Pengorbanan Heliza Helmi

Ogos 12, 2019
By Helmi Anuar

Lama juga kami menunggu untuk mendapatkan wanita hebat ini sebagai Wajah Salam. Akhirnya detik bertuah itu tiba jua. Heliza Helmi adalah pilihan paling tepat untuk kami ketengahkan sebagai Wajah Salam edisi Aidiladha.

Sungguh luar biasa personaliti bintang yang lahir dari program realiti Akademi Fantasia musim kelima ini. Sewaktu penggambaran ini dilakukan, Heliza sedang berpuasa. Tetapi energinya begitu luar biasa. Petah berbicara mengatur kata, Heliza begitu bersemangat bercerita tentang pengalamannya sebagai aktivis yang sering berkunjung ke negara bergolak seperti Syria dan Palestin.

Bermula sebagai seorang penyanyi dari program realiti paling popular di Malaysia, perhatian mula diberikan kepadanya sejak dari minggu pertama lagi. Peserta wanita berhijab yang mempunyai raut wajah manis, bermata bundar serta bersuara lunak, lantas Heliza menjadi perhatian ramai sehingga berjaya menjadi finalis.

Wajahnya yang jelita serta berimej muslimah menjadikan Heliza antara selebriti yang sering dipilih untuk menjadikan duta produk jenama terkenal, antaranya Garnier, Nivea, Sunsilk dan Silkywhite. Namun di sebalik kecantikannya, siapa sangka beliau mempunyai hati dan semangat yang begitu kuat untuk mengerah tenaganya dalam misi kemanusiaan di negara-negara yang bergolak mahupun ditimpa bencana alam.

Mata bundarnya telah menjadi saksi kehancuran akibat dari kekejaman manusia sendiri mahupun kesan bencana alam. Maut juga pernah dirasakan begitu hampir dengan dirinya, malah pernah bersiap sedia masuk ke dalam liang lahad andai berlaku sesuatu yang tidak diingini pada ketika itu.

“Setiap kali menyertai misi yang bahaya, saya pasti berniat andai sesuatu berlaku kepada saya, biarlah saya ‘pergi’ dalam keadaan syahid, namun ada pihak yang salah erti tentang niat mati syahid itu. Tetapi dalam kondisi yang seperti itu, sudah tentu kita mengharapkan pengakhiran hidup kita ke jalan yang diredhai Allah S.W.T.

Bila kita niat seperti itu, Allah seperti mahu menguji betulkah apa yang kita buat ini adalah kerana Dia. Tiba-tiba walkie-talkie kami berbunyi meminta kumpulan dari Malaysia untuk lari menyelamatkan diri. Kata mereka, sebentar lagi akan ada peluru berpandu akan menyasarkan objek yang sedang bergerak, dan objek yang sedang bergerak itu adalah kami. Waktu itu betul-betul terasa seperti di dalam sebuah filem aksi. Kami terus berlari ke dalam van dan van terpaksa bergerak  secara zig-zag untuk mengelak dari terkena serangan peluru berpandu dan juga tentera di darat yang akan menembak objek bergerak menggunakan ‘sniper’.

Tiba-tiba pemandu berhenti dan meletakkan van di tepi pokok katanya andai kami teruskan perjalanan mungkin kami tidak akan selamat. Jadi dia minta kami untuk bersembunyi di satu tempat. Kawasan itu memang lapang dan tiba-tiba kami terjumpa satu liang lahad. Liang lahad itu sangat besar dan boleh memuatkan dalam empat ke lima orang. Bila berada di dalam liang lahad itu saya dapat rasakan habislah riwayat kami pada ketika itu.

Selepas itu kami cuba untuk keluar dari kawasan itu menaiki van dan bergerak secara zig-zag lagi tetapi kemudian kami diberhentikan pula oleh seorang lelaki yang bersenjata yang hanya boleh nampak matanya sahaja. Ketakutan berada di dalam liang lahad masih belum reda, tiba-tiba datang pula ujian yang lain. Lelaki itu meminta supaya kami keluar dari kawasan itu kerana keadaan yang tidak selamat. Beberapa minit selepas kami keluar dari kawasan itu, tempat yang kami baru lalu itu sudah dibedil dengan bom.”

Kata Heliza itu adalah pengalaman yang paling tidak boleh dilupakannya sepanjang berada di kawasan bergolak tetapi perkara itu tidak sedikit pun mematahkan semangatnya bersama teman-teman lain malah mereka menjadi semakin bersemangat untuk menjalankan misi sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Tinggalkan Dunia Glamor Demi Mencari Redha Allah

Di saat dirinya diulit dengan gemerlapan dunia glamor serta tawaran yang lumayan sebagai penyanyi, Heliza tiba-tiba dilihat bergiat aktif sebagai aktivis sukarelawan dalam misi bantuan kemanusia yang berlawanan dengan dunia glamor. Justeru kami bertanya apakah yang diinginkannya dengan mengubah lanskap kerjayanya yang boleh menjamin dirinya hidup selesa. Kata Heliza, dia mahu berbakti kepada insan lain di dunia.

