Mira Filzah Kekal Sebagai Duta Salam Taiwan Untuk Tahun Kedua

Oktober 9, 2019
By Helmi Anuar

Meneruskan momentum kempen tahun lalu, Biro Pelancongan Taiwan mengumumkan artis berbakat dan terkenal Malaysia, Mira Fizah telah menandatangani perjanjian sebagai duta rasmi kempen Salam Taiwan untuk tahun kedua.

Pengarah Pejabat Biro Pelancongan Taiwan Kuala Lumpur, Encik Abe Chou berkata, “Saya gembira yang kami dapat meneruskan kerjasama dengan Mira Filzah untuk kempen ini. Personaliti ceria dan positif beliau menjadikannya model contoh yang hebat.

Menerusi edisi pertama kempen Salam Taiwan, beliau membawa pengaruh besar di dalam mengenengahkan Taiwan sebagai pulau mesra Muslim di Malaysia dan Brunei. Kami gembira dengan banyak pertanyaan diterima daripada pelancong Muslim mengenai tempat-tempat yang dikunjungi Mira di Taiwan. Beliau aktres yang aktif, menyeronokkan dan sofistikated yang ideal mewakili kempen Salam Taiwan sekali lagi”.

Mira Filzah telah dilantik sebagai wajah kempen Salam Taiwan pada 2018. Sejak itu, aktres berusia 26 tahun itu telah mengadakan beberapa siri aktiviti dan acara yang memaparkan kemudahan dan tarikan yang ada bagi kemudahan pelancong Muslim.

Makanan dan minuman, hotel dan bilik solat selesa adalah antara yang dipaparkan. Musim 2 Salam Taiwan akan menyaksikan Mira melawat Taiwan dan meneroka lokasi unik, mengunjungi lokasi tarikan dan aktiviti yang kurang dikenali dan juga permata-permata rahsia pulau itu yang belum diketahui ramai.

Taiwan adalah sebuah pulau yang indah. Sejujurnya, saya tidak tahu banyak mengenai Taiwan sebelum lawatan saya ke sana. Taiwan telah memberi saya pengalaman yang tidak disangka. Begitu banyak aspek di Taiwan untuk diteroka  daripada pemandangan yang memukau, budaya menarik dan juadah makanan tempatan yang enak, terutama makanan pencuci mulut!

Saya sangat kagum dengan usaha Biro Pelancongan Taiwan dan kerajaan tempatan dalam menjadikan pulai ini destinasi pelancongan yang ideal bagi pelawat Muslim. Saya tidak sabar untuk melawat Taiwan sekali lagi dan kali ini, saya mahu meneroka bahagian lain Taiwan dengan lebih mendalam,” kata Mira Filzah, Duta Salam Taiwan.

Dilancarkan pada Ogos 2018, musim pertama Salam Taiwan memaparkan enam tonggak iaitu Gaya hidup Sihat dan Mampan (LOHAS), Pasar Malam, Taman Hiburan, Pemandangan Luar, Beli-belah dan Budaya Muslim.

Untuk musim ini, Biro Pelancongan Taiwan akan mengenengahkan gourmet, ekologi unik, LOHAS, gabungan Kebudayaan tradisional dan moden dan Beli-belah.

Biro Pelancongan Taiwan berharap menyediakan panduan berguna kepada pelancong Muslim dan menarik mereka menjadikan Taiwan sebagai destinasi pelancongan seterusnya bagi menikmati pengalaman pulau itu secara peribadi.

Setakat September 2019, Taiwan berada di tangga ketiga kategori bukan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI).

Pulau ini menerima lebih daripada 320,000 pelawat dari Malaysia dan Brunei bagi lapan bulan pertama tahun ini, di mana 15% daripadanya adalah pelancong Muslim. Ini adalah peningkatan 30% pelancong Islam berbanding tempoh sama pada 2018.

Similar Articles