Setem Bertema Pakaian Kebangsaan Negara-Negara ASEAN

Ogos 8, 2019
By Nor Syariza Tahir

Pengumpul setem di luar sana kini boleh menambah lagi koleksi peribadi setem anda dengan mendapatkan siri setem istimewa dwitahunan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), yang dinamakan ASEAN Post 2019.

Apa yang menarik bagi siri setem tersebut adalah ia dikeluarkan dengan kerjasama antara ahli-ahli komuniti pos ASEAN iaitu Brunei, Kemboja, Filipina, Indonesia, Laos, Myanmar, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Bagi keluaran kali ini, kesemua ahli komuniti tersebut telah sebulat suara untuk memilih tema pakaian kebangsaan.

“Siri setem ASEAN Post 2019 (Pakaian Kebangsaan) dikeluarkan bermula 8 Ogos 2019 bersempena dengan ulang tahun penubuhan ASEAN pada 8 Ogos 1967.

“Pakaian kebangsaan dipilih kerana ia amat signifikan dalam mempromosikan kebudayaan, warisan serta identiti setiap negara ASEAN.

“Bagi Malaysia, kami mengetengahkan pakaian kebangsaan dan kepelbagaian pakaian tradisi yang memaparkan masyarakat majmuk di negara ini,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor.

Pada Ogos 2017 yang lalu, Pos Malaysia telah mengeluarkan siri setem bertemakan bunga kebangsaan bagi memperingati Ulang Tahun ke-50 ASEAN, sekali gus menjadikan siri tersebut sebagai koleksi pertama setem bagi ahli pos negara-negara ASEAN.

Siri setem ASEAN Post 2019 hanya mempunyai sekeping setem bernilai 60sen.

Selembar helaian pula mempunyai 20 keping setem dan memaparkan persalinan lengkap baju melayu untuk lelaki dan baju kurung untuk wanita.

Secara keseluruhan, hanya 200,000 keping setem dihasilkan bagi siri tersebut.

Selain itu, bagi keluaran Lembaran Mini (MS) pula, ia memaparkan pakaian tradisi pelbagai etnik di Malaysia termasuk Cina, India serta Sabah dan Sarawak.

Hanya 22,000 keping MS dihasilkan yang turut menampilkan ciri khas Spot UV dan dijual pada harga RM5.00 setiap satu.

Manakala Sampul Hari Pertama (FDC) pula dikeluarkan sebanyak 27,000 keping pada harga RM1.10 beserta setem, serta didatangkan dengan brosur percuma.

Set lengkap bagi siri ASEAN Post 2019 adalah berharga RM29.60 setiap satu.

Kesemua 10 setem terhad dari negara-negara ASEAN akan dimasukkan ke dalam folder khas dan boleh dibeli secara eksklusif untuk 1,000 Ahli Deposit Pesanan Tetap (SODA) terawal.

Sementara itu, Pos Malaysia turut menggalakkan peminat serta pengumpul setem untuk menjadi ahli SODA bagi memastikan anda tidak terlepas peluang untuk memiliki isu-isu setem terkini serta menikmati faedah eksklusif yang ditawarkan.

Bagi yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA, anda boleh melakukannya dengan mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau secara online di www.posonline.com.my.

Siri lengkap setem juga boleh didapati melalui www.eziemall.com atau berurusan dengan  cawangan pejabat Pos Malaysia terdekat atau Galeri Setem di Tingkat Dua, Ibu Pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi, Kuala Lumpur.

Foto: Pos Malaysia

 

“Siri setem ASEAN Post 2019 (Pakaian Kebangsaan) dikeluarkan bermula 8 Ogos 2019 bersempena dengan ulang tahun penubuhan ASEAN pada 8 Ogos 1967. "

Similar Articles

Pos Malaysia Lancar Siri Setem Karakter Marvel

By Nor Syariza Tahir
Julai 3, 2019

Siri Setem Lebah Madu di Malaysia

By Ili Farhana
April 9, 2019