Opie Zami Kecewa Dengan Rekomendasi Finas

Ogos 19, 2019
By Rahayu Mat Nah

Opie Zami meluahkan kekecewaan terhadap hasil kerja yang dilakukan oleh pasukan imej janaan komputer atau CGI (computer-generated imagery) yang dicadangkan oleh pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk filem arahannya, Kron.

Bagi Opie hasil yang ditunjukkan oleh pasukan terbabit ternyata jauh daripada apa yang dibayangkan. Bagaimanapun, Opie bernasib baik kerana kenalannya daripada LiL Studio sudi memperbaiki ‘kerosakan’ yang ada.

“Pasukan CGI yang pertama untuk filem ini tidak dapat mencapai piawaian CGI yang saya mahukan. Saya benar-benar kecewa. Apatah lagi pasukan itu adalah pihak yang dicadangkan oleh pihak FINAS.

Perkara yang terjadi membuatkan saya terfikir yang Malaysia ini tidak boleh membuat CGI. Saya kata,  cukuplah kali ini sahaja saya buat filem berbentuk fiksyen. Namun, saya bernasib baik apabila Fazli daripada LiL Studios sudi buat balik CGI untuk filem ini.

Dalam keadaan kecewa, Fazli bagi kata-kata semangat kepada saya. Dia kata bang, tak apa kita usaha sebaik mungkin dan saya berpuas hati dengan apa yang telah LiL Studio lakukan. Saya tak dapat buat bayaran yang sepatutnya kerana sudah berhabis untuk pasukan GCI pertama sebelum ini,” ujar Opie ketika ditemui pada majlis pra-tonton filem Kron baru-baru ini.

Ditanya adakah dia benar-benar berpuas hati dengan hasil akhir filem yang turut dibintanginya itu, Opie memberitahu dengan tahap kemampuan kewangan yang terhad, dia berpuas hati dengan Kron.

“Dengan apa yang telah saya lalui, saya berpuas hati dengan apa yang telah terhasil. Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah filem fiksyen dan memang ada perkara yang harus diperbaiki. InsyaAllah pada masa akan datang, saya akan buat lebih baik lagi.

Saya pun telah lupakan kekecewaan sebelum ini dan kini kembali bersemangat untuk buat cerita fiksyen. Sebabnya saya tahu, ada pihak yang boleh berikan hasil kerja yang baik. Dalam masa yang sama, saya harap mereka yang menerajui Finas ketika ini boleh melakukan sesuatu demi kelangsungan industri filem tempatan,” luah Opie lagi.

Filem lakonan Aman Graseka sebagai Daud, pengkaji sejarah yang menghabiskan masanya menjejaki laluan Raja Siam pada zaman dulu. Motif utamanya adalah mencari jawapan kepada kehilangan isterinya dalam sebuah ekspedisi. Bagaimanapun usahanya itu telah diganggu oleh makhluk yang tidak dikenali.

Lain-lain pelakon yang membintangi filem ini ialah Zahiril Adzim, Dayana Roza Mamak Puteh, Bohari Ibrahim, Ruminah Sidek, Johara Ayob dan Ellie Suriaty.

Kron akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 22 Ogos ini.

Kredit foto : Opyglobal Pictures

Similar Articles