Panggung Rakyat Pentaskan Warisan Kebudayaan Dan Kesenian Malaysia

Ogos 16, 2019
By Nor Syariza Tahir

Malaysia sememangnya sebuah negara yang kaya dengan pelbagai warisan kebudayaan.

Dengan penduduknya yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan asimilasi budaya, kesan daripada sejarah lampau, ia telah mewujudkan banyak warisan kebudayaan dan kesenian tradisional yang unik serta mampu diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Justeru, sebagai usaha untuk memelihara keindahan warisan turun-temurun itu agar ia tidak lekang dek hujan dan lapuk dek zaman, Agensi Pembangunan Ekonomi Kebudayaan (Cendana) bersama-sama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan Panggung Rakyat, sebuah inisiatif seni tradisional dan kebudayaan.

Diadakan pada minggu ketiga setiap bulan hingga penghujung tahun 2019 di Jalan Raja, Panggung Rakyat memaparkan pelbagai persembahan yang menonjolkan kekayaan warisan tradisional negara Malaysia.

Kempen tersebut bermatlamat untuk mendidik, memperkasa dan memelihara keunikan warisan kebudayaan dan kesenian negara ini menerusi beberapa siri persembahan tradisional serta bengkel interaktif.

Menerusinya, para pengunjung berpeluang untuk mengalami sendiri setiap sesi persembahan kesenian dan mempelajari mengenai keindahan warisan kebudayaan negara Malaysia yang diperturunkan dari generasi ke generasi.

Antara seni kebudayaan yang diketengahkan adalah persembahan Makyong – sebuah pementasan teater kuno yang dicipta oleh masyarakat Melayu di Barat Laut Malaysia yang memaparkan persembahan drama tarian.

Makyong merupakan salah satu daripada warisan kebudayaan turun temurun yang amat bernilai sehinggakan ia diiktiraf oleh UNESCO sebagai Representative in the List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity”.

Persembahan Makyong di Panggung Rakyat akan diarahkan oleh Zamzuriah Zahari, seorang pelakon Makyong dan merupakan pensyarah di Fakulti Tarian, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebudayaan (Aswara).

Selain itu, Cendana juga akan bekerjasama dengan organisasi-organisasi kesenian tempatan dan kebudayaan seperti PUSAKA dan Nusantara Performing Arts Research Center (NusPARC) untuk membawakan persembahan kesenian asli kepada pengunjung.

Setiap persembahan akan berlangsung pada pukul 9 malam hingga 11 malam.

Berikut merupakan persembahan-persembahan yang dijadualkan untuk pengunjung:

  • 17 Ogos 2019: Makyong
  • 21 September 2019: Tarian Portugis
  • 19 Oktober 2019: Tarian Ronggeng
  • 16 November 2019: Kuda Kepang
  • 21 Disember 2019: Tarian Bhangra

 

Foto: Cendana

 

Diadakan pada minggu ketiga setiap bulan hingga penghujung tahun 2019 di Jalan Raja, Panggung Rakyat memaparkan pelbagai persembahan yang menonjolkan kekayaan warisan tradisional negara Malaysia.

Similar Articles