‘Meluruh’ Kisah Kehidupan Alyah

April 19, 2019
By Nor Syariza Tahir

Pada tahun lepas, Datin Alyah atau mesra disapa Alyah telah memuat naik teaser yang menunjukkan beliau sedang merakamkan single terbaharu.

Akhirnya pada 2019, Alyah mempertaruhkan single terbaharunya yang diberi nama ‘Meluruh’.

Single ini mula terhasil pada Disember 2018 sebelum beliau berangkat menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah.

Idea asal bagi lagu ini tercetus pada suatu petang ketika Alyah sedang memandu dalam hujan lebat. Beliau secara tiba-tiba mendapat ilham suatu melodi yang indah, serta beberapa bait lirik.

Tanpa membuang masa, Alyah terus menghubungi penulis lirik, Slen dan meminta finalis AJL32 itu untuk menyiapkan keseluruhan lirik mengikut tuntutan melodi single berkenaan yang belum bertajuk.

Dalam masa yang agak singkat, Slen berjaya menulis seni kata lagu itu berdasarkan pengalaman hidupnya sendiri, Alyah serta orang-orang yang pernah beliau kenali.

Disebabkan kemampuan Alyah begitu terserlah dalam mendendangkan lagu-lagu kemelut cinta bergenre  balada seperti ‘Tak Mungkin Kerna Sayang’, ‘Kisah Hati’, ‘Sesal Separuh Nyawa’ dan ‘Jutaan Purnama’, maka Slen cuba menukilkan sebuah lirik yang melankolik agar meninggalkan impak yang amat besar buat para pendengar.

“Justeru, lahirlah ‘Meluruh’ yang menyentuh tentang soal hati seorang insan yang tidak menerima layanan seadilnya daripada orang-orang yang disayanginya.”

“Sekalipun apa yang dilaluinya begitu berat dan pedih, namun itu tidak akan menghancurkan dirinya dan dia enggan membiarkan dirinya kecundang dan meluruh,” jelas Slen.

Apabila melodi dan lirik ‘Meluruh’ telah siap, Alyah terus meminta khidmat komposer award-winning dan penggubah handalan, Helen Yap untuk menyusun muzik ‘Meluruh’.

Akhirnya Helen berjaya memberikan sentuhan emasnya dengan menambah baik irama ‘Meluruh’ dan membuat keseluruhan muzik serta kerja-kerja rakamannya sehingga ‘Meluruh’ menjadi sebuah lagu yang lengkap.

Ternyata kolaborasi Alyah, Helen serta Slen begitu serasi dan mereka saling melengkapi untuk berkarya demi merealisasikan sebuah lagu balada yang dijangka menaikkan lagi nama Alyah di persada seni.

‘Meluruh’ merupakan single terbitan Warner Music Malaysia dan boleh didengari di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan juga iTunes bermula 19 April 2019.

Pautan untuk ‘Meluruh’: https://wmm.lnk.to/meluruh

Pautan untuk video audio rasmi ‘Meluruh’: https://youtu.be/JYb86_I7C8g

 

Foto: Warner Music Malaysia

Similar Articles