Resipi ‘Vegan’ Mudah dan Lazat

November 5, 2019
By Ili Farhana

Sedar tak sedar sebenarnya banyak makanan yang kita makan sehari-harian boleh dimasak dengan bahan berasaskan tumbuhan dan bebas daging, susu, atau telur. Tak salah juga kalau kita dedikasikan satu hari dalam seminggu untuk menikmati hidangan yang bebas daging, seperti yang dianjurkan pergerakan #MeatlessMonday. Sekali-sekala tukar angin, sambil membantu tubuh badan kita menjadi lebih sihat.

Hari ini kami mahu berkongsi dua resipi berasaskan tumbuhan yang mudah, sihat dan pantas untuk disediakan untuk anda cuba di rumah.

Resipi pertama adalah nasi sayuran ala Korea. Ia seperti bibimbap sayur tradisional tetapi telah diolah sedikit untuk menjadikannya lebih mudah dan pantas untuk disediakan. Bibimbap biasanya dihidangkan dalam mangkuk batu yang panas dan apabila nasi digaul dengan bahan-bahan lain, nasi menjadi sedikit berkerak. Nasi dalam resipi ini dimasak sedikit di dalam kuali untuk mendapatkan kerak seperti bibimbap tradisional, dan sayur-sayuran yang digunakan boleh ditambah atau ditukar ganti mengikut rasa. Enak juga jika dihidangkan bersama sup sayur atau sup bening biasa.

Resipi kedua adalah resipi penkek pisang yang hanya menggunakan tiga bahan—oat, susu soya dan pisang! Penkek lazimnya dibuat menggunakan tepung, telur, dan mentega. Penkek pisang ini boleh dihidangkan sebagai sarapan ataupun minum petang dan boleh dihidangkan dengan madu, sirap mapel, aiskrim, yogurt, taburan serbuk coklat dan lain-lain.

Selamat mencuba!

 

Nasi dengan Sayuran Ala Korea (untuk 2 orang)

6 sudu besar nasi (boleh gunakan nasi dari beras biasa, beras basmathi atau beras kesihatan lain)

3 sudu besar minyak bunga matahari

10 biji cendawan butang segar atau tin (dibersihkan)

4 ‘radish’ dipotong halus (bukan lobak putih tetapi lobak kecil bewarna merah jambu)

1 batang lobak merah, dibersihkan dan dihiris nipis

1 batang zukini, dihiris nipis

2 sudu besar kacang edamame (segar ataupun beku)

Segenggam daun bayam atau spinach

1 sudu besar kicap pekat

½ sudu kecil gula perang

1 cili dihiris nipis

Daun bawang dihiris nipis

1 sudu besar bijan

 

Cara-cara:

  1. Panaskan 2 sudu besar minyak dalam kuali saiz sederhana, di atas api sederhana kuat. Masukkan nasi, dan tekan-tekankan nasi dalam kuali sekitar 5 minit untuk mendapatkan kerak yang agak rangup. Kemudian, bahagikan nasi ke dalam dua mangkuk.
  2. Panaskan 1 sudu minyak dalam satu kuali besar di atas api yang besar. Tumis cendawan, ‘radish’, lobak, zukini, kacang edamame dan daun bayam selama lebih kurang 2-3 minit. Masukkan kicap dan gula dan tumiskan sedikit lagi, sekitar 2 minit.
  3. Letakkan campuran sayur tumis tadi di atas nasi dan taburkan hirisan cili, daun bawang dan bijan sebelum menghidang. Jika mahu pedas, boleh tambahkan sambal atau gochujang (pes cili Korea). Jika mahu tambah perasa, boleh juga tambah minyak bijan dan kicap cair.

Penkek Pisang Tiga Bahan (untuk 9 keping penkek)

1 sudu besar minyak bunga matahari (untuk menggoreng)

1 biji pisang montel  (kalau mahu guna pisang emas, jadikan 3 biji pisang emas)

100g rolled oats

300ml (1 ½ cawan) susu soya (bergula)

 

Cara-cara:

  1. Panaskan kuali atas api sederhana perlahan sementara anda sediakan adunan untuk penkek.
  2. Masukkan pisang, oat, dan susu soya ke dalam blender atau food processor dan kisar sehingga menghasilkan adunan yang hampir tidak berketul.
  3. Cedok adunan ke atas kuali leper dan masak lebih kurang 2 minit atau sehinga keemasan dan terbalikkan.
  4. Hidangkan panas-panas bersama hirisan pisang, yogurt, sirap mapel, atau kekacang walnut atau badam.

 

Sumber: 15 Minute Vegan: On a Budget oleh Katy Beskow

Gambar: Skyla Design di Unsplash , Angela Bailey di Unsplash

Similar Articles

Hangat Air Halia di Musim Hujan

By Ili Farhana
November 4, 2019

‘Clean Eating’ Adalah Gaya Hidup

By Rahayu Mat Nah
Oktober 30, 2019

Resepi Telur Bistik

By Helmi Anuar
Julai 26, 2019

5 Manfaat Pisang Untuk Aktiviti Latihan Kecergasan

By Nor Syariza Tahir
Ogos 7, 2019

6 Cara Kurangkan Pengambilan Makanan Manis

By Rahayu Mat Nah
Mei 13, 2019

Bingka Labu: Kuih Tradisional Yang Mudah Disediakan

By Nor Syariza Tahir
Oktober 25, 2019

Buah-Buahan Bantu Kuruskan Badan

By Rahayu Mat Nah
September 27, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: