Rasai Keenakan Makanan Jalanan Indonesia di IndoBowl

April 15, 2019
By Nor Syariza Tahir

Bayangkan anda sedang menikmati rasa pedas manis sambal balado yang dihidangkan bersama mee segera, Indomie dan telur goreng separuh masak, sambil menghirup air Teh Botol.

Pedas dan ‘terangkat’ bak kata orang. Sudah pastilah! Sudah namanya pun sambal balado.

Sambal yang berasal dari Indonesia yang sering dihidangkan bersama nasi dalam pelbagai hidangan itu sememangnya sinonim dengan rasanya yang pedas.

Namun, bagaimana pula jika ia dihidangkan bersama dengan Indomie, telur goreng, dan aneka lauk tambahan seperti ayam telur masin atau sotong masak masam manis?

Kesemua menu itu boleh dirasai jika anda berkunjung ke restoran IndoBowl, sebuah restoran yang mengetengahkan konsep makanan jalanan Indonesia.

Bagi peminat makanan dari negara jiran ini, kebiasannya pasti anda sering makan di restoran-restoran yang menghidangkan hidangan utama seperti nasi ayam penyet atau nasi padang bukan?

Harus diakui, agak sukar mencari restoran yang menghidangkan makanan jalanan Indonesia di negara ini.

Disebabkan itu, Pengarah Urusan Cornery FNB Sdn. Bhd., Datuk Joe Tan, yang memiliki jenama IndoBowl, komited untuk mengetengahkan konsep sebegitu bagi memberi lebih pilihan kepada penggemar makanan Indonesia.

“Penggemar makanan Thai misalnya, mempunyai pelbagai pilihan untuk menikmati sama ada makanan jalanan atau makanan utama, dan keadaan ini tidak berlaku kepada peminat makanan Indonesia.

“Disebabkan itu, kami memperluaskan lagi operasi restoran IndoBowl dengan membuka cawangan ketiga di IOI City Mall ini bagi memberi lebih pilihan kepada para peminat makanan dari negara seberang itu, serta dalam masa sama memperkenalkan seleksi makanan jalanan dari Indonesia,” ujarnya kepada SalamToday.

IndoBowl IOI City Mall Putrajaya adalah cawangan ketiga di negara ini, selepas yang pertama dibuka di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan SS15, Subang Jaya, Selangor.

Berpeluang mencuba sendiri aneka jenis menu yang disediakan, penulis dihidangkan dengan hidangan pembuka selera, iaitu Sate Ayam dan Daging Madura.

Sate yang dipanggang garing itu dilimpahi dengan sos kicap manis dari Indonesia dan hirisan cili padi beserta bawang yang ditabur di atasnya.

Rasanya? Enak banget! Teringat saat kali pertama penulis mencuba sate di Indonesia ketika berlibur di kota Yogyakarta tiga tahun lepas.

Seterusnya, penulis mencuba pula beberapa menu berasaskan Indomie dengan pelbagai jenis lauk yang dihidangkan bersama sambal balado. Antaranya adalah Indomie Ayam Madura dan Indomie Ayam Telur Asin. Pelanggan boleh memilih sama ada untuk memesan sambal balado atau sambal ijo.

Jika ada yang ingin menikmati hidangan nasi pula, usah khuatir kerana terdapat juga pilihan menu berasaskan nasi. Cadangan penulis, cuba Nasi Sotong Masam Manis atau Nasi Ayam Petai Sambal Tomat.

Sotong yang dimasak berperisa masam manis dihidangkan bersama telur masin rebus dan sambal balado sememangnya berupaya menghasilkan sebuah gabungan rasa yang lengkap bagi sepinggan hidangan itu.

Istimewa untuk penggemar petai pula, jangan lupa memesan Nasi Ayam Sambal Tomat kerana pasti anda berpuas hati dengan bilangan biji petai yang disertakan dalam hidangan tersebut bersama dengan sambal tomato dan telur masin rebus.

Akhir sekali, sudah pasti pencuci mulut istimewa yang sering ditemui di gerai-gerai di tepi jalan di Indonesia, iaitu Ropang. Ia adalah roti panggang yang ditabur dengan pelbagai bahan makanan yang menggoda selera seperti hirisan keju dan coklat yang melimpah-ruah dan dipalut pula dengan susu sejat beserta sos coklat.

Oh, ya! Jangan lupa untuk memesan minuman signaturnya, Soda Gembira, Es Cendol dan Teh Botol.

Kesemua menu yang dihidangkan berharga bermula daripada RM9.90.

Tiada apa yang boleh dijanjikan jika anda berkunjung ke IndoBowl selain daripada kepuasan dan rasa gembira tatkala melangkah keluar dari restoran ini.

 

Foto: Aiem Rahman

Similar Articles

Buka Puasa dengan Puding Kurma Bersama Sos Tofi Ginseng Merah Korea

By Nor Syariza Tahir
April 18, 2019

Cadbury Dairy Milk Bubbly Untuk Keseronokan Bila-Bila Masa

By Rahayu Mat Nah
April 11, 2019

Buka Puasa di Hotel Tenera Bangi

By Nor Syariza Tahir
April 11, 2019

Nasi Memang Tak Salah, Tapi Ada 5 Makanan Pengganti Nasi

By Rahayu Mat Nah
April 10, 2019

Sediakan Sate Ayam Semudah 1,2,3

By Shah Shamshiri
April 9, 2019