Memaafkan Sifat Terpuji Rasullullah SAW Yang Patut Dicontohi

Jun 24, 2019
By Helmi Anuar

Sifat pemaaf sememangnya adalah sifat yang terpuji. Malah Baginda Rasulullah S.A.W adalah seorang yang sangat murah dengan sifat memaafkan.

Jika dibandingkan diri kita dengan Rasullah S.A.W, ujian buat Baginda lebih berat daripada kita. Baginda pernah diludah oleh kaum kafir Quraisy ketika hendak pulang dari masjid selepas selesai menunaikan solat, namun baginda tidak pernah membalasnya.

Satu lagi peristiwa berlaku di Taif di mana Rasulullah S.A.W dalam usahanya mengembangkan Islam. Disebabkan penduduk Makkah menolak usaha dakwah yang disampaikannya, baginda berusaha pula mengajak penduduk Taif kepada Islam.

Usaha Nabi S.A.W bukan hanya ditolak, tetapi ditentang dan dibaling batu oleh pemuda Bani Thaqif sehingga kaki baginda berdarah. Bagaimanapun, baginda tetap mendoakan mereka supaya mendapat pengampunan Allah S.W.T walaupun ditawarkan Malaikat Jibrail untuk membinasakan mereka.

Pendekatan diambil baginda adalah memaafkan serta mendoakan mereka supaya dikurniakan pengampunan dan hidayah. Perbuatan sakit hati, mudah marah, menyimpan kebencian serta dendam pada orang lain akan mengganggu kesihatan jasmani dan meningkatkan tekanan darah.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal yang diutamakan.” (Surah as-Syuraa, ayat 43).

Begitulah perwatakan pemaaf yang dimiliki Rasulullah S.A.W yang patut diteladani setiap manusia. Jika seseorang datang untuk meminta maaf, maka Baginda terus memaafkan orang itu.

Untuk menjadi seorang yang mampu memaafkan orang yang melakukan kesalahan kepada kita memerlukan jiwa yang besar. Orang yang memaafkan sedangkan dia berada di pihak yang benar adalah kemuliaan buat dirinya.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang yang jahil.” (Surah al-A’raf, ayat 199)

Dalam satu lagi firman yang bermaksud: “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang setimpal, tetapi barang siapa memaafkan dan berbuat baik (kepada orang yang berbuat jahat) maka pahalanya daripada Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim.” (Surah asy-Syura, ayat 40)

Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa sifat pemaaf adalah iman yang paling utama sepertimana dijelaskan bermaksud: “Iman yang paling utama adalah sabar dan memaafkan.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sifat pemaaf juga adalah salah satu ciri orang bertakwa dan akhlak yang disayangi Allah.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu mencari keampunan daripada Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya, seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang yang bertakwa (iaitu) orang yang berinfak, baik di waktu lapang mahupun sempit dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain. Dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali Imran, ayat 133-134)

Allah S.W.T akan memberikan pengampunan bagi mereka yang pemaaf.

Allah Maha Pengampun kepada hamba-Nya yang tidak jemu memohon keampunan atas segala dosa yang telah dilakukan, sama ada secara nyata mahupun tersembunyi. Firman Allah S.W.T di dalam al-Quran: “Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’: 25).

Allah S.W.T  juga akan memberikan pengampunan bagi mereka yang pemaaf. Sesungguhnya Allah S.W.T yang memiliki sifat mulia, dan salah satu yang dimiliki Allah iaitu sifat Pemaaf. “Jika kamu menyatakan sesuatu kebaikan atau menyembunyikan atau memaafkan sesuatu kesalahan (orang lain), maka sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi Maha Kuasa.” (Surah An-Nisa’: 149).

Amalan memohon maaf harus dilakukan tidak kira bila, tempat atau dengan siapa. Setiap manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan, maka janganlah malu untuk memohon maaf. Dan janganlah pula kita berasa berat hati untuk memaafkan orang kerana sesungguhnya perbuatan memaafkan orang lain itu sangat mulia di sisi Allah S.W.T

 

Sumber : Harian Metro 

Foto : PeopleImages/GettyImages

Similar Articles

Erti Syukur Yang Sebenar

By Helmi Anuar
April 19, 2019

#SalamTodayRamadan- Bukakanlah Hati Anda

By Ili Farhana
Mei 26, 2019

#SalamTodayRamadan- Mencetuskan Keharmonian

By Ili Farhana
Mei 31, 2019

7 Langkah Mencapai Khusyuk Dalam Solat

By Nor Syariza Tahir
Jun 14, 2019

Adab Memberi Salam

By Nor Syariza Tahir
Jun 18, 2019

Bersangka Baik Untuk Elakkan Fitnah

By Rahayu Mat Nah
Jun 21, 2019

Tip Mengendalikan Perasan Marah

By Rahayu Mat Nah
Jun 21, 2019