Konsert Monsta X Gegarkan Stadium Malawati Shah Alam

Julai 2, 2019
By Ili Farhana

Kumpulan K-Pop meningkat naik, Monsta X sempat singgah ke Kuala Lumpur baru-baru ini untuk jelajah album terbaharu mereka, 2019 MONSTA X WORLD TOUR <WE ARE HERE>in KUALA LUMPUR. Ironinya, ada seorang ahli kumpulan yang tidak dapat menaiki pentas bersama rakan-rakan sekumpulan lain pada petang itu.

Wonho katanya kehilangan pasportnya sebaik sahaja mendarat di Kuala Lumpur. Beliau terus pulang ke Korea Selatan untuk membuat pasport kecemasan tetapi tidak sempat kembali ke sini untuk konsert dan acara bertemu peminat yang telah diaturkan.

Namun ketiadaan Wonho tidak mengubah dinamik dan semangat rakan-rakan sekumpulannya kerana Monsta X telah memberikan persembahan yang mantap pada malam itu. Kehadiran lebih kurang 5,000 orang Monbebe (nama panggilan para peminat Monsta X) yang membanjiri Stadium Malawati Shah Alam seawal jam 2 tengahari bersama lighstick dan banner turut menyemarakkan lagi kemeriahan pada malam itu.

Monsta X membuka persembahan pada petang itu dengan lagu ‘Shoot Out.’ Konsert di Stadium Malawati Shah Alam ini diisi dengan 22 lagu daripada EP dan album mereka.

Kami paling suka segmen rap line Joohyeon dan I.M yang mempersembahkan lagu ‘3hythm’ serta segmen Hyungwon, Kihyun, & Minhyuk yang telah mendendangkan lagu ‘Myself.’

Dramarama’, ‘Alligator’ dan  ‘Rodeo’ ternyata menjadi lagu-lagu yang sangat dinanti-nantikan oleh Monbebe Malaysia kerana sorakan sewaktu lagu-lagu itu jauh lebih kuat daripada lagu-lagu lain.

Di sela-sela persembahan, para peminat dihiburkan dengan tayangan 2 video yang lucu dan dramatis. Boleh tahan juga ya skil lakonan Monsta X?

Tetapi kami sedikit kecewa kerana ada beberapa masalah teknikal yang melanda konsert ini. Paling ketara adalah sewaktu encore dan kelihatan ia mengganggu mood HyungWon yang berada di atas pentas ketika itu sebagai pembuka segmen encore yang ditunggu-tunggu.

Konsert penuh pertama Monsta X pada malam itu ditutup dengan lagu ‘Be My Side.’ Terima kasih Monsta X kerana memberikan persembahan yang menghiburkan walaupun formasi tidak lengkap. Semoga tidak serik membuat persembahan di sini lagi!

 

Foto: Ihsan MacPiePro