Masih Boleh Bahagia Walau Selepas Menghidap Kanser Payudara

Oktober 7, 2019
By Nor Syariza Tahir

Bukan mudah untuk menerima kenyataan bahawa diri merupakan penghidap penyakit kanser.

Tambahan lagi, bagi seorang wanita, apabila diberitahu oleh doktor bahawa diri menghidap kanser payudara, dunai bagaikan jatuh dan tiada kata-kata yang mampu menzahirkan apa yang dirasai.

Begitulah perasaan Noorunnsah Jakkaria, 55 tahun, seorang bekas pesakit kanser payudara tahap dua yang kini telah terselamat setelah melakukan pembedahan.

“Ketika itu, saya tertanya-tanya; kenapa saya? Kenapa saya yang menghidap kanser payudara?

“Saya tertanya-tanya kerana berpendapat sebagai seorang yang sering bersenam, sentiasa sihat, gemar melakukan aktiviti sukan dan yoga serta tiada sejarah keluarga, kenapa saya yang mendapat penyakit ini?

“Jadi, dari situ saya menyedari bahawa tidak semestinya seseorang wanita itu sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat, dia tidak akan menghidap kanser payudara. Risikonya ada untuk sesiapa sahaja,” ujarnya ketika berkongsi cerita mengenai pengalamannya bergelar pesakit kanser payudara kira-kira tiga tahun lepas.

Menurut Noorunnsah yang ketika itu baru berhenti kerja, perancangan asalnya adalah untuk berehat di rumah dan memberi fokus untuk menjadi isteri dan ibu misali yang menjaga keperluan suami serta dua anaknya.

“Apakah daya, saya diuji sebegitu rupa.

“Namun, nasib saya baik kerana kanser itu masih di peringkat awal, dan doktor terus menasihatkan saya untuk membuat pembedahan.

“Sejujurnya, pada ketika itu, saya tidak mempunyai sebarang perasaan. Saya tidak berasa putus asa, fikiran saya kosong dan saya ikut sahaja apa yang doktor nasihatkan,” ceritanya.

Namun, wanita ini sememangnya seorang yang bertuah kerana dia dikurniakan suami, anak-anak dah seluruh ahli keluarga yang amat mengambil berat serta sentiasa berada di sampingnya pada ketika itu.

“Alhamdulillah. Pembedahan yang dilakukan di Hospital Kuala Lumpur amat berjaya dan ia telah membuka mata saya bahawa sebenarnya terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk penghidap kanser payudara.

“Ketika itu, saya menyedari bahawa menghidap kanser payudara sebenarnya bukan bererti dunia akan berakhir buat kita. Ada beberapa pilihan rawatan dan pembedahan yang boleh dilakukan untuk pesakit kembali sembuh dan hidup seperti orang normal.

“Apa yang penting adalah pemeriksaan awal yang boleh dilakukan sendiri atau dengan berkunjung ke mana-mana hospital.

“Ia amat penting kerana jika kanser itu dikesan secara awal, ia masih berada pada tahap awal dan anda masih boleh terselamat,” ujarnya yang kini perlu mengambil ubat secara berterusan selama lima tahun.

Bagaimanapun, Noorunnsah berkata, selepas menjalani pembedahan, dia tiba-tiba dihimpit dengan perasaan sunyi dan merendah diri.

“Saya mula berasa sunyi apabila duduk sahaja di rumah, sedih dengan nasib diri serta rasa merendah diri kerana sudah tiada kerja dan tiada gaji.

“Namun, semuanya berubah selepas saya mendapat tahu mengenai Breast Cancer Foundation dan mula melibatkan diri dalam program-program pertubuhan ini.

“Apabila saya menyertai program ini, saya menyedari bahawa rupa-rupanya adanya komuniti besar yang terdiri daripada ramai lagi bekas pesakit kanser payudara di luar sana yang kini hidup sihat dan gembira.

“Menerusi pertubuhan ini, ada pelbagai program dijalankan untuk para ahlinya seperti mendaki bukit, kelas memasak dan kelas solekan untuk mengisi masa lapang kita.

“Jadi dari situ, ia dapat memberi sinar kegembiraan buat para bekas pesakit kanser payudara, dan pada masa sama, kami dapat berkongsi pengalaman masing-masing dengan pesakit baru untuk memberi semangat kepada mereka,” jelasnya yang sering dipanggil untuk berkongsi pengalamannya dengan orang ramai.

Akhir sekali, ditanya mengenai nasihat yang boleh diberikan kepada para pesakit kanser payudara di luar sana yang mungkin sedang berputus asa, Noorunnsah berkata, sebenarnya masih ada kehidupan selepas kanser.

“Jika anda didiagnos dengan kanser payudara, ingatlah bahawa ia bukanlah pengakhiran dunia kerana masih ada kehidupan selepas kanser.

“Apa yang penting jangan berputus asa dan percaya dengan ketentuan dan hikmah yang telah Allah tetapkan.

“Bagi orang di sekeliling terutamanya keluarga pula, sokongan kuat perlu diberikan kepada pesakit kanser kerana mereka amat memerlukan sokongan anda. Jatuh atau bangun mereka amat bergantung kepada sokongan anda.

“Jadi, sentiasalah buat pemeriksaan kerana sekurang-kurangnya jika anda didapati menghidap kanser payudara peringkat awal, anda mempunyai peluang yang tinggi untuk terselamat dan kembali menjalani kehidupan yang sihat dan bahagia seperti saya sekarang,” katanya menutup bicara.

Sebelum itu, Noorunnsah bersama para peserta Breast Cancer Foundation sempat meluangkan masa dengan menyertai program Harriston’s Chocolate DIY To Sweeten Your Pinktober yang diadakan di Harriston Signature di Shamelin, Cheras.

Program kerjasama antara Harriston dengan Breast Cancer Foundation itu diadakan bertujuan untuk menyuntik perasaan ceria dan gembira dalam kalangan para pesakit dan bekas pesakit kanser payudara menerusi aktiviti membuat dan menghias coklat.

Foto: Xavier Mah

“Jadi, dari situ saya menyedari bahawa tidak semestinya seseorang wanita itu sihat dan mengamalkan gaya hidup sihat, dia tidak akan menghidap kanser payudara. Risikonya ada untuk sesiapa sahaja,” ujarnya ketika berkongsi cerita mengenai pengalamannya bergelar pesakit kanser payudara kira-kira tiga tahun lepas.

Similar Articles

10 Makanan Mengurangkan Risiko Kanser Payudara

By Rahayu Mat Nah
Julai 16, 2019

Elyana Buat Konsert Untuk Bantu Pesakit Kanser

By Rahayu Mat Nah
April 22, 2019