Menjejak Kegemilangan Tamadun Yunani Di Athens, Greece

Mei 19, 2019
By Shah Shamshiri

Suatu ketika dahulu negara Greece dikenali sebagai tamadun Yunani purba yang gah dengan kisah mitos dewa dan pahlawan mereka seperti Zeus, Hera dan Apollo. Kaya dengan ilmu falsafah, ahli – ahli falsafahnya seperti Aristotle dan Socrates pula terkenal seantero dunia. Sejarah peradabannya yang hebat ini telah membawa penulis ke Athens, Greece dan menjejaki semula peninggalan tamadun Yunani yang masih wujud di celah kesibukan metropolis kosmopolitan Athens.

 

Athens merupakan ibukota serta bandaraya terbesar Greece dan ia merupakan tempat asal demokrasi. Kota yang dikatakan sebagai bandaraya tertua di dunia ini dinamakan bersempena nama dewi Athena. Dengan jumlah penduduknya seramai 3.7 juta orang kota ini beralih dari sebuah negara pertanian ke negara perindustrian. Kini, industri pelancongan menjadi fokus ekonomi kota Athens dengan kedatangan pelancong yang ingin menelusuri kisah zaman kegemilangan tamadun Yunani di samping menikmati kemodenan kota ini.

 

 

 

Seperti pelancong lain, penulis juga tidak mahu ketinggalan mendalami sejarah peradaban dan menceduk seberapa banyak pengalaman ketika berada di kota ini. Perkara pertama yang direncanakan oleh penulis ialah memilih penginapan yang strategik bagi memastikan eksplorasi di kota Athens berjalan dengan lancar. Sebelum memulakan aktiviti ekplorasi penulis memilih hotel di pinggir kota Athens iaitu Hotel Semiramis.

 

Tema moden dan santai hotel tersebut menepati citarasa penulis yang memang mahukan suasana tenang setelah melalui waktu penerbangan yang panjang. Hari yang berikutnya Hotel Hilton dan Wyndham Residence menjadi pilihan kerana lokasinya yang terletak di tengah kota Athens. Ini memudahkan pergerakan penulis kerana lokasi kedua – dua hotel tersebut berhampiran dengan stesen metro.

 

 

 

 

Sebelum melakukan sebarang aktiviti eksplorasi amat penting bagi penulis untuk membuat sedikit penyelidikan. Penggunaan internet tanpa had bukan sahaja perlu bagi mendapatkan informasi lokasi yang dituju bahkan bagi tujuan navigasi perjalanan dan tak lupa juga untuk sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan. Bagi aktiviti melancong kali ini penulis memilih jenama penyedia internet Travel Recommends bagi memastikan jaringan internet sentiasa ada untuk memudahkan aktiviti sepanjang hari di kota Athens.

Antara tempat bersejarah yang penulis lawati ialah Teater Epidaurus. Terpesona dengan senibinanya, teater ini dibina pada 340 sebelum Masihi yang mampu menampung 13,000 penonton dan masih digunakan sehingga hari ini khususnya bagi tujuan Festival Epidaurus yang dijalankan setiap tahun. Uniknya teater ini selain senibinanya yang indah para penyelidik dari Georgia Institute of Technology mendapati tempat duduk teater berfungsi sebagai perangkap bunyi bagi membolehkan semua penonton teater mendengar audio dengan jelas tanpa menggunakan sebarang sistem audio moden. Fenomena ini dikenali sebagai “”pitch virtual” yang membolehkan penonton di barisan belakang dapat mendengar apa yang berlaku di panggung.

 

 

Seterusnya langkah kembara penulis beralih ke lokasi yang menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia. Mercu tanda kota Athens, Parthenon Acropolis merupakan kuil di kala tamadun Yunani yang dibina khas untuk Dewi Athena. Terletak di puncak bukit kota Athens, perkataan “Acro” itu sendiri bermaksud bukit dan “polis” bermaksud kota. Pembinaanya bermula pada 477 sebelum Masihi ketika empayar Athens berada dikemuncak kekuasaannya. Dahulunya, patung Athena setinggi 13 meter ditempatkan di kuil ini dan dihiasi dengan 1 tan emas. Kini hanya kuil ini yang tinggal dan dianggap sebagai simbol demokrasi ketika tamadun Yunani selain menjadi salah satu monumen sejarah terunggul di dunia.

 

 

Puas berjalan di tengah kesibukan kota Athens, agenda penulis seterusnya adalah mencari restoran makanan. Antara restoran makanan yang sempat dikunjungi penulis ialah Hard Rock Cafe Athens yang berada di tengah kota tersebut. Roof Garden Restaurant of Grand Bretgne Hotel dan Hytra Restaurant pula menyediakan sajian fine dining khusus bagi mereka yang ingin mencuba kelainan masakan Greek. Buat yang beragama Islam, kesemua restoran ini menyediakan sajian makanan berunsurkan sayuran serta ikan dan makanan laut. Malah terdapat burger ‘vegetarian’ khas Hard Rock Cafe yang boleh dinikmati tanpa ragu-ragu.

 

Lokasi jelajah penulis seterusnya lebih tenang dan mendamaikan. Penulis telah memilih Evermore Cruises untuk ke tiga buah pulau berdekatan Athens iaitu Pulau Hydra, Pulau Poros dan Pulau Aegina. Perjalanan ke tiga buah pulau ini mengambil masa sehari sahaja dan pengunjung diberi pilihan untuk memilih pakej yang disediakan atau meneroka pulau-pulau ini secara sendiri. Yang pasti keindahan ketiga-tiga pulau ini bakal memukau setiap pelancong yang berkunjung ke sana.

 

 

 

 

 

Kembara ke Athens telah membuka minda penulis bahawa tamadun purba dan kemodenan mampu wujud di dalam sebuah kota. Athens merupakan bukti bahawa penyatuan dua elemen ini mampu dilakukan. Ilmu pengetahuan yang ditimba penulis sepanjang berada di kota yang dahulunya dikenali sebagai tamadun Yunani ini menyedarkan penulis betapa kerdilnya manusia moden kini berbanding zaman kegemilangann tamadun Yunani dahulu.  Seperti kata ahli falsafah terkenal Socrates “Kebijaksanaan sejati datang kepada setiap daripada kita apabila kita menyedari betapa kecilnya kita memahami kehidupan, diri kita, dan dunia di sekeliling kita.”

 

sumbangan : Wan Azfarozza Wan Athmar (Instagram : @wan_derment)

Similar Articles

Kenangan Manis di Tunis

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

Keunikan Kota Algiers

By Shah Shamshiri
April 16, 2019

5 Persinggahan Dengan Trip ke Margaret River, Perth

By Rahayu Mat Nah
April 16, 2019