“Saya bahagia melihat orang lain bahagia kerana hadis Nabi kata jika kita mudahkan urusan orang, Allah akan mudahkan urusan kita di dunia dan di akhirat. Hadis yang kedua Nabi kata sebaik-baik manusia adalah orang yang memberi manfaat. Terfikir pada diri kenapa Allah letak aku dalam industri seni, takkan sebab menyanyi sahaja selepas itu dapat duit. Itu sahajakah tugas aku dalam industri seni? Kenapa daripada menjadi seorang cikgu tiba-tiba masuk dalam industri seni? Apa manfaat yang aku boleh sumbangkan? Mendengar cerita orang dan melalui sendiri pengalaman itu sangat berbeza. Saya berkongsi pengalaman saya dengan orang dengan harapan andai satu hari nanti Allah mengambil nyawa saya, ada benda yang saya tinggalkan ataupun legasi yang mudah-mudahan akan membantu saya di alam kubur nanti. Dan satu lagi Nabi kata tidak sempurna iman seseorang itu jika kita tidak kasih kepada saudara kita seperti mana kita kasih kepada diri kita sendiri.

Bila kita bercakap tentang kesempurnaan iman, kita solat itu untuk diri kita, kita baca Al-Quran itu untuk diri kita, tetapi kalau kita bersedekah, itu adalah untuk orang, perjuangan adalah untuk orang. Jadi ia perlu seimbang bukan hanya melakukan sesuatu untuk diri kita. Untuk orang lain macam mana pula? Saya takut sangat bila di akhirat nanti Allah tanya apa kamu buat untuk saudara kamu? Saya tak ada jawapan dan tersekat di situ dah tak boleh nak patah balik ke dunia. Memang saya tidak nafikan, pendapatan saya sewaktu menjadi penyanyi dahulu bayarannya lebih lumayan berbanding dengan sekarang saya cuma berceramah di masjid. Tetapi bila kita faham apa yang ustaz cakap tentang keberkatan, walaupun benda itu nampak sedikit, tetapi bila berkat dia jadi cukup. Dengan apa yang kita dapat mudah-mudah ia membawa kita pergi ke tempat yang baik-baik.

Tidak dinafikan memang penat apa yang saya lakukan sekarang. Tidak cukup nafas kadang-kadang nak layan. Tetapi saya pernah jumpa orang di Gaza, waktu siang mereka jadi cikgu, pelajar, jurutera dan doktor, waktu malam mereka tukar pakaian mereka jadi tentera. Saya tanya adakah mereka tidak penat melakukan semua itu tetapi mereka kata dunia ini memang tempat berpenat, akhirat nanti adalah tempat berehat. Jadi itu menguatkan lagi semangat saya.”

Misi Bantuan Bencana Alam Di Palu Sungguh Misteri

Selain sering menyalurkan bantuan untuk negara yang dilanda krisis peperangan, Heliza turut menjalankan misi bantuan ke kawasan yang terkena musibah bencana alam seperi di Palu, Indonesia. Kata Heliza pengalaman di sini sangat berbeza sehingga sukar untuk dia menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku di sana.

“Kami antara yang terawal sampai untuk memberi bantuan ketika bencana di Palu. Jadi kami banyak dapat cerita dan informasi dari orang kampung yang masih baru dilanda bencana. Sewaktu sampai di sana kami lihat jalan terbelah. Ada tiga bencana yang berlaku di sana iaitu gempa bumi, tsunami dan likuifaksi. Likuifaksi kita jarang dengar berlaku.

Cerita orang di sana sewaktu likuifaksi itu berlaku, tanah naik setinggi enam meter, seluruh kampung ternaik ke atas. Kemudian seluruh kampung dikisar termasuklah manusia sehingga tenggelam di dalam tanah. Di dalam tanah itu ada lebih kurang 2000 mayat. Akhirnya mereka terus jadikan tempat itu sebagai tempat perkuburan kerana sudah tidak boleh korek lagi. Waktu itu saya rasa sangat pelik dan tak terjangkau dek akal. Saya sudah pergi ke tempat yang bergolak seperti Syria, Gaza yang pernah dibom dan saya boleh jelaskan keadaan di sana. Tetapi apa yang berlaku di Palu, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata sampai terasa seperti ‘blur’. Bila orang tanya, kami macam senyap tak dapat nak bercerita kerana kami seolah-olah tidak boleh ‘digest’ apa yang telah berlaku di sana.

Orang kampung di sana juga sempat berkongsi cerita tentang si ibu yang cuba menyelamatkan anaknnya yang terjatuh ke dalam bukaan tanah sewaktu gempa bumi berlaku, sewaktu cuba untuk menyelamatkan anaknya tiba-tiba tanah itu tertutup dan tidak terbuka lagi. Saya rasa lain macam sangat waktu itu. Meremang bila dengar cerita dari orang kampung di sana menceritakan setiap peristiwa yang berlaku.”

Antara cabaran hebat yang terpaksa dilalui oleh Heliza dan rakan-rakannya yang lain adalah dari segi kebersihan diri kerana kekurangan sumber air bersih. Malah mereka terpaksa tidak mandi selama 10 hari berada di sana.

