Magis Shila Amzah dan Hael Husaini Hidupkan Irama Aladdin

Mei 15, 2019
By Nor Syariza Tahir

Para peminat cerita dongeng zaman kanak-kanak, Aladdin, pastinya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk menantikan tayangan filem itu di pawagam tempatan bermula 23 Mei ini.

Bakal ditayangkan di Malaysia dalam dua bahasa, Inggeris dan Melayu, ia menjadi berita baik kepada para peminat terutamanya golongan ibu bapa yang ingin membawa anak-anak masing-masing untuk menonton.

Namun, ada kejutan yang dibawakan oleh The Walt Disney Company bagi filem versi bahasa Melayu.

Kejutan yang dimaksudkan adalah penggunaan suara penyanyi berbakat, Shila Amzah sebagai Puteri Jasmine selain kompilasi lagu-lagu dalam filem yang turut dinyanyikan oleh penyanyi itu.

Lagu yang dialih bahasa ke bahasa Melayu itu berjudul Raungan Suara (Speechless) dan boleh mula didengari di Spotify dan platform-platform muzik lain bermula 24 Mei ini.

Sementara itu, lagu single khas yang popular, A Whole New World turut dinyanyikan oleh Shila dalam versi bahasa Melayu dengan duet bersama penyanyi dan komposer berbakat besar, Hael Husaini.

Diterjemahkan menjadi tajuk Dunia Baru, lagu itu boleh mula didengari di Spotify dan platform-platform muzik lain bermula 24 Mei ini.

“Sebenarnya, sudah lama saya menginginkan untuk terlibat dalam projek muzikal seperti ini. Alhamdulillah, apabila diberi kesempatan untuk membuat dubbing suara Puteri Jasmine, saya berasa sangat gembira.

“Dengan watak Puteri Jasmine itu sendiri yang sememangnya mempunyai persamaan dengan sikap saya selain ia merupakan kisah dongeng puteri kegemaran saya sejak kecil, sudah pasti pengalaman ini menjadi sesuatu yang berharga buat saya,” ujar Shila.

Sementara itu, Hael berkata, kolaborasi duet bersama Shila untuk lagu Dunia Baru disifatkan sebagai suatu gabungan yang serasi.

“Walaupun proses ramakan lagu dibuat secara berasingan, namun apabila kami merakamkan muzik video bersama, mudah untuk kami mendapatkan keserasian, menjadikan proses rakaman itu menjadi lebih mudah.

“Kami berharap agar lagu A Whole New World (Dunia Baru) versi bahasa Melayu ini mendapat sambutan hangat dan diterima baik oleh para peminat tempatan,” jelasnya.

Filem Aladdin yang diilhamkan daripada kisah Disney Aladdin itu diarahkan oleh Guy Ritchie serta dilakonkan oleh bintang-bintang ternama seperti Mena Massoud, Naomi Scott, Will Smith dan Marwan Kenzari.

Foto: The Walt Disney Company (Malaysia) Sdn Bhd

 

“Dengan watak Puteri Jasmine itu sendiri yang sememangnya mempunyai persamaan dengan sikap saya selain ia merupakan kisah dongeng puteri kegemaran saya sejak kecil, sudah pasti pengalaman ini menjadi sesuatu yang berharga buat saya,” ujar Shila.

Similar Articles