Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa Unik dan Tersendiri

September 13, 2019
By Rahayu Mat Nah

Bali, destinasi percutian pantai yang cukup popular di kalangan pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Biarpun sering dikaitkan dengan letusan gunung berapi, pulau dewata ini tidak pernah sunyi. Bali punya keistimewaan tersendiri. Baik dari segi keindahan alam semula jadinya, mahupun keunikan budayanya.

Selain memiliki pantai yang indah-indah, Bali sebenarnya punya kehijauan alam yang mempesona.

Jika mahu bersatu dengan kehijauan alam, pilihlah ke daerah yang terletak di Utara Bali. Di sana juga banyak hotel atau resort yang hebat-hebat untuk dijadikan lokasi persembunyi buat seketika.

Salah satu penginapan yang menjanjikan pengalaman mengagumkan ialah Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa yang terletak berhampiran desa Munduk.

Menawarkan vila-vila percutian eksklusif, resort yang dibina di dalam kawasan ladang kopi ini sangat mementingkan privasi kepada setiap tetamu.

Ada unit-unit yang turut dilengkapi kolam renang dan jakuzi persendirian bagi memberi peluang kepada tetamu untuk bermalas-malasan di kamar tanpa sebarang gangguan. Bahkan cuaca di sini juga dingin seperti di Cameron Highland.

Menyingkap latar belakang pembinaan Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa, ia sebenarnya diilhamkan oleh seorang warga Eropah, Irene yang jatuh cinta dengan keindahan alam semulajadi Bali selepas bercuti di pulau itu pada tahun 2007.

Dengan bantuan seorang rakan yang juga merupakan penduduk tempatan, Gede Uliadnyana (Pengurus Besar resort ketika ini) mereka bekerjasama merealisasikan impian.

Sebuah ladang kopi terbiar yang menyajikan pemandangan memukau diambil-alih setelah Irene mencagarkan rumahnya di Eropah.

Dengan sokongan pelbagai pihak, resort ini mula beroperasi pada tahun 2009 dan siap sepenuhnya pada Jun 2018.

Untuk menjamin privasi dan memastikan setiap tetamu mendapat layanan secara individu, hanya ada sembilan villa dan tiga suite yang tersedia untuk disewa.

Jika anda datang secara berkumpulan, anda boleh menyewa seluruh ladang, tetapi perlu buat tempahan awal.

Antara jenis-jenis villa yang tersedia ialah One Bedroom Pool Villa With Jacuzzi, Two Bedroom Pool Villa With Jacuzzi, dan Garden Suites.

Setiap villa punya keistimewaan tersendiri di mana perekanya, Popo Danes, seorang arkitek Bali yang terkenal menggabungkan ciri-ciri seni bina Bali dan citarasa moden.

Bintang utama resort ini sudah pastilah kolam renang infinitinya yang terpilih sebagai Kolam Renang Infiniti ketiga terbaik di dunia oleh Asia Spa.

Sambil bersantai bolehlah menikmati pemandangan panorama bukit-bukit, pergunungan dan juga laut Jawa.

Program Pengalaman MMP (MMP Experience Program)

Sebagai bonus kepada tetamu yang menginap di resort ini, anda layak mengikuti ‘Program Pengalaman MMP’ yang ditawarkan oleh pihak resort.

‘Program Pengalaman MMP’ adalah program aktiviti khusus yang tersedia dalam harga bilik dan ia direka bagi memastikan setiap tetamu membawa pulang pengalaman manis setelah pulang dari Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa.

Antara aktiviti yang tersedia ialah kelas memakai pakaian tradisional Bali, melawat ladang kopi, kelas bermain gamelan, dan kelas membuat layang-layang.

Bagi yang tidak betah tinggal di resort sepanjang masa, boleh juga gunakan kemudahan shuttle pergi dan balik untuk melawat beberapa tarikan popular di sekitar Bedugul seperti Pula Ulun Danu Bratan, Pasar Candi Kuning, Kebun Raya Bali, dan Danau Tamblingan.

Untuk maklumat lanjut tentang Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa, anda boleh melayari https://www.mundukmodingplantation.com/

foto : Rahayu Mat Nah & Munduk Moding Plantation Nature Resort & Spa

Similar Articles

Ombak Dive Resort Janjikan Percutian Selesa

By Rahayu Mat Nah
Ogos 6, 2019

Percutian Hebat di Amari Hua Hin

By Rahayu Mat Nah
April 10, 2019