Mahu Hati Tenang? Sentiasalah Ingat Allah

Ogos 13, 2019
By Nor Syariza Tahir

Dalam kehidupan seharian di dunia ini, pasti ada antara kita yang hidupnya sentiasa tidak tenteram, sering mengalami kegagalan, hatinya tidak tenang dan ada sahaja perkara-perkara buruk silih berganti berlaku kepadanya.

Selain daripada ujian hidup yang biasa dialami, mungkin perkara-perkara yang berlaku itu berkait rapat dengan hubungan kerohaniannya dengan Allah S.W.T.

Firman Allah S.W.T dalam surah Ar-Ra’d, ayat 28 yang bermaksud: “Orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.”

Ayat ini jelas menyeru kita agar sentiasa mengingati Allah untuk memperoleh ketenangan hati.

Ini kerana apabila lidah kita sentiasa basah dengan zikrullah, bacaan-bacaan dalam solat, doa dan hati serta fikiran yang sering mengingati Allah, Dia akan mengurniakan rahmat kepada kita.

Rahmat inilah yang seterusnya menjadi kurniaan buat kita, hambaNya dalam menjalani kehidupan seharian di muka bumi ini.

Misalnya, apabila kita diuji dengan ujian yang sehingga mampu mengakibatkan kita jatuh tersungkur, dan jika kita tidak mengingati Allah, kepada siapa lagi yang harus kita mengadu dan meminta bantuan?

Jika orang di sekeliling kita pun tidak mampu membantu kita, kepada siapa kita harus meminta pertolongan?

Sedangkan seandainya orang lain membantu kita sekali pun, pertolongan yang mereka hulurkan itu juga sebenarnya terjadi dengan izin Allah dan ia merupakan satu bentuk bantuan daripadaNya yang disampaikan menerusi sesama insan.

Disebabkan itulah, ada kalanya Allah terus menguji kita dengan menurunkan ujian yang tidak putus-putus untuk menguji dan ‘memujuk’ hambaNya agar kembali meminta kepadaNya Yang Satu.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu mengenaiKu (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Ayat ini membuktikan bahawa apabila kita berdoa kepada Allah, nescaya Dia akan memperkenankan doa-doa tersebut.

Sebagai hambaNya, kita juga diseru untuk sentiasa mematuhi perintah Allah dan beriman kepadaNya agar kita sentiasa dalam rahmatNya dan mendapat petunjuk daripadaNya.

Kesemua ini jelas menjawab persoalan sebentar tadi tentang mengapa orang yang tidak mengingati Allah hidupnya akan sentiasa berada dalam kekalutan dan hatinya tidak tenteram.

Justeru, bagaimana caranya untuk sentiasa mengingati Allah?

Jawapannya tidak sukar.

Lidah kita hendaklah sentiasa berzikir, tangan kita perlu sentiasa memohon doa kepadaNya, bibir kita mestilah menyebut ayat-ayat suci Al-Quran, anggota badan kita perlu taat melaksanakan solat lima waktu dan hati serta fikiran kita mestilah sentiasa mengingati Dia dan bersyukur dengan setiap kurniaan yang diberikan.

Dengan itu, barulah hati kita akan tenang, kehidupan akan lebih diberkati dan setiap kesulitan yang dihadapi itu akan dipermudahkan urusannya oleh Allah S.W.T.

Cubalah petua ini! Pastinya anda akan gembira melihat hasilnya dan akan konsisten mengamalkannya selepas ini.

Foto: Ifrah Akhter (Unsplash), Mukesh Mishra (Burst), Nathan Cowley & Rawpixel.com (Pexels)

Ini kerana apabila lidah kita sentiasa basah dengan zikrullah, bacaan-bacaan dalam solat, doa dan hati serta fikiran yang sering mengingati Allah, Dia akan mengurniakan rahmat kepada kita

Similar Articles

Erti Syukur Yang Sebenar

By Helmi Anuar
April 19, 2019

Tawakal Dan Berserah Kepada Allah

By Nor Syariza Tahir
Mei 1, 2019
Kandungan SalamToday boleh didapati dalam: