatan lebih selesa selepas bercerai dan mahu membina hidup baru.

 

Kerjaya dan waktu

“Sebelum ini, saya sebenarnya sibuk dengan perniagaan saya sendiri. Perniagaan itu masih berterusan. Saya menjual ‘essential oil’ dan ada ribuan pengedar di bawah rangkaian saya. Namun saya sebenarnya banyak menghabiskan masa melakukan kerja-kerja amal membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Tasha sebenarnya sibuk dengan badan kebajikannya sendiri yang bernama AmalHope. Persatuan itu membantu mereka yang memerlukan seperti mangsa gempa bumi di Lombok dan juga mangsa peperangan di Jordan dan Palestine.

Saya banyak bekerjasama dengan badan luar negara kerana kebetulan saya ada jaringan yang luas dengan orang dari luar. Sebab itu saya sering ke luar negara membantu orang. Malah sokongan yang saya dapat daripada rakan kerja tempatan untuk membantu orang luar juga sangat memberangsangkan. Sebab itu, saya teruskan kerja ini.

Padahal kalau difikirkan, saya sebenarnya penat dengan semua ini, tapi selepas selesai satu projek diri sendiri rasa tak puas dan mesti nak buat lagi,” sambung Tasha.

Beliau juga memberitahu yang dirinya sangat aktif dan sukakan media sosial.

It is my forte, di situ saya rasa saya tahu apa yang perlu dilakukan dan saya sendiri menasihati pelanggan-pelanggan saya tentang cara menggunakan media sosial dengan betul,” jelasnya lagi.

 

Selain daripada sibuk mencari rezeki lewat perniagaan dan membuat kerja amal demi diri dan keluarganya, pasti ramai yang tidak tahu Natasha Hudson juga seorang yang jaguh memanah

Malah dia mengikuti latihan memanah sambal berkuda!

“Sebenarnya dari kecil lagi saya sudah menunggang kuda dan kemudian saya berhenti seketika gara-gara satu pengalaman yang meninggalkan trauma. Namun kerana memang cintakan sukan itu, saya mula menunggang kuda semula. Kemudian saya ikut juga sukan memanah. Sekarang saya boleh melakukan kedua-duanya sekali!” katanya sambil ketawa.

Anak sulungnya juga dikatakan seorang yang berbakat dalam sukan yang sama.

“Dia sangat hebat. Dia mampu memanah ke arah objek yang sedang bergerak! Dedikasinya benar-benar luar biasa. Saya bersyukur kerana ketiga-tiga anak saya saling melengkapi. Yang sulung menyayangi adik-adiknya dan yang paling kecil menjadi kekuatan untuk menenangkan kakaknya yang kedua,” jelas Tasha tentang tiga puterinya.

Kini Tasha selain sibuk dengan kerja amal, beliau juga ada siaran ‘podcast’nya sendiri di mana dia membahaskan perkara-perkara yang terjadi kepada dirinya dan wanita lain. Dia juga tidak keberatan untuk berlakon semula.

“Saya tidak keberatan untuk berlakon semula namun saya lebih berhati-hati dalam memilih watak. Walaupun kini berhijab saya masih menerima banyak tawaran berlakon. Mungkin belum kena masanya kerana saya juga sibuk dengan kerja-kerja amal dan perniagaan saya,” ujar Natasha lagi.

Kini Tasha hanya ingin fokus untuk menyayangi dirinya dahulu dengan lebih mendalam.

“Saya terpaksa melalui empat buah perkahwinan untuk mengenali diri saya dan memahami konsep self-love atau sayangi diri sendiri. Tetapi saya redha kerana itu cara yang telah Allah tetapkan untuk saya. Yang penting saya belajar dari setiap kesilapan,” jelasnya lagi.

Kala ditanya adakah dia ingin membina rumah tangga lagi selepas ini beliau ada jawapan tersendiri.

“Sudah tentu sebenarnya saya sudah serik. Tetapi kita tidak tahu perancangan Allah. Dan sebagai seorang wanita Muslim, kita sering diajar bahawa lebih baik jika ada yang memimpin dan membimbing kita ke jalan yang benar. Namun saya tidak berharap dan membiarkan semuanya kepada takdir Tuhan. Jika sudah tertulis saya ikut perancangan yang maha Esa,” senyum Tasha menutup bicara.

Yang pasti, kami mengagumi kecekalan Natasha Hudson yang sama sekali tidak gentarkan kata-kata orang dan lebih mementingkan amal ibadahnya demi kebaikan keluarganya di dunia dan akhirat. Semoga dirinya terus diberkati dan semoga dia menemui sinar baharu yang dicar-cari. Itu doa kami buat dirinya dan keluarganya.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Natasha Hudson
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu) : Shah Shamshiri
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam
  • Penata Gaya : Amy Miyake
  • Konsep & Arahan Seni : Amy Miyake
  • Jurusolek : Saidatulnisa Aminuddin
  • Busana :
  • Sut: Wanpa
  • Dress panjang: MimpiKita
  • Skaf, kasut dan aksesori: Milik Penata Gaya
Saya terpaksa melalui empat perkahwinan untuk mengenali diri saya dan memahami konsep 'self-love' atau sayangi diri sendiri. Tetapi saya redha kerana itu cara yang telah Allah tetapkan untuk saya. Yang penting saya belajar dari setiap kesilapan.

Similar Articles

‘The New’ Sarah Hildebrand

By Helmi Anuar
Ogos 5, 2019

Hijrah Jiwa Mizz Nina

By Ili Farhana
September 3, 2019

Iktikad Hati Lisa Surihani

By Nor Syariza Tahir
Julai 29, 2019

Datin Fouziah Gous, Membina Empayar

By Ili Farhana
November 4, 2019

Liza Hanim, Menjejak Impian

By Rahayu Mat Nah
Oktober 29, 2019

Pesona Amy Mastura

By Helmi Anuar
Julai 15, 2019

Pengorbanan Heliza Helmi

By Helmi Anuar
Ogos 12, 2019

Siti Nordiana, SUPERSTAR

By Helmi Anuar
September 23, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: