Nasi Memang Tak Salah, Tapi Ada 5 Makanan Pengganti Nasi

April 10, 2019
By Rahayu Mat Nah

Setiap kali berdiet, ramai yang seboleh-bolehnya tidak mahu menjamah nasi. Sebabnya ramai yang percaya, nasi menggemukkan. Biarpun ramai pakar pemakanan mengatakan nasi tak salah, namun ada betulnya juga kerana nasi memiliki Indeks Glisemik yang sangat tinggi.

Apabila Indeks Glisemik  sangat tinggi, ini bermakna nasi lebih cepat diserap tubuh menjadi gula dalam darah. Oleh itu, kita tidak digalakkan makan nasi putih secara berlebihan kerana ia boleh meningkatkan risiko obesiti dan juga diabetis.

Sebab itulah juga, nasi putih tidak begitu disarankan untuk seseorang yang sedang berusaha menurunkan berat badan.

Jadi apakah pilihan makanan yang boleh menggantikan nasi?

1) Kentang

Kentang yang mengandung vitamin C, serat dan kalori (rendah) patut diambil ketika diet. Walaupun kentang memiliki Indeks Glikemik yang cukup tinggi, namun kentang lebih baik daripada nasi. Cara terbaik sama seperti menikmati ubi kayu iaitu dengan merebus. Boleh taburkan sedikit garam dan lada hitam ketika ingin dinikmati.

2) Ubi kayu

Ubi kayu merupakan salah satu menu pengganti nasi yang sangat baik. Jika berdiet, sebaiknya rebus sahaja ubi kayu, jangan digoreng. Cari ubi kayu yang kulit luarnya berwarna kemerah-merahan agar mudah empuk apabila dimasak. Ubi kayu juga mampu menurunkan kadar kolesterol jahat kerana kandungan seratnya yang cukup tinggi.

3) Pasta

Pasta juga bagus untuk menggantikan penggambilan nasi.  Ia boleh diambil pada waktu pagi, tengahari atau malam. Indeks Glisemik pasta sangat rendah dan sangat sesuai untuk semua tubuh badan.

4) Jagung

Selain popular dijadikan menu pencuci mulut, jagung sebenarnya sesuai untuk dijadikan menu diet. Tak perlu susah-susah. Rebus bersama sedikit garam atau bakar. Elakkan menyapu mentega atau marjerin kerana dua bahan ini tinggi lemak dan garam.

5)  Buah Sukun

Selalunya, buah Sukun dinikmati dengan menggorengnya dengan tepung atau dijadikan kerepek. Bagaimanapun, untuk diet buah ini hanya perlu direbus atau dikukus. Selain sesuai untuk menurunkan berat badan, kandungan flavonoid di dalamnya juga sangat baik untuk menjaga kesihatan buah pinggang dan jantung.