Penginapan Di Hotel Serba Baharu, Oriental Suites Airport Osaka Rinku

September 11, 2019
By Nor Syariza Tahir

Jika anda sedang merancang percutian ke Jepun khususnya Osaka pada tahun depan, apa kata anda cuba menginap di hotel serba baharu, Hotel Oriental Suites Airport Osaka Rinku yang akan mula beroperasi pada Disember tahun ini.

Dimiliki oleh sebuah syarikat pengurusan hotel, Hotel Management Japan Co. Ltd., hotel berkapasiti 258 bilik itu telah pun menerima tempahan bermula 19 Julai yang lepas.

Terletak di Rinku Gate Tower Building, di tingkat 1, 2, 15, 16, 19-24 dan 26, lokasi tersebut mudah diakses menggunakan kereta api (5 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai) melalui laluan Kereta Api Elektrik JR atau Kereta Api Elektrik Nankai.

Ia terletak berhampiran dengan Stesen Bandar Rinku, yang menempatkan pusat beli-belah Rinku Premium Outlets serta berdekatan dengan kawasan-kawasan terkenal seperti Rinku Park dan Marble Beach.

Mengetengahkan konsep ‘Istirahat diadunkan dengan hospitaliti Jepun’, konsep tersebut dirangkumkan dalam bilik yang luas dan elemen serta keindahan reka bentuk gaya Jepun.

Kesemua itu bertujuan untuk memberikan keseronokan perjalanan dengan citarasa Jepun dalam menjadikan Hotel Oriental Suites Airport Osaka Rinku sebagai sebuah hotel yang menekankan penginapan pelancongan.

 

Ciri-ciri kemudahan-kemudahan Hotel Oriental Suites Airport Osaka Rinku

1. Bilik Penginapan

Daripada sejumlah 258 bilik, kira-kira 200 bilik bersaiz 30 meter persegi atau lebih besar, sekali gus memberikan suasana yang luas.

Daripada 200 bilik ini pula, 158 unit mempunyai bilik tidur dan ruang tamu berasingan – memberikan suasana seperti berada di rumah dengan saiz katil lebih luas daripada 1,200 milimeter.

Manakala, tujuh unit bilik pula menampilkan rasa seperti kediaman dan sesuai untuk penginapan dalam jangka sederhana dan panjang dengan ciri-ciri yang menyerupai pangsapuri berperabot. Ia dilengkapi dengan ruang tamu, dapur, ruang makan dan bilik tidur.

Selain itu, hotel ini menampilkan penggunaan skema warna tradisional Jepun untuk ruang dalaman yang kontemporari dan bergaya, bagi memberikan reka bentuk yang lembut dan tenang, bersesuaian dengan hospitaliti Jepun dan sentuhan keindahan tradisional.

Bilik tamu hotel terletak di tingkat 15, 16, 19-24 dan 26 – membolehkan semua tetamu menikmati pemandangan siang dan malam dengan panorama dari aras tinggi.

 

2. Lobi hotel

Lobi depan hotel direka dengan motif yang menumpukan pada kerja kekisi gaya kuniko tradisional, yang memberikan reka bentuk yang lembut dan tenang, sejajar dengan hospitaliti Jepun.

3. Tarikan utama: Pemandangan penuh Osaka Bay

Kesemua bilik hotel terletak di tingkat tinggi bagi membolehkan tetamu untuk melihat pemandangan yang indah, pada waktu siang dan malam.

Di arah selatan, tetamu dapat menatap pemandangan malam yang berkerlipan dengan tarikan seperti Ferris wheel “Rinku no Hoshi”, manakala di sebelah barat, tetamu dapat melihat Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai.

 

4. Pengalaman ‘estetika keindahan’

Lobi tingkat 1 dan dewan lif tingkat 1 dan 2 menampilkan paparan karya seni oleh Yoshio Okada, yang terkenal sebagai artis cetakan blok kayu ukiyo-e kontemporari serta pelukis gaya sendiri yang telah mencipta pelbagai karya di Jepun.

Misalnya, tiga karya yang dipaparkan telah dicipta khas untuk Oriental Suites Airport Osaka Rinku iaitu: “Kabuki Picture,” “Genji Monogatari,” dan “Kaguyahime.”

Menerusi karya seni tersebut, pengunjung dapat mengagumi dan menghayati nilai ‘estetika keindahan’ unik Jepun (dikenali dalam bahasa Jepun sebagai shinobu no bigaku), yang bertujuan untuk menawan imaginasi, mengimbau detik-detik manis, membangkitkan kenangan yang berharga serta mewujudkan kepuasan dan kekaguman.

Profil Oriental Suites Airport Osaka Rinku

Alamat: 1 Rinkuoraikita, Bandar Raya Izumisano, Wilayah Osaka 598-8511
Laman web: www.oriental-s-airport.com/en/
Mula Beroperasi: Disember 2019
Lokasi: Terletak di Rinku Gate Tower Building, lobi (tingkat 1), kafe dan bar (tingkat 2), bilik (tingkat 15, 16, 19‒24 dan 26)

Foto: Hotel Management Japan Co., Ltd

Terletak di Rinku Gate Tower Building, di tingkat 1, 2, 15, 16, 19-24 dan 26, lokasi tersebut mudah diakses menggunakan kereta api (5 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai) melalui laluan Kereta Api Elektrik JR atau Kereta Api Elektrik Nankai.

Similar Articles

Menginap Di Hotel Galeri Seni Di Ginza

By Nor Syariza Tahir
Ogos 8, 2019

Makan Ramen dan Lobster Roll di Tokyo, Jepun

By Rahayu Mat Nah
Ogos 30, 2019