Sensasi Nabila Razali

Oktober 7, 2019
By Helmi Anuar

Nama Nabila Razali semakin mendapat perhatian dalam industri hiburan negara. Bermula sebagai salah seorang peserta program realiti Akademi Fantasia 2013, nama Nabila sudah mula menjadi bualan netizen.
Suaranya disamakan seperti ‘Chipmunks’ oleh netizen. Malah sewaktu masih berada di dalam Akademi Fantasia, Nabila pernah membuat laporan polis gara-gara menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak bertanggungjawab.

Namun siapa yang menyangka, Nabila Razali yang dulunya teruk dikecam, kini antara penyanyi wanita yang semakin meningkat naik dan punya lagu hits yang mencecah puluhan juta tontonan di YouTube. Setelah beberapa tahun menyepi selepas tamat program Akademi Fantasia. Nabila kembali memeriahkan industri muzik negara dengan single berjudul ‘Cemburu’. Namun namanya hanya betul-betul meledak selepas muncul dengan single ‘Pematah Hati’ yang menjadi fenomena.

Gara-gara gimik untuk pelancaran lagu itu, Nabila telah dicop sebagai Ratu Gimik. Malah selepas itu, semakin ramai pula artis yang cuba tampil dengan gimik jika mahu tampil dengan produk terbaru.

Pada satu tahap saya pernah rasa seperti mahu putus asa sewaktu orang ramai mengecam saya. Tetapi saya berbalik kepada niat saya kenapa saya masuk industri ini.

Saya mencintai bidang muzik dan memang mahu menjadi penyanyi sejak kecil. Malah niat saya juga mahu menggembirakan keluarga. Dengan menyanyi kita boleh dapat rezeki lebih. Macam mana saya sedih pun saya akan berbalik kepada niat saya untuk apa saya berada di sini.

Orang bercakap pasal kita maknanya mereka ambil tahu pasal kita. Jika dulu mungkin saya cepat melatah kerana masih tidak matang, tetapi kini saya akan ambil segala kritikan untuk meningkatkan prestasi saya”.

Cerewet Pilih Lagu

Penyanyi berusia 27 tahun Ini mengakui beliau agak cerewet untuk memilih material terbaru untuk single yang seterusnya kerana mahu kekalkan momentum dari lagu yang sebelumnya.

Lagu ‘Pematah Hati’ sehingga kini sudah meraih jumlah tontonan lebih dari 25 juta di YouTube. Malah lagu itu juga lebih sinonim di gelar ‘cumi-cumi’ dek bait-bait lirik yang terdapat dalam lagu ciptaan Hael Husaini itu.

Kemana-mana sahaja Nabila pergi, pasti lagu itu yang paling dinanti oleh peminatnya. Justeru, Nabila mengakui agak tertekan untuk menghasilkan lagu baru.

Memang susah nak cari lagu baru yang boleh membuatkan pendengar nak terus mendengar seperti lagu-lagu sebelum ini. Tekanan untuk ‘team’ saya agak tinggi sehinggakan kalau kita dapat lagu baru kita akan fikir dulu boleh ke lagu ini berjaya. 

Pada satu tahap kini saya rasa mahu menghasilkan lagu berentak balada kerana lagu-lagu sebelum ini sudah berjaya mencuri tumpuan kanak-kanak dan remaja jadi kini saya mahu fokus kepada pendengar yang lebih berusia. 

Tapi mengikut kemampuan vokal saya, saya masih lagi berhati-hati pilih lagu kerana tidak mahu terlampau ingin cari lagu yang sedap tetapi tidak sesuai dengan suara saya.

Saya juga tidak mahu keluarkan lagu baru semata-mata kerana mahu keluar dengan produk baru. Biarlah lagu itu memberi impak kepada pendengar.”

Ceburi Bidang Lakonan

Lumrah menjadi popular dan cantik, pasti rezeki dalam cabang seni yang lain akan singgah dalam karier seseorang penyanyi. Begitu juga dengan Nabila apabila beliau turut ditawarkan untuk menjadi pelakon. Terbaru, Nabila sedang menjalani penggambaran sebuah drama berjudul ‘Pesan Pada Hati’ bersama dengan Syukri Yahya. Malah Nabila turut dipuji oleh pelakon senior, Jasmin Hamid, yang menyifatkan Nabila sebagai seorang pelakon yang disenangi dan pandai membawa diri.

“Kita tak boleh suap orang dengan benda yang sama sahaja, sebab itu saya cuba tonjolkan bakat seni saya dalam bidang lakonan pula. 

Sejujurnya saya sendiri tidak sabar untuk menonton drama ini kerana wataknya agak berlainan dengan karektor yang saya pernah bawa sebelum ini. Jika sebelum ini watak saya lebih kepada remaja tetapi kali ini saya membawa watak sebagai isteri orang yang harus menjaga anak dan tidak disukai ibu mertua.”

