Pesona Amy Mastura

Julai 15, 2019
By Helmi Anuar

Pada hari penggambaran Wajah Salam ini dilakukan, sidang redaksi SalamToday menanti kehadiran bintang hati yang seorang ini tiba di White Studio dengan penuh teruja. Mana tidaknya, jika sebut sahaja nama Amy Mastura, pasti sudah terbayang karektornya yang gila-gila dan wajah awet mudanya yang sentiasa menceriakan suasana.

Jika artis popular lain sering dihambat kontroversi liar, namun lain pula buat Amy Mastura. Beliau artis yang bebas kontroversi dan tidak pernah terpalit dengan gosip liar. Profil Amy juga bukan sembarangan. Resumenya penuh dengan pelbagai kejayaan baik dari segi nyanyian, lakonan mahupun duta produk.

Memulakan kerjaya sebagai seorang pramugari di syarikat penerbangan Malaysia Airlines, Amy memberanikan diri mencuba nasib dalam pertandingan nyanyian ‘Asia Bagus,’  sebuah pertandingan pencarian bakat nyanyian di rantau Asia. Tuah menyebelahinya apabila dinobatkan sebagai juara.

Bermula dari detik itu, gemerlapan bintang Amy Mastura terus berkilau sehingga ke hari ini. Kehadiran Amy dalam industri hiburan tanah air lengkap dengan pakej sebagai seorang penghibur. Cantik, berbakat dan punya personaliti menarik. Tidak hairanlah mengapa beliau sering disunting sebagai duta pelbagai jenama.

 

Penyanyi kecil molek ini hadir di saat industri muzik Malaysia sedang dibanjiri dengan penyanyi bergenre balada seperti Aishah, Ziana Zain, Fauziah Latiff dan Nora. Tetapi apa yang membuatkan Amy Mastura menonjol adalah genre muzik yang dibawakannya. Muzik pop ‘bubblegum’ menjadi taruhan Amy. Lagu-lagu nyanyiannya seperti ‘Jawapan Kasih,’ ‘Meniti Hari,’ ‘Suria Khatulistiwa,’ ‘Sha Na Na,’ ‘Akan Datang’ dan banyak lagi berjaya mencuri perhatian peminat muzik tempatan sehingga berjaya merangkul anugerah Penyanyi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1994.

Tidak sahaja hebat di pentas nyanyian, bakat Amy juga menonjol di layar perak. Filem-filem lakonannya sering mendapat kutipan pecah panggung. Antara filem lakonan Amy yang paling ikonik adalah ‘Puteri Impian’ yang masih berbekas di hati penonton sehingga ke hari ini. Menerusi filem itu jugalah Amy berjaya menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia 1998.

 

Pesona Bintang

Hari itu, studio gamat gempita dengan gelagat Amy yang begitu ‘in character’ sewaktu bergaya di hadapan lensa kamera mengikut telunjuk dan arahan dari jurugambar Bustamam Mokthtar. Amy masih berbisa!  Setiap bidikan lensa kamera, wajahnya terakam sempurna.

Melihatkan raut wajahnya bagaikan tidak percaya ibu kepada dua orang puteri ini sudah menginjak usia 48 tahun. Sungguh! wajah Amy masih kelihatan muda malah seperti wanita dalam lingkungan 20an. Mahu juga kami mengcungkil rahsia awet mudanya, namun kami terkejut dengan kenyataan Amy.

Kalau saya cerita, mesti anda rasa macam tak payah nak ikutlah petua si Amy ni,” ujarnya ketawa. Saya tidak begitu menjaga wajah saya. Saya tidak pergi buat rawatan wajah. Saya cuma cuci muka saya dengan pencuci sahaja tanpa pelembab atau penyegar. Pencuci itu pun boleh didapati di farmasi-farmasi yang ada.”

Masih tidak berpuas hati, kami tanya lagi adakah Amy ada mengamalkan rutin senaman untuk kekal muda, namun jawapannya  adalah tidak!

Saya tidak bersenam. Sebenarnya suami saya yang suka sangat bersenam, saya tak suka sangat. Tapi disebabkan dia suka, saya ada ikut menemani dia. Bila semakin berumur, kita tahu senaman itu penting, kita faham dan kita sedang mencari cara nak minat ke arah itu.”

Dek wajahnya yang jelita serta punya personaliti yang menyenangkan. Wajah Amy kerap disambar jenama-jenama popular untuk menjadikannya sebagai duta mereka. Bukan calang-calang juga jenama yang pernah diwakilinya. Omega, Adidas, Shiseido, Lux, Kose, Maggi, Quaker Oat dan Safi antara yang pernah menggunakan khidmat Amy sebagai duta. Buka sahaja televisyen, pasti wajahnya kerap membintangi iklan-iklan di Malaysia.

Alhamdullillah semua itu rezeki. Saya pun tidak pernah terfikir akan dapat itu semua dan saya tidak pernah bercita-cita tinggi. Semua tawaran yang hadir itu adalah rezeki dari Allah dan saya sentiasa bersyukur kerana sering diberi kepercayaan untuk menjadi duta produk. Macam sekarang anak saya dia gila jenama Adidas dan saya pernah cerita kepada dia Mama dulu ada banyak barang Adidas kat rumah, kasut berkotak-kotak, baju, jaket lagi. Dia macam tak percaya saya pernah memiliki semua itu. Lepas tu dia tanya mana pergi semua barang-barang tu? Hahaha!”

