Setem Batman Istimewa Pos Malaysia

November 22, 2019
By Ili Farhana

Tahun ini memang tahun yang meriah untuk peminat komik dan pengumpul setem tempatan. Kenapa? Kerana selepas mengeluarkan koleksi setem Marvel pertengahan tahun lalu, Pos Malaysia baru-baru ini telah mengeluarkan koleksi setem Batman pula.

Siapa yang tak kenal Batman? Alter ego jutawan ternama Bruce Wayne, dan juga penjaga bandaraya Gotham. Watak Batman pertama kali diperkenalkan kepada para pembaca komik pada 30 Mac 1939 dalam komik Detective Comics #27 terbitan DC. Sejak itu watak dan logo Batman ada di mana-mana, dari komik hingga ke filem, taman tema ke pakaian.

Kini, DC bersama Warner Bros. Consumer Products dan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) telah melancarkan setem keluaran terhad Batman.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md. Najib Syed Md. Noor berkata, “Siri setem Batman ini merupakan tribut 80 tahun komik hebat itu. Koleksi setem ini akan menampilkan 10 ilustrasi si Batman yang juga dikenali sebagai Caped Crusader merentas waktu di dunia komik untuk memperlihatkan evolusi ilustrasi Dark Knight sepanjang lapan dekad.

Siri Setem Ku keluaran terhad ini hanya boleh dibeli dalam set folder lengkap. Ia tidak dijual secara berasingan. Set lengkapnya mengandungi dua helaian setem Batman, satunya mempunyai setem logo Batman 80 Years dengan teknik cetakan foil holografik premium, dua keping sampul khas dengan lima setem pada muka depannya, tiga keping poskad bertema Batman, satu keping folder The Dark Knight dengan efek khas. Harga set lengkap adalah RM120 setiap set.

Untuk menarik minat generasi muda untuk mula mengumpul setem di era serba canggih ini, sebuah set khas yang mengandungi helaian mini tiga keping setem Batman, poskad khas, dan sampul istimewa bertema Batman akan dijual pada harga RM10 sahaja.

Siri setem keluaran terhad ini sudah boleh dibeli di setiap cawangan pejabat pos seluruh negara atau melalui laman web www.eziemall.com . Ayuh, mari mula mengumpul setem!

Similar Articles

Pos Malaysia Lancar Siri Setem Karakter Marvel

By Nor Syariza Tahir
Julai 3, 2019

Setem Bertema Pakaian Kebangsaan Negara-Negara ASEAN

By Nor Syariza Tahir
Ogos 8, 2019

Kenali Keunikan Gua Di Malaysia Menerusi Koleksi Setem

By Nor Syariza Tahir
Ogos 23, 2019

Siri Setem Lebah Madu di Malaysia

By Ili Farhana
April 9, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: