#Sesungguhnya2019 Buah Tangan Ramadan Raihan dan Alif Satar

Mei 13, 2019
By Nor Syariza Tahir

Siapa yang tidak kenal dengan kumpulan Raihan? Lagu-lagu mereka sering menjadi siulan dan halwa telinga pada suatu ketika dahulu, dan ramai juga yang membesar dengan lagu-lagu kumpulan nasyid yang pernah mencetuskan fenomena itu.

Popular dengan lagu-lagu seperti ‘Puji-Pujian,’ ‘Iman Mutiara,’ ’25 Rasul,’ ‘Peristiwa Subuh,’ ‘Syukur’ dan banyak lagi. Tahun ini, Raihan tampil untuk merakam semula lagu ‘Sesungguhnya’ dengan kolaborasi bersama Alif Satar.

#Sesungguhnya2019 bukanlah sebuah lagu baharu, namun sebuah lagu cover ataupun disebut sebagai comeback bagi mereka.

Dengan melodi dan susunan muzik yang lebih segar, #Sesungguhnya2019 menjadi pilihan Alif dan Raihan kerana melodi serta liriknya yang sesuai untuk diketengahkan pada masa kini.

Ia pasti akan mengembalikan nostalgia buat peminat -peminat Raihan kerana lagu itu sudah berusia 23 tahun!

Bagi Alif yang baru berusia tujuh tahun ketika lagu ‘Sesungguhnya’ direkodkan pada tahun 1997, peluang untuk berduet dengan Raihan baginya merupakan impian zaman kanak-kanak yang kini tercapai.

“Saya meminati kumpulan Raihan ketika berusia enam tahun lagi.

“Ibu bapa saya yang melanjutkan pelajaran di London suatu ketika dahulu turut membawa kaset Raihan bersama-sama sepanjang empat tahun kami di sana. Lagu-lagu Raihan lah yang Alif menyanyikan dan hafal pada ketika itu,” ujar Alif teruja.

Manakala bagi Raihan pula, duet #Sesungguhnya2019 bagaikan bulan jatuh ke riba kerana Alif merupakan artis muda yang mempunyai imej bersih dan sesuai untuk berduet bersama.

Keterujaan Alif membuatkan Raihan amat berbesar hati untuk digandingkan bersama-sama.

Susunan lagu #Sesungguhnya2019 dibuat oleh The Locos iaitu ahli band yang mengiringi Alif membuat persembahan sekarang.

Ia diolah oleh Efry & Tam Cobain serta iringan seruling oleh Faliq dan Yuri sebagai pemain drum.

Malah Abu Bakar dari Raihan sendiri turut membantu dari segi susunan vokal, maka terhasillah #Sesungguhnya2019.

#Sesungguhnya2019 boleh didengar secara streaming di platform-platform seperti Sportify, JOOX, iTunes dan sebagainya.

Sementara itu, Alif bakal mengadakan persembahan amal bagi mengutip dana untuk Pertubuhan Komited Malaysia pada 17 Mei ini di Bora Ombak Putrajaya pada pukul 4 petang.

Meja adalah berharga RM 3,000 untuk Kerusi Silver, RM 6,000 bagi Kerusi Gold dan RM 9,000 untuk Kerusi Platinum.

Raihan juga bakal tampil sebagai artis jemputan untuk persembahan amal tersebut dan buat pertama kalinya mereka akan mengadakan persembahan duet untuk lagu #Sesungguhnya2019.

Sebarang pertanyaan mengenai persembahan tersebut boleh menghubungi talian 011-5686 6963.

 

Foto: Perhubungan Awam Alif Satar

 

Bagi Alif yang baru berusia tujuh tahun ketika lagu Sesungguhnya direkodkan pada tahun 1997, peluang untuk berduet dengan Raihan baginya merupakan impian zaman kanak-kanak yang kini tercapai.

Similar Articles

‘Jadikan Aku Yang Halal’ Taruhan Terbaru Zulin Aziz

By Helmi Anuar
Mei 10, 2019

Alunan Qasidah dan Nasyid di Satu Pentas

By Nor Syariza Tahir
April 10, 2019