Sebagai seorang penyanyi yang terjun ke bidang lakonan, pasti ada cabaran yang berbeza sewaktu berada di set penggambaran berbanding di atas pentas. Perkara itu turut dilalui oleh Nabila.

Kalau kita menyanyi, kita cuma ekpresikan perasaan itu kepada orang yang akan mendengar lagu kita. Tetapi kalau berlakon, kita perlu ada ‘give and take’ dengan pasangan kita. Perkara itu yang paling saya titik beratkan kerana tidak mahu ‘feel’ itu hilang dengan pasangan lakonan saya.

Sebenarnya banyak kali juga saya fikir untuk terima watak dalam drama ini kerana takut sekiranya saya terambil peluang orang lain. Saya takut saya terambil kerja orang yang lebih layak dapat pegang watak ini kerana kerjaya utama saya adalah nyanyian. 

Sebelum ini saya ada dapat watak perempuan bisu yang didera dan dirogol bapa tiri. Sama juga seperti saya memilih lagu yang sesuai dengan kemampuan vokal saya, saya juga pilih watak yang kena dengan kemampuan saya. Saya tidak mahu kelihatan seperti terlalu mencuba sehingga mencacatkan lakonan.”

Titik berat Penampilan Diri

Nabila sering tampil cantik dan bergaya tidak kira ke mana sahaja beliau pergi baik di pentas nyanyian, mahu pun acara-acara tertentu. Malah ketika Minggu Fesyen Kuala Lumpur baru-baru ini, kelibat Nabila sering kelihatan duduk di bangku hadapan pertunjukan fesyen pereka-pereka ternama negara.

Kalau saya tunjuk gambar-gambar lama mesti awak akan menangis”, kata Nabila sambil ketawa mengenang gayanya beberapa tahun lalu.

Saya memang seorang yang suka bersiap. Kalau pergi ‘meeting’ atau nak nak pergi isi minyak sekalipun saya akan bersolek. 

Saya memang macam ini sejak dari dulu. Cuma fesyen saya kini sudah berubah. Nasib baik ada banyak akaun gaya fesyen di Instagram yang boleh dijadikan rujukan dalam bergaya. Selain itu penata gaya juga memainkan peranan untuk mencantikkan lagi penampilan kita”.

Baru-baru panas di media sosial apabila pakaian yang dipakai Nabila dikritik gara-gara dikatakan memakai baju yang jarang sehingga menampakkan kulit.

Namun kata Nabila beliau masih tahu hukum, dan beliau sebenarnya memakai ‘inner’ berwarna merah jambu yang tidak kelihatan di dalam gambar.

Kagum Dengan Neelofa

Nabila turut punya cita-cita untuk ke peringkat antarabangsa. Namun katanya untuk berada di tahap itu bukan mudah.Malah beliau kagum melihat Neelofa mengukir kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Untuk pergi ke peringkat antarabangsa, ‘you need to have a brain first’. Pada peringkat ini saya rasa saya belum layak lagi. Banyak lagi yang saya perlu belajar. 

Antara artis Malaysia yang saya kagum adalah Neelofa. Kalau boleh saya juga mahu berjaya seperti Neelofa.

Saya suka lihat bagaimana Neelofa ‘portray’ diri dia. Dia juga turut dikecam orang tetapi sentiasa positif. Apa sahaja yang dia buat dia akan berbalik kepada keluarga. Saya suka sifat dia yang tidak cepat melatah dan cepat meminta maaf andai ada terbuat silap. 

Mulanya dia pegang jenama-jenama besar di Malaysia, kini dia ke luar negara mewakili Malaysia sebagai wanita berhijab yang berjaya 

Apa yang membuatkan saya lebih kagum dengan Neelofa adalah dia berjaya membawa fesyen wanita berhijab ‘to the next level’. Dia adalah ‘trendsetter’ yang mengubah skeptikal orang terhadap gaya fesyen untuk wanita berhijab”. 

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Nabila Razali
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu) : Helmie Anuar
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Helmi Anuar
  • Penata Gaya Hijab: Fyrose Zainuddin
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Bobo Cinta menggunakan Shu Uemura & Nars
  • Busana : Milik Penata Gaya
  • Hijab: Milik Penata Gaya
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam

 

Similar Articles

Sinar Bahagia Irma Hasmie

By Rahayu Mat Nah
September 30, 2019

“Saya Hampir Berhenti” – Sarah Raissuddin

By Helmi Anuar
Jun 23, 2019

‘Survival’ Seni Amira Othman

By Helmi Anuar
Julai 22, 2019

‘The New’ Sarah Hildebrand

By Helmi Anuar
Ogos 5, 2019

Kemilau Bintang Ummi Nazeera

By Ili Farhana
Mei 19, 2019

Iktikad Hati Lisa Surihani

By Nor Syariza Tahir
Julai 29, 2019

Metamorfosis Liyana Jasmay

By Ili Farhana
Mei 12, 2019

Noryn Aziz Kembali Menyinar

By Helmi Anuar
Jun 9, 2019