Sherry Alhadad, Lisa Surihani & Nadiya Nisaa Dalam ‘Geng’

Julai 14, 2019
By Rahayu Mat Nah

Bayangkan apabila Sherry Alhadad, Lisa Surihani dan Nadiya Nisaa bergabung dalam satu projek bercorak komedi. Pasti gamat dibuatnya bukan? Apa tidaknya, setiap mereka punya personaliti tersendiri, lebih-lebih lagi apabila perlu mencuit hati penonton.

Bagi yang meminati ketiga-tiga nama ini, jangan lepaskan peluang menyaksikan filem televisyen (FTV), ‘Geng’ yang dibawakan secara eksklusif oleh Astro First Eksklusif.

Selain Sherry Alhadad, Lisa Surihani dan Nadiya Nisaa, Geng yang akan bersiaran pada 18 Julai di saluran 480 ini turut dibintangi oleh Hisham Hamid, Alif Satar dan Fatimah Abu Bakar.

‘Geng’ mengangkat tema persahabatan. Biarpun tema ini sangat ringkas, namun pengarah, Umi Salwana Omar berjaya mengolah keseluruhan plot menjadi satu naskah yang menghiburkan dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga.

Geng mengisahkan tentang Isabella (lakonan Sherry Alhadad), seorang bekas banduan yang ingin meninggalkan dunia jenayah tetapi geng lamanya, Geng Naga Kilat memaksa beliau untuk membuat satu lagi penghantaran dadah.

Isabella enggan membuat sedemikian dan ia mengakibatkan ibunya diculik. Isabella ingin mendapatkan ibunya semula dan menumpaskan operasi geng lamanya, justeru beliau mendapatkan bantuan dari dua rakan baik beliau, Anita (lakonan Nadiya Nisaa) dan Mariam (lakonan Lisa Surihani).

Kebetulan Anita yang merupakan seorang peguam dan Mariam yang merupakan seorang bekas jurutera turut mempunyai konflik di tempat kerja dan di rumah.

DekĀ  ingin melarikan diri daripada konflik yang dihadapi, Anita dan Mariam bersetuju untuk membantu Isabella melepaskan diri daripada Geng Naga Kilat.

Info menarik tentang ‘Geng’ :-

1) Keserasian dan sifat bersahaja Sherry Alhadad, Lisa Surihani & Nadiya Nisaa memudahkan sesi penggambaran yang hanya mengambil masa 14 hari untuk diselesaikan.

2) ‘Geng’ merupakan naskah sulung Sherry Alhadad bertindak sebagai penerbit, bergandingan dengan Sharmaine Othman dan Farah Rani. ‘Geng’ merupakan projek pertama produksi ‘Perempuan Productions’ yang dimiliki oleh ketiga-tiga nama ini.

3) Dalam ‘Geng,’ Sherry Alhadad keluar dari zon selesa apabila melakonkan beberapa adegan romantik bersama Hisham Hamid.

4) Hisham Hamid yang dikenali dengan watak-watak baik, perlu menghidupkan watak antagonis dalam naskah ini. Hisham beraksi sebagai Alex, seorang ketua kumpulan gangster.

5) ‘Geng’ menggunakan tagline ‘freshies for life’ sebagai lambang persahabatan ketiga-tiga watak utama.

6) ‘Geng’ menggunakan elemen girl power. Naskah ini menceritakan kekuatan wanita dalam menempuhi rutin kehidupan. ‘Geng’ bukan sahaja menampilkan wanita sebagai watak utama, malah mereka yang di belakang tabir juga adalah wanita (penulis, pengarah, penerbit).

7) Lagu-lagu daripada Kumpulan Elite yang popular pada era 90-an menjadi latar muzik ‘Geng.’ Antaranya adalah ‘Trauma,’ ‘Tamparan Wanita’ dan ‘G.I.G’ kerana ia bersesuaian dengan tema ‘girl power’.

Kredit foto : Astro First Eksklusif

Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: