Pulau Pinang Destinasi Percutian Untuk Seisi Keluarga

Jun 11, 2019
By Helmi Anuar

Sempena cuti perayaan yang panjang, pasti ada di antara anda yang bercadang untuk berlibur bersama keluarga, sahabat mahupun pasangan masing-masing.

Untuk itu SalamToday ingin mencadangkan anda untuk bercuti di Pulau Mutiara iaitu di negeri Pulau Pinang yang terletak di utara tanah air.

Terkenal sebagai ‘syurga makanan’ pastinya setiap pelancong yang hadir akan ‘food hunting‘ makanan-makanan tempatan yang enak lagi menggiurkan.

Antara makanan-makanan yang terkenal di Pulau Pinang adalah Nasi Kandar, Pasembor, Cendol, Ikan Bakar, Laksa, Mee Kari, Mee Udang, Roti Canai Transfer Road dan banyak lagi.

Soal tempat tinggal pula jangan risau kerana terdapat banyak hotel serta rumah tamu yang cantik, selesa dan murah di sini. Bagi yang inginkan percutian di tepi pantai, anda boleh pilih untuk menginap di kawasan Batu Feringgi.

Bagi yang sukakan tempat tinggal yang dekat dengan bandar, pilih sahaja pelbagai rumah tamu yang cantik di sekitar bandar Georgetown.

Sudah alang-alang berada di Pulau Pinang, jangan lupa untuk melawat Bukit Bendera. Apa yang istimewanya di sini adalah untuk naik ke puncak anda perlu menggunakan kereta kabel. Anda pasti terpesona melihat keindahan Pulau Mutiara dari atas puncak bukit ini.

Untuk yang gemarkan aktiviti lasak, anda boleh berkunjung ke taman tema Escape yang terletak di Teluk Bahang. Anda pasti teruja melakukan aktiviti-aktiviti lasak di sini. Ataupun anda boleh ke Penang Sky Walk untuk berjalan di atas jambatan kaca dan melihat panorama indah Pulau Mutiara dari atas bangunan tertinggi di Pulau Pinang iaitu KOMTAR.

Jangan risau jika mahu membeli belah kerana di Pulau Pinang terdapat banyak pusat membeli-belah yang boleh anda kunjungi. Jika bosan dengan pusat membeli-belah, apa kata anda singgah di ‘Feringgi Night Market’ yang dibuka dari jam 8 malam sehingga tengah malam.

Tidak sah kalau ke Pulau Pinang tetapi tidak menaiki feri. Jangan risau anda boleh membawa kenderaan anda untuk menaiki feri ini. Pasti memberikan pengalaman yang berbeza dan menyeronokkan.

Tak rugi jika anda bercuti ke Pulau Pinang kerana di pulau ini semuanya ada dan sesuai untuk seisi keluarga. Jadi apa tunggu lagi, cepat kemas bagasi anda dan rancang perjalanan anda ke Pulau Pinang bersama dengan tersayang.

 

Kredit Foto : Saji, Vkeong, Penang Foodie, TripAdvisor, Booking.com, Trivago, JomJalan.com, TimeOut, The Star, Travel141.com

Similar Articles