“Saya Hampir Berhenti” – Sarah Raissuddin

Jun 23, 2019
By Helmi Anuar

Lagu ‘Kesetiaan’ telah melonjakkan nama penyanyi bertubuh genit ini di persada seni muzik tanah air. Siti Sarah Raissuddin muncul di kala ramai lambakan penyanyi klon ‘Siti Nurhaliza’ pada era itu. Punya vokal unik dan imej yang berbeza, Sarah lantas mencuri tumpuan peminat seni tempatan.

Dengan imej ranggi dan sedikit urban, kehadiran Sarah benar-benar menjadi perhatian. Lagunya juga pantas mendaki carta lagu di radio-radio tempatan. Dia juga bertuah apabila diberi peluang merakamkan semula lagu duet ‘Sandarkan Pada Kenangan’ dengan Raja Pop, Dato’ Jamal Abdillah. Lebih membanggakan apabila album pertama Sarah berjaya menggondol anugerah Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2003.

Namun dek munculnya lambakan artis dari program realiti televisyen, kerjaya Sarah seakan malap seketika. Pandangan peminat muzik tempatan lebih tertumpu kepada kerdipan bintang segera artis realiti televisyen. Sarah juga tidak lepaskan peluang untuk menyertai pertandingan realiti, One In A Million. Namun perjuangannya kecundang di pentas akhir pertandingan itu.

Selepas bernikah dengan pelawak, Shuib, kerja nyanyian Sarah kembali menyepi. Fokusnya hanya tertumpu kepada suami dan tiga anak. Sesekali dia muatnaik video nyanyiannya di Instagram melepas gian menyanyi.

Namun penyertaannya dalam program Gegar Vaganza musim ketiga telah melonjakkan kembali nama Sarah dalam industri muzik Malaysia. Sarah kembali dipuja dan mengumpul lebih ramai peminat daripada sebelumnya.

Tetapi siapa sangka anak kepada pelakon dan penyanyi Raissuddin Hamzah ini pernah tiba-tiba terfikir mahu meninggalkan terus dunia nyanyian. Dan perkara itu terlintas di fikirannya pada tahun lalu.

Apabila saya pulang dari menunaikan ibadah umrah pada tahun lalu, ada sesuatu yang berlaku kepada saya yang sampai saya terfikir untuk berhenti menyanyi. Saya pun tak pasti apa yang berlaku kepada saya ketika itu.  Saya rasa seperti tidak mahu keluar dari rumah.”

“Sehinggalah Kak Nana (Pengurus) datang ke rumah dan tanya sama ada saya nak menyanyi lagi ataupun tidak. Sebulan juga saya berperasaan seperti itu sehingga selepas raya.”

“Tetapi disebabkan pada ketika itu saya sudang merancang untuk membuat ‘showcase’, segala-galanya telah ditempah dan ditetapkan seperti pemain muzik, lokasi dan sebagainya jadi saya teruskan jua”.

Cerewet Pilih Lagu

Agak lambat juga untuk Sarah tampil dengan lagu baharu selepas berakhirnya pertandingan Gegar Vaganza. Namun Sarah tidak mahu terburu-buru kerana mahu memastikan karya yang dihasilkannya betul-betul ‘menjadi’ dan ‘kena’ dengan dirinya.

Akhirnya terhasillah lagu ‘Semakin’ ciptaan sepenuhnya oleh suaminya sendiri iaitu Shuib. Tuah menyebelahi Sarah kerana lagu ‘Semakin’ berjaya memikat hati peminat muzik tempatan. Malah impiannya untuk ke pentas Anugerah Juara Lagu selepas berbelas tahun akhirnya terlaksana dengan lagu ‘Semakin’.

Untuk membikin lagu baru itu biarlah ianya betul-betul memberi impak. Sebenarnya ia bergantung pada rezeki juga. Untuk album pertama dan kedua saya, agak cepat proses memilih lagu. Tapi bila mula album yang ketiga dah mula jadi lambat. Mungkin sebab apa yang kita sudah pernah keluarkan sebelum ini, jadi nak keluarkan sesuatu yang baru setelah sekian lama, biarlah ia setara dengan hasil sebelum ini. Sejujurnya bila bercakap tentang karya, saya agak cerewet tentang apa yang saya nak bagi kepada pendengar.”

“Saya banyak belajar daripada Ajai untuk menghasilkan lagu. Ajai beri saya kebebasan untuk lakukan apa yang saya mahu dalam nyanyian dengan cara saya sendiri. Sewaktu menghasilkan album yang terdahulu, saya telah bekerja dengan lebih daripada 10 komposer, jadi saya sudah faham kerenah-kerenah pencipta lagu. Tapi dengan Ajai berbeza, kerana dia berikan kebebasan untuk saya.”

