Percutian Hebat di Amari Hua Hin

April 10, 2019
By Rahayu Mat Nah

Hua Hin, destinasi percutian kegemaran kerabat Diraja Thailand yang semakin popular di kalangan rakyat Malaysia. Keindahan pantai dan pemandangan matahari terbitnya menjadi bualan mereka yang pernah menjejakkan kaki ke sini.

Mencari hotel penginapan bukanlah satu isu besar memandangkan Hua Hin menawarkan pelbagai jenis hotel yang boleh disesuaikan mengikut bajet. Jika ingin menginap di hotel bertaraf 4 atau 5 bintang, apa kata anda pilih Amari Hua Hin.

Bertaraf 4.5 bintang, hotel ini menjanjikan keselesaan dan perkhidmatan eksklusif untuk setiap tetamu. Menampilkan seni bina kontemporari, Amari Hua Hin menawarkan enam jenis penginapan yang lengkap dengan kemudahan kelas pertama serta hiasan dalaman bergaya.

Pengalaman menyeronokkan bermula sebaik sahaja kaki melangkah masuk lobi hotel. Petugas hotel akan menyambut kedatangan anda dengan senyuman mesra. Selesai urusan daftar masuk yang mengambil masa kurang dari 10 minit, petugas hotel akan mengiringi anda sehingga ke bilik.

Melangkah masuk ke bilik, hati pasti lebih berbunga-bunga. Penampilan bilik yang serba moden dan mewah seolah-olah menghalang tetamu daripada meninggalkan bilik. Tilam dan bantal yang empuk menjanjikan tidur lena setelah seharian menghabiskan masa dengan pelbagai aktiviti di siang hari.

Setiap jenis bilik mempunyai balkoni persendirian untuk memberi peluang kepada tetamu bersantai sambil menikmati secawan kopi atau teh. Jika mahu menikmati keindahan matahari terbit, pilih bilik yang punya pemandangan laut seperti Deluxe Ocean Facing View, Family Suite atau One Bedroom Suite.

Nikmati hidangan makanan laut segar

Satu fakta yang perlu anda tahu, hotel Amari Hua Hin tidak menyediakan lokasi selera berstatus halal. Bagaimanapun, anda boleh singgah ke Shoreline Beach Club untuk menikmati hidangan makanan segar dan menyelerakan. Berlatarkan pemandangan laut, di sini anda boleh bermalas-malasan di tepian kolam renang sambil menikmati hidangan berkonsep Mediterranean-Thailand.

Antara menu yang boleh dicuba ialah Grilled Prawn and Pomelo Salad dan Seafood Grill. Kedua-dua menu yang berharga THB390 dan THB1450 ini menjanjikan letusan rasa yang cukup menyelerakan.

Jika masih mahu mencari restoran halal, sila panjangkan langkah ke stesen keretapi Hua Hin yang terletak di pusat bandar. Berhadapan pintu keluar stesen ini terdapat beberapa restoran halal yang menyediakan masakan Thailand. Harga makanan juga lebih murah.

Sebelum percutian berakhir, ambil kesempatan memanjakan diri di Breeze Spa. Terdapat rawatan ‘Therapy Mood’ yang boleh dicuba. Therapy Mood cukup istimewa kerana ia merupakan rawatan urutan badan yang terdiri daripada pilihan Dreamy, Serene, Rejuvenated, Invigorated atau Energized.

Jadi, bergantung kepada keperluan tubuh badan anda. Jika tidak pasti jenis urutan yang diingini, petugas spa sedia membantu.

Selain urutan badan, terdapat juga rawatan rambut, kuku dan kecantikan untuk lelaki dan wanita di Breeze Salon yang terletak bersebelahan. Percayalah, kunjungan anda ke Breeze Spa akan mengukir senyuman di wajah.

Untuk maklumat lanjut atau tempahan bilik, sila layari  https://www.amari.com/huahin/