Menginap Di Hotel Galeri Seni Di Ginza

Ogos 8, 2019
By Nor Syariza Tahir

Jika ada yang sedang merancang percutian ke Tokyo dan masih mencari-cari lokasi penginapan, anda boleh memasukkan Hotel Oriental Express Tokyo Ginza ke dalam senarai pilihan anda.

Hotel yang baru sahaja beroperasi pada 26 Julai 2019 ini terletak di lokasi strategik iaitu di daerah Ginza, yang sememangnya terkenal sebagai pusat untuk beli-belah serta restoran mewah.

Dengan mengetengahkan konsep hotel galeri seni, Hotel Oriental Express Tokyo Ginza bekerjasama dengan galeri-galeri seni di sekitar Ginza untuk memaparkan hiasan dinding berseni bagi semua ruang dalamannya.

Bertemakan warna putih untuk lobi hotel, bilik tamu pula menonjolkan ‘tona Ginza perak’ (‘Gin’ dalam perkataan ‘Ginza’ merujuk kepada perak) pada seni dinding yang memaparkan imej-imej empat musim di Jepun.

Untuk aspek-aspek dalaman dan reka bentuk dalaman pula, hotel ini berkolaborasi dengan artis-artis yang sedang meningkat naik seperti Maya Ogata, yang menjadi pereka seni dinding.

 

Ginza Sebagai Lokasi Pelancongan Seni

Kawasan Ginza menempatkan hampir 200 galeri seni yang meliputi pelbagai genre iaitu lukisan Jepun, seni Barat, seni kontemporari, antik dan sebagainya.

Kebanyakan daripada galeri tersebut boleh dilawati secara percuma dan popular sebagai destinasi pelancongan yang menjimatkan wang.

Ini kerana pengunjung boleh menikmati kesemua karya seni tanpa perlu membelanjakan wang memandangkan ia terletak dalam jarak hanya beberapa minit berjalan kaki.

Selain itu, Hotel Oriental Express Tokyo Ginza turut berkolaborasi dengan galeri-galeri di Ginza untuk mencipta peta panduan berjalan kaki ke seluruh galeri tempatan.

Selain maklumat mengenai galeri-galeri tempatan, peta tersebut turut memuatkan informasi yang dapat meningkatkan pemahaman pengunjung tentang karya yang dipamerkan.

Pengunjung juga boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kedai-kedai berhampiran yang dibantu oleh kakitangan yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

Ternyata, penginapan di Hotel Oriental Express Tokyo Ginza bukan sahaja dapat meningkatkan penghargaan pengunjung terhadap seni, malahan turut berpeluang untuk membeli belah, menjamu selera dan kesemua yang dapat ditawarkan oleh Ginza.

Jadi, bagi peminat hasil seni yang masih ingin membeli-belah di dearah fesyen di Tokyo itu serta menikmati suasana kehidupan malam di Ginza, anda boleh menginap di Hotel Oriental Express Tokyo Ginza.

Hotel sembilan tingkat itu mempunyai 103 unit bilik serta restoran signaturnya, Express Café.

Ia terletak di lokasi strategik iaitu hanya seminit berjalan kaki dari Stesen Tsukiji melalui Laluan Hibiya Line dan 2 minit berjalan kaki dari Stesen Shintomicho melalui Laluan Yurakucho.

Foto: PR Newswire

Dengan mengetengahkan konsep hotel galeri seni, Hotel Oriental Express Tokyo Ginza bekerjasama dengan galeri-galeri seni di sekitar Ginza untuk memaparkan hiasan dinding berseni bagi semua ruang dalamannya.

Similar Articles