 

Mahu Jadi Artis Sehingga Ditawar Watak Hantu

Sewaktu zaman kegemilangannya, wajah Amy kerap dipilih menjadi heroin filem dan sering menjadi ‘muse’ kepada pengarah terkenal Aziz M Osman. Siapa yang boleh lupa watak ikonik Puteri Nora dalam filem box office Puteri Impian 1 dan 2.

“Filem ‘Puteri Impian’ adalah yang paling memberi impak dalam kerjaya lakonan saya. Orang selalu akan sebut tentang filem itu. Kalau untuk drama televisyen pula sudah tentu drama ‘Toll Gate Girl.’ Ramai juga yang telah menjadi ‘toll gate girl’ disebabkan cerita itu”, jelas Amy sambil ketawa.

Kata Amy zaman dulu dan sekarang sudah banyak berubah. Dulu kalau ada filem baru yang akan keluar di pawagam, mereka akan menjelajah seluruh negara menaiki bas selama sebulan untuk promosi. Tetapi kini jangka hayat sesebuah filem ditayangkan di pawagam sangat singkat.

Wajah Amy kini lebih kerap muncul di kaca televisyen sebagai dramatis. Kata Amy, dia tidak pernah menghadkan umur untuk berlakon atau menyanyi.

“Kalau boleh saya nak terus berlakon sampai jadi hantu, datang set tak payah make up!” ujarnya sambil ketawa.

 

Kelab Peminat Lebih 25 Tahun

Bukan mudah bagi seseorang artis di Malaysia untuk kekal bertahan dan masih relevan selama lebih daripada 25 tahun. Namun Amy berjaya mengekalkan prestasi itu. Malah kelab peminatnya yang tertubuh sejak 25 tahun lalu juga masih aktif sehingga ke hari ini. Satu pencapaian yang sukar diraih oleh kebanyakan selebriti tempatan.

Baru-baru ini sahaja kelab peminatnya telah menganjurkan majlis rumah terbuka yang begitu meriah. Boleh anda bayangkan berapa umur mereka Sekarang andai mereka telah bernaung di bawah kelab peminat Amy Mastura FC sejak 25 tahun yang lalu?

Alhamdulillah mereka masih bersama saya sehingga ke hari ini. Saya rasa sangat seronok ada peminat sebegini. Saya juga tidak pernah menghalang mereka daripada meminati atau menyokong artis-artis yang lain. Dan saya juga masih kenal ahli-ahli kelab peminat saya sampai sekarang.

 

Ibu Yang ‘Chill’

Membesarkan dua anak perempuan seorang 18 tahun dan seorang lagi 14 bukan satu perkara yang mudah bagi mana-mana ibu bapa. Jika ibu bapa lain mungkin tegas dan mengawal anak-anak mereka, namun berlainan bagi Amy. Dia seorang ibu yang akan mendengar apa yang anak-anaknya inginkan dan akan bertolak ansur dengan mereka.

Kadang-kadang kita sendiri tidak pasti sama ada cara kita jaga anak kita tu betul ataupun tidak sebab bila kita sembang dengan mak-mak yang lain, lain cara mereka. Kadang-kadang saya cakap pada anak-anak saya, Mama rasa macam salah la Mama jaga korang. Orang lain ‘control’ anak-anak mereka. Saya kalau marah anak-anak saya mesti bersebab. Saya tidak akan marah tidak tentu pasal. Saya mahu lihat mereka gembira.

“Kalau anak-anak saya nak ikut trend semasa, saya akan biarkan mereka. Saya juga pernah melalui zaman seusia mereka. Kita ni yang dah ‘kertu’ (tua) tak tahu trend. Namun semuanya harus terkawal dan jangan pernah sesekali menipu sebab saya tidak pernah tak bagi apa yang mereka minta, asalkan jangan menipu.

“Saya akan beritahu mereka ada sesetengah perkara yang saya tidak boleh benarkan mereka lakukan sekarang. Contohnya kalau mereka nak keluar ke sesuatu tempat, kadang-kadang saya terpaksa ikut. Bukan bermaksud saya mahu mengawal mereka. Tetapi jika itu adalah kali pertama untuk mereka, maka ia juga kali pertama untuk saya.

“Saya selalu bergurau dengan anak-anak saya. Tapi bila saya diam mereka akan mula menjadi takut. Suami saya dia garang. Tetapi saya akan ‘slow talk ‘dengan dia supaya tidak terlampau garang dengan anak-anak kerana saya tidak mahu anak-anak saya hilang memori indah sewaktu mereka kanak-kanak. Jika mereka nak buat sesuatu saya akan benarkan, tetapi kalau saya nampak hasilnya negatif saya akan beritahu mereka ‘I don’t think so this thing is good for you.’ Jadi mereka pun boleh terima. Saya sorang yang ‘chill’. Kalau saya tak ‘chill’ anak-anak suruh kita ‘chillax,’” katanya sambil ketawa.

Amy juga tidak pernah menghalang anak-anaknya untuk menceburi bidang seni kerana dirinya juga berada di lapangan yang sama. Namun kata Amy anak sulungnya Adriana lebih cenderung ke arah seni kulinari manakala anak keduanya Adalia pula lebih sukakan seni persembahan pentas.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Amy Mastura
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Helmi Anuar
  • Penata Gaya Hijab : Farah Dinana
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Syed Faizal Syed Noh
  • Busana : Milik Penata Gaya
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam

 

 

 

 

Similar Articles

Dunia Digital Fara Fauzana

By Helmi Anuar
Julai 8, 2019

Metamorfosis Liyana Jasmay

By Ili Farhana
Mei 12, 2019

Dunia Baru Shila Amzah

By Nor Syariza Tahir
Jun 3, 2019

Warna Kehidupan Wawa Zainal

By Helmi Anuar
Julai 1, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: