‘Marabahaya Underground’ Uji Skil Sukan Permotoran Akim & Hazama

Mei 17, 2019
By Nor Syariza Tahir

Jika sebelum ini kedua-dua penyanyi popular ini sering muncul di pentas nyanyian dengan mencipta gaya dan cara nyanyian tersendiri, kali ini Akim dan Hazama mengukkuhkan tali persahabatan dengan muncul dalam filem aksi komedi sukan permotoran, Marabahaya Underground.

Filem arahan pengarah terkenal, Helmi Yusof bersama penulis skrip, Subroto Katimin itu bakal menampilkan beberapa pelakon terkenal, antaranya, Dayana Roza.

Bagi Akim dan Hazama, ia merupakan satu cabaran bagi kedua-duanya untuk terlibat dalam filem yang menuntut komitmen dan skil mereka untuk mempamerkan aksi lasak sukan permotoran.

“Sebaik sahaja ditawarkan berlakon dalam filem sukan permotoran ini, saya terus bersetuju kerana ia melibatkan satu perkara yang dekat dengan saya.

“Sejak kebelakangan ini memang saya aktif dalam bidang permotoran kereta, jadi dapatlah saya merealisasikan serba sedikit elemen racing dalam filem ini,” ujar Akim yang akan membawakan watak Fison Hamdi.

Malah untuk membawakan watak Fison ini, Akim telah berjaya menurunkan berat badannya sebanyak 11 kilogram.

Penurunan berat badan itu dilakukan bagi menjayakan watak remaja 21 tahun untuk filem yang melibatkan bahasa Melayu,Tamil dan Cina ini.

“Setakat ini, saya sudah berjaya turunkan berat badan daripada 74 kilogram ke 64 kilogram dalam masa dua bulan. Saya cuma amalkan intermittent fasting, yang mana saya hanya akan jamah makanan berat dari pukul 9 pagi hingga 3 petang pada setiap hari,” jelas Akim.

Bagi Hazama yang membawakan watak Shah Dhani pula, ia merupakan sebuah kesempatan dan peluang yang baik untuk dirinya. Ini kerana dia menerima tawaran itu kerana ia datang daripada Cat Farish yang merupakan sahabatnya.

“Lagipun penggambaran dilakukan pada bulan puasa dan kebetulan saya tidak mempunyai aktiviti pada bulan Ramadan.

“Tambahan lagi, filem ini melibatkan saya dan Akim, dan kami sama-sama menanti untuk terlibat dalam filem aksi permotoran seperti ini,” cerita Hazama.

Filem Marabahaya Underground mendapat kerjasama kerajaan negeri Perak serta Tourism Perak, dan akan menjadikan taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) sebagai lokasi utama penggambaran.

Marabahaya Underground merupakan sebuah kisah komedi aksi yang mengisahkan kehidupan seorang pelajar yang berasal dari Ipoh, bernama Fison  Hamdi atau lebih mesra dipanggil Chon.

Datang daripada sebuah keluarga sederhana, Chon memiliki sebuah kereta Myvi yang diubahsuai kepada sebuah kereta sport dan ranggi.

Dia merupakan seorang pelajar di sebuah kolej di Ipoh yang amat meminati sukan drift dan sangat mengagumi Shah Dhani, seorang juara sukan drift di Ipoh. Bagi mencapai impiannya untuk memiliki sebuah kereta drift, Chon menjadikan kereta Myvi miliknya sebagai GrabCar.

Manakala bagi watak Shah Dhani pula, walaupun dia merupakan juara sukan drift, namun dia sebenarnya mempunyai banyak masalah, hutang bertimbun dan sering diburu samseng serta sanggup berlumba haram untuk melangsaikan hutangnya.

Perkenalan antara Chon dan Shah Dhani bermula apabila Chon pergi ke Taman Tema MAPS dan melihat Shah Dhani beraksi, di mana dia bekerja sebagai seorang pelumba lagak ngeri kereta drift di taman tema itu.

Ketika sesi bergambar, Chon merayu kepada Shah Dhani agar mengambilnya sebagai anak murid, dan bermula dari situ, hubungan Chon dan Shah Dhani menjadi rapat. Chon mula belajar berlumba drift dengan Shah Dhani hingga dia menjadi mahir.

Apakah yang akan terjadi bila Chon akhirnya berjaya memiliki sebuah kereta drift yang dijadikan GrabCar? Bagaimana pula perkenalannya dengan seorang gadis cantik bernama Intan Farhana menjadikan Chon berusaha melakukan pelbagai cara agar gadis itu melanggan Grab miliknya?

Saksikan filem ini yang akan muncul di pawagam tidak lama lagi.

Ia diterbitkan oleh D’Edge Communication (M) Sdn. Bhd. dengan kerjasama MAPS.

Foto: Adam Photography bagi pihak Marabahaya Underground

 

“Sejak kebelakangan ini memang saya aktif dalam bidang permotoran kereta, jadi dapatlah saya merealisasikan serba sedikit elemen racing dalam filem ini,” ujar Akim yang akan membawakan watak Fison Hamdi.

Similar Articles

‘Bumi Itu Bulat’ Sarat Mesej Toleransi Dalam Masyarakat

By Nor Syariza Tahir
April 23, 2019

‘Sangkar’ Kolaborasi Mega Empat Penerbit

By Nor Syariza Tahir
Mei 16, 2019