MonoloQue Mahu Angkat Martabat Bahasa Malaysia Menerusi ‘Langgar Lari’

Mei 15, 2019
By Nor Syariza Tahir

Menerusi kelahiran single terbaharu MonoloQue yang berjudul ‘Langgar Lari’, teraju utamanya LoQue atau nama sebenarnya Khairil Ridzwan berharap untuk mempopularkan kembali bahasa Malaysia yang digabung dengan muzik moden.

Jika dilihat langgar lari dari definisi dari Kamus Dewan, ia merupakan perbuatan melanggar (di jalan raya) kenderaan lain, orang dan sebagainya, tanpa menunggu atau membuat laporan polis.

Namun, bagi LoQue, beliau melihat langgar lari dari segi sikap manusia zaman sekarang yang suka membuat masalah tanpa rasa bersalah dan melanggar tanpa hirau akan adat serta tatatsusila.

Baginya, jika ini masyarakat kita, bagaimana kita mahu membangunkan Malaysia baharu ke tahap minda dan budaya yang diangkat tinggi?

Lagu ‘Langgar Lari’ disimpan oleh LoQue sejak dari tahun 2006 dan merupakan satu eksperimen tentang penggayaan Bahasa Malaysia dalam penulisan lirik selepas keajaiban album Selamat Tinggal Dunia (keluaran tahun 2005), album penuh Bahasa Malaysia oleh Butterfingers.

Ini menjadi batu loncatan untuk LoQue mengasah ketajaman kosa kata dan ayat Bahasa Malaysia untuk menggambarkan apa yang terpendam mengenai masyarakat kita yang tidak selesa memberi penghargaan kepada pemuzik apabila di pentas.

Luahan LoQue boleh didengari pada lirik;

“Trima kasih krana memberi perhatian,

Smasa aku menyanyi,

Dengan penuh prasaan,

Dan jiwa raga”

 

Bait-bait ini bukanlah untuk meraih simpati agar penonton memberi tepukan gemuruh sambil berdiri dengan sorakan, namun LoQue dengan penuh rendah hati mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi perhatian dan mendengar semasa persembahannya di pentas.

Sementara itu, ada peminat yang mengatakan bahawa muzik MonoloQue adalah lahir dari hati yang digabung dengan situasi semasa, kemudian ditambah dengan mesej yang mendalam. Ini dapat dilihat pada penggunaan bahasa seperti;

“Malam masih muda,

Hisap darah muda,

Bidadari Kota,

Oh Ramai Hantu !

Duduk bawah lampu !

Itu khidupan Hutan Batu…”

 

Lirik ini menggambarkan kehidupan masyarakat di kota metropolis dengan ‘bidadari kota’ merupakan suatu metafora mengenai gadis-gadis yang berkeliaran mencari keseronokan.

Manakala ‘ramai hantu duduk bawah lampu’ pula adalah sebuah kiasan mengenai jejaka-jejaka yang berpeleseran tanpa hala tuju.

Sebagai seorang anak seni, perkara-perkara ini adalah pemerhatian yang diambil menjadi bait-bait lagu walaupun ia mungkin mengusik jiwa sesiapa yang mendengar.

Sementara itu, sekali lagi MonoloQue membuktikan bahawa mereka adalah kumpulan yang gemar membuat sesuatu yang berbeza, iaitu dengan cara pembikinan ‘Langgar Lari’ yang dirakam dalam masa satu hari sahaja, di mana semua ahli kumpulan dikurung dalam studio rakaman di Jakarta.

“Apabila dua atau tiga instrumen dimainkan bersama, gelombang-gelombang bunyi bertemu, tenaga menjadi satu, inilah keajaiban bunyi yang tercipta bila semua ada bersama dan tak mungkin boleh terjadi jika hanya dirakam instrumen satu-persatu,” kongsi LoQue yang baru-baru ini dinobatkan sebagai pemenang Lagu Tema Terbaik menerusi Atma Jiwa (Filem: ‘Buskers’) di Festival Filem Malaysia ke-30.

Pendengar dan peminat muzik MonoloQue akan disajikan dengan pelbagai variasi dan interprestasi ‘Langgar Lari’ yang terhasil daripada uji kaji berkali-kali oleh LoQue.

Segala yang ada dalam pustaka simpanan LoQue dengan ‘Langgar Lari’ sepanjang berbelas tahun ini juga boleh didapati di semua gedung digital bermula 22 Mac 2019.

Foto: MonoloQue

 

 

Namun, bagi LoQue, beliau melihat langgar lari dari segi sikap manusia zaman sekarang yang suka membuat masalah tanpa rasa bersalah dan melanggar tanpa hirau akan adat serta tatatsusila.

Similar Articles

‘Jadikan Aku Yang Halal’ Taruhan Terbaru Zulin Aziz

By Helmi Anuar
Mei 10, 2019

‘Meluruh’ Kisah Kehidupan Alyah

By Nor Syariza Tahir
April 19, 2019

#Sesungguhnya2019 Buah Tangan Ramadan Raihan dan Alif Satar

By Nor Syariza Tahir
Mei 13, 2019

Aizat Amdan Terjemah Rasa Sepi Akibat Kehilangan Dalam ‘Angin Lalu’

By Nor Syariza Tahir
April 29, 2019

Amir Hasan “Tunggu” Sweet Qismina Dalam Video Muzik GYKT

By Nor Syariza Tahir
April 10, 2019

Hafiz Papar Kisah Cinta Teragung Dalam Video Muzik

By Nor Syariza Tahir
April 22, 2019

Kucaimars Jawab Persoalan Dalam Video Muzik

By Nor Syariza Tahir
April 11, 2019