Ditanya adakah dia punya pilihan tertentu untuk memilih pencipta lagu selain suaminya, kata Sarah dia seorang yang sangat terbuka untuk menerima karya daripada sesiapa sahaja.

“Sejak sebelum ini lagi saya sentiasa terbuka dan tidak pernah terikat dengan orang yang ada nama ataupun tidak. Yang penting pada saya adalah melodi. Tetapi saya agak cerewet kerana siapa yang akan membawa lagu itu selama bertahun-tahun? Saya! Kadang-kadang ada lagu-lagu yang saya dah rakam tetapi saya tidak pernah menyanyi.”

“Saya juga teringin untuk menghasilkan album mini dan saya pernah suarakan tentang ini kepada Shuib. Antara komposer-komposer yang saya teringin untuk bekerjasama adalah Hazami, Hael Husaini, Goufran dan juga pendatang baru seperti Sufian Suhaimi.”

Penghibur Media Sosial

Bukan sahaja hebat di atas pentas nyanyian, tetapi populariti Sarah melarat sehingga ke media sosial. Video-video kisah hidupnya bersama Shuib dan anak-anak sering menjadi tular dan membikin hati netizen terhibur. Terbaru kisah motor Shuib yang telah di ‘make over’ oleh Sarah.

Namun sudah menjadi lumrah orang popular, pasti akan ada warga net yang tidak berpuas hati dengan mereka dan mengecam perilaku mereka di media sosial. Baru-baru ini Shuib digelar sebagai dayus gara-gara meminta izin dari Sarah untuk membeli motor baru.

“Sebagai seorang manusia, saya juga punya perasaan. Saya juga mempunyai emosi-emosi sama macam orang lain. Benda paling kelakar tentang perkara ini adalah dia cakap kita tak apa, jangan kita cakap pasal dia. Tapi sebagai seorang selebriti itu sahaja yang membezakan saya dengan orang lain. Jadi ada perkara-perkara tertentu yang saya harus korbankan perasaan. Apa boleh buat.”

“Tetapi sekarang ini saya sudah mula menyekat pengguna media sosial yang biadab. Contohnya kalau ada yang meninggalkan komen-komen yang biadab saya akan terus padam dan sekat. Jangan komen saya lagi! “

 

Seronok Berniaga

Umum mengetahui Sarah dan suaminya mengusahakan beberapa jenis perniagaan antaranya madu dan pencuci wajah Pinky Pinky. Kata Sarah dia sangat seronok berniaga dan merancang untuk membuka beberapa lagi jenis perniagaan.

Seronok sangat dapat berniaga. Dalam pada ekonomi sekarang yang sangat teruk, saya dapat membantu orang lain. Ada orang yang tak mampu nak beli lampin anak, nak bertahan dalam hidup. Tetapi Alhamdulillah dengan adanya jenama Pinky Pinky, mereka dapat menjana pendapatan. Pada masa yang sama produk saya tidak merosakkan muka orang. 

“Saya juga ada buat tudung, tetapi saya belum secara rasmi nak betul-betul jual tudung itu. Saya pernah menyertai ekspo dan Alhamdulillah tudung saya laris. Tetapi bila balik sini, saya rasa macam belum sampai masanya lagi untuk saya kembangkan perniagaan tudung ini”, ujar Sarah mengakhiri perbualan.

Di Sebalik Wajah Salam

• Wajah Salam : Siti Sarah Raissuddin
• Gambar : Whitenery
• Penyelaras dan Pengurus Projek : Shah Shamshiri
• Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
• Suntingan : Ili Farhana
• Pereka grafik: Asyraf Tamam
• Penata gaya : Farah Dinana
• Penata gaya hijab: Farah Dinana
• Jurusolek : Epie Temerloh
• Busana : Shanell Harun & Melinda Looi

Similar Articles

Kisah Hati Alyah

By Helmi Anuar
Mei 26, 2019

Dunia Baru Shila Amzah

By Nor Syariza Tahir
Jun 3, 2019

Noryn Aziz Kembali Menyinar

By Helmi Anuar
Jun 9, 2019

Kisah Nur Fazura & Hijab Di Bulan Ramadan

By Helmi Anuar
Mei 6, 2019

Erra Fazira – Ceritera Sang Primadona

By Helmi Anuar
April 29, 2019