Pelihara Keharmonian Hidup Bermasyarakat

Ogos 19, 2019
By Nor Syariza Tahir

Jika kita baca di media-media sosial pada hari ini, terdapat banyak isu berkaitan perkauman, keagamaan dan keharmonian hidup bermasyarakat dipolemikkan oleh orang ramai.

Satu persatu isu setempat, jenayah, kemalangan jalan raya atau bencana alam sekali pun dijadikan ‘modal’ oleh pihak-pihak tertentu untuk menghidupkan api kebencian antara sesama kaum di negara ini.

Natijahnya, keharmonian hidup bermasyarakat yang selama ini dipelihara dengan baik oleh kita dilihat semakin goyah dan membimbangkan.

Sedangkan kita kini berada dalam bulan kemerdekaan yang sepatutnya dihiasi dengan aktiviti yang mampu menguatkan semangat patriotisme dalam diri setiap rakyat Malaysia, dan bukannya dicemari dengan pelbagai anasir yang berniat jahat.

Sebagai sebuah negara yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum, keharmonian hidup bermasyarakat dan perasaan tolak ansur antara semua kaum amat penting bagi menjamin keamanan negara.

Merujuk kepada statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (2018), jumlah keseluruhan penduduk di Malaysia adalah seramai 32 juta orang.

Jumlah tersebut merangkumi kesemua bangsa yang berada di Malaysia termasuk tiga bangsa utama iaitu Melayu, India dan Cina.

Sama ada seorang penganut agama Islam atau mana-mana agama lain, kita turut diajar untuk saling menghormati orang lain yang berbeza agama dan bangsa.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Dengan kepelbagaian bangsa dan agama di muka bumi ini, kita hendaklah saling beramah mesra, hormat menghormati dan hidup dalam keadaan yang harmoni bagi mencapai kehidupan yang sejahtera.

 

Umat Islam Perlu Menunjukkan Contoh Teladan Yang Baik

Di Malaysia, agama Islam merupakan agama rasmi persekutuan. Namun, bagi yang bukan beragama Islam, mereka bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing.

Hal ini jelas telah dinyatakan dalam Undang-Undang Malaysia (rujuk Perlembagaan Persekutuan, fasal 11).

Dalam ajaran Islam sekalipun, tiada paksaaan untuk mana-mana penganut agama lain menganut agama mereka.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Disebabkan itu, umat Islam perlu menunjukkan contoh teladan yang baik kepada orang yang berlainan agama.

Meskipun tiada paksaan dalam beragama, siapa sangka dengan contoh teladan baik yang kita tunjukkan, ia dapat membuka hati orang bukan Islam untuk mendekatkan diri dengan Islam.

Jika kita menunjukkan contoh bahawa Islam itu sebuah agama yang indah, yang mementingkan sifat-sifat mahmudah serta tidak suka kepada keganasan dan kebencian, pasti agama Islam akan dipandang tinggi oleh agama lain.

Namun, malangnya apa yang sering berlaku pada hari ini adalah orang Islam sendiri menunjukkan contoh akhlak yang tidak baik, bergaduh sesama sendiri, mencaci agama lain dengan perkataan-perkataan yang kesat serta menjadi ekstremis dalam setiap perkara sehingga mengakibatkan perbalahan.

Allah melarang perkara-perkara sedemikian menerusi firmanNya dalam surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Jadi, di sini kita dapat melihat disebabkan itulah terjadinya perkara-perkara seperti saling mencaci dan menghina agama masing-masing.

Apabila perkara sebegitu dimulakan oleh sesuatu pihak, pasti pihak lain akan melakukan perkara yang sama kerana ingin mempertahankan agama masing-masing.

Kesannya, sifat saling menghormati sesama kaum luntur, keharmonian hidup bermasyarakat semakin hilang dan keamanan negara akan tergugat.

 

Semarakkan Semangat Patriotisme

Justeru, bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini, marilah kita sama-sama renung-renungkan mengenai isu yang semakin menjadi barah ini.

Kaji semula sejarah kemerdekaan Tanah Melayu dan penubuhan Malaysia serta konflik-konflik perkauman berdarah yang pernah berlaku seperti tragedi 13 Mei agar kita dapat menginsafi setiap keterlanjuran kata yang mungkin kita pernah tuturkan kepada kaum lain.

Janganlah kita hidupkan sumbu-sumbu kebencian dan semarakkan api perkauman kerana Malaysia adalah tanah tumpahnya darah kita.

Foto: Hamid Yassin & Lily Heise (flickr), Horst Knemund, Imagehit Asia & Mohd Hafiez Mohd Razali (123rf)

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.” (Surah Al-An’am, ayat 108)

Similar Articles