Persembahan Dinosaur ‘Hidup’ Di Walking With Dinosaurs – The Live Experience

Mei 14, 2019
By Nor Syariza Tahir

Bagi peminat spesis dinosaur, ada berita baik untuk anda kerana haiwan zaman prasejarah itu akan berkeliaran di hadapan anda tidak lama lagi!

Ini kerana siri televisyen popular BBC, Walking With Dinosaurs – The Live Experience akan dipersembahkan secara langsung di Malaysia pada bulan Ogos ini.

Ditonton oleh lebih 9 juta orang daripada 250 bandar di seluruh dunia, pertunjukan tersebut bakal menarik perhatian setiap lapisan umur yang pasti teruja menyaksikan 18 spesis dinosaur menakluki pentas Axiata Arena, Bukit Jalil.

Walking With Dinosaurs memulakan jelajah dunia di United Kingdom pada Julai 2018 dan menjelajahi seluruh Eropah sebelum menuju ke Asia dan memilih Malaysia untuk lokasi jelajah yang seterusnya.

Produksi bernilai 20 juta dolar itu menampilkan teknologi terkini, sekali gus menjadikannya sebagai pertunjukan dinosaur terbaik dan terbesar di dunia.

Walking With Dinosaurs – The Live Experience pada asalnya dihasilkan oleh Gerry Ryan, Malcolm Cooke dan Jill Bryant di Australia sebelum dibawa ke dunia realiti oleh Global Creatures.

Menariknya, produksi ini akan mempamerkan perubahan yang hebat terhadap dinosaur dari segi warna kulitnya dan juga terdapat beberapa spesis berbulu berdasarkan penyelidikan saintifik yang terkini.

Pertunjukan selama satu jam 40 minit itu menggambarkan evolusi dinosaur yang seakan-akan hidup di alam realiti.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan babak interaksi antara dinosaur, bagaimana dinosaur karnivor berjalan menggunakan dua kaki dan bagaimana herbivor menewaskan pemangsa yang lebih ganas.

Sembilan daripada 18 spesis dinosaur tersebut mewakili pemerintahan dinosaur sejak 200 juta tahun dahulu.

Antara spesis yang akan diketengahkan termasuk Tyrannosaurus Rex, Plateosaurus, Liliensternus dari zaman Triassic, Stegosaurus dan Allosaurus dari zaman Jurassic serta Torosaurus dan Utahraptor dari zaman Kretaseus.

Dinosaur terbesar adalah Brachiosaurus yang berketinggian 11 meter dan 17 meter dari hidung hingga ekor.

Pembuatan dinosaur bersaiz sebenar itu mengambil masa selama setahun dan memerlukan tenaga kerja seramai 50 orang termasuk jurutera, pembuat fabrikasi, pembuat kulit, artis, pelukis dan pakar animatronik.

Selain itu, sejarah dunia juga akan dipaparkan dengan babak pemisahan benua-benua bumi dan peralihan dari padang pasir yang gersang pada zaman Triassic ke padang rumput yang menghijau pada zaman Jurassic.

Turut akan diketengahkan adalah pembentukan lautan, letusan gunung berapi dan kebakaran hutan yang menjadi punca kepupusan dinosaur.

Walking With Dinosaurs – The Live Experience in Kuala Lumpur 2019 akan berlangsung selama tiga hari berturut-turut iaitu pada 23 hingga 25 Ogos 2019.

Tiket boleh didapati di laman web myticket.asia, yang akan dijual bermula 20 Mei 2019 pada pukul 10 pagi.

Pembeli terawal akan menikmati diskaun 10% untuk pembelian tiket yang dibuat antara 20 Mei hingga 3 Jun 2019.

Harga tiket adalah RM398 bagi Zon A, RM298 untuk Zon B, RM248 bagi Zon C, RM198 bagi Zon D dan RM148 bagi Zon E.

Foto: UnUsUal Entertainment & MacpiePro

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan babak interaksi antara dinosaur, bagaimana dinosaur karnivor berjalan menggunakan dua kaki dan bagaimana herbivor menewaskan pemangsa yang lebih ganas.

Similar Articles

Konsert Animasi Didi & Friends Ogos Hadapan

By Rahayu Mat Nah
April 29, 2019

Pokemon Detective Pikachu Buat Hiburan Seisi Keluarga

By Shah Shamshiri
Mei 13, 2019