“Banyak tempat yang rosak akibat bencana. Malah kami terpaksa menghidu bau yang sangat busuk di satu tempat kerana di bawahnya tertimbus 2000 mayat. Benda-benda macam inilah yang membuatkan kita perlu jadi kental dari segi mental dan fizikal.”

Mahu Melihat Malaysia Menjadi Negara Sukarelawan

Melihatkan apa yang diusahakannya bersama teman-teman aktivis yang lain berjaya  sehingga pernah menjadi tular, Heliza punya harapan yang sangat tinggi untuk melihat lebih banyak bantuan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia dalam menyempurnakan misi kemanusiaan di seluruh dunia. Malah beliau pernah menyuarakan hasrat kepada Menteri Belia Dan Sukan iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk melihat Malaysia menjadi negara sukarelewan satu hari nanti.

“Saya pernah suarakan perkara ini kepada YB Syed Saddiq, harapan saya untuk melihat Malaysia menjadi negara sukarelawan. Sangat seronok andai Malaysia dapat menjadi negara contoh yang sering menolong mereka yang memerlukan. Memang selama ini kita sering membantu, tetapi saya ingin melihat Malaysia menjadi ikon sebagai negara yang sering menghulurkan bantuan sukarelawan. Saya beritahu YB lagi, seronok juga kalau sewaktu kita anjurkan konsert, hiburan dan sebagainya, di tengah-tengah program itu ada satu slot yang memberikan sedikit waktu untuk bercakap tentang misi kemanusiaan dan kutipan dana. Kalau kita lakukan perkara ini di masjid saja, hanya golongan yang tertentu sahaja yang akan sedar tentang perkara ini. Orang yang tengok konsert, mungkin mereka tidak tahu akan misi kemanusiaan ini. Kerana orang sebegini juga mereka mungkin ingin menyalurkan bantuan tetapi tidak tahu bagaimana. Saya yakin jika perkara ini dapat dilaksanakan, pasti dana bantuan akan dapat dikumpul dengan lebih cepat. 

Tambah Heliza lagi, disebabkan sering terlibat dengan misi kemanusiaan, beliau sering dijemput oleh menteri-menteri untuk memberi idea kepada negara.

Kadang-kadang terasa kerdil juga apabila duduk di kalangan mereka yang berjawatan penting di dalam negara termasuklah para menteri dan barisan mufti. Tetapi saya percaya ada sebab kenapa Allah letakkan saya di situ. Cuma perkara seperti ini saya jarang war-warkan.

Melihatkan kesibukan Heliza berjuang dalam meneruskan misi kemanusiaan di seluruh pelusuk dunia, kami sempat bertanya kepadanya tentang jodoh. Namun jawab Heliza ringkas, katanya jodoh itu adalah rahsia Allah.

“Saya percaya jika jodoh saya ada di dunia, pasti Allah akan bagi, jika tiada di dunia, mudah-mudahan Allah bagi sewaktu di syurga, Inshaallah.”

Kata Heliza, dia juga tidak pernah mengejar atau mencari cinta dari lelaki kerana fokusnya kini hanyalah untuk misinya dalam terus menyalurkan bantuan untuk mereka yang memerlukan.

Itulah pengorbanan yang dilakukan oleh Heliza. Demi berbakti kepada manusia sejagat dan berjuang ke jalan yang diredhai Allah, beliau terpaksa melupakan sebentar hasrat dalam mencari kebahagiaan duniawi untuk dirinya. Heliza juga terpaksa menguatkan hati berjauhan dengan ibu dan bapanya setiap kali ke luar negara demi mencapai misinya.

Semoga segala pengorbanan dan perjuangan Heliza akan diberi balasan yang setimpal dan ganjaran yang hebat oleh Allah S.W.T.

 

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Heliza Helmi
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu ) : Helmi Anuar
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Helmi Anuar
  • Konsep & Arahan Seni : Helmi Anuar
  • Jurusolek : Saidatulnisa Aminuddin
  • Busana : Eja Shahril, Wanpa, Telekung Siti Khatijah
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam

 

 

 

 

Bila kita bercakap tentang kesempurnaan iman, kita solat itu untuk diri kita, kita baca Al-Quran itu untuk diri kita, tetapi kalau kita bersedekah, itu adalah untuk orang, perjuangan adalah untuk orang. Jadi ia perlu seimbang, bukan hanya melakukan sesuatu untuk diri kita saja. Untuk orang lain bagaimana pula?

Similar Articles

Iktikad Hati Lisa Surihani

By Nor Syariza Tahir
Julai 29, 2019

‘The New’ Sarah Hildebrand

By Helmi Anuar
Ogos 5, 2019

Alif Satar – Lelaki Idaman Malaya

By Helmi Anuar
Jun 16, 2019

Dunia Baru Shila Amzah

By Nor Syariza Tahir
Jun 3, 2019

Metamorfosis Liyana Jasmay

By Ili Farhana
Mei 12, 2019

Noryn Aziz Kembali Menyinar

By Helmi Anuar
Jun 9, 2019

Pesona Amy Mastura

By Helmi Anuar
Julai